Tuesday, March 17, 2015

Saya Mempunyai Kekebalan Di Parlimen, Kenapa Tahan Saya??-Nurul Izzah



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dibebaskan daripada tahanan reman polis pada jam 12.15 tengahari setelah kenyataan beliau diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Nurul Izzah, yang ditahan di lokap balai polis Jinjang sejak Isnin, berkata tahanan beliau merupakan penyalahgunaan kuasa pihak berkuasa. "Ini memang penyalahgunaan kuasa tidak lain tidak bukan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membenarkan tindakan sedemikian ke atas parlimen. "Saya mempunyai kekebalan di bawah Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengetengahkan isu di parlimen. Ini akan menjejaskan hak-hak ahli parlimen yang lain untuk mengetengahkan isu-isu yang menjejaskan rakyat," katanya kepada pemberita.


Beliau turut berkata pihaknya akan mengambil tindakan. "Penyalahgunaan kuasa tidak boleh diteruskan. Lawan tetap lawan," tambahnya.

Apabilan ditanya pemberita apakah tindakan susulannya, Nurul Izzah jawab: "Saya suka apabila media suka meramalkan apa kita akan lakukan selepas ini. Saya akan benarkan anda (media) untuk terus meramal namun kita akan mengumumkan apa yang kita akan lakukan dalam masa terdekat," katanya.

Nurul Izzah turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir namun beliau menyeru sokongan diberikan kepada tahanan yang lain seperti aktivis Adam Adli dan Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong. "Sokongan harus diteruskan kerana ini (penahanan saya) bukan yang terakhir," tambah Nurul Izzah.


Terdahulu, pihak media dimaklumkan bahawa pendengaran reman sepatutnya berlangsung pada jam 10 pagi tadi di balai polis Jinjang. Namun pada jam 9.30 pagi, Nurul Izzah dibawa keluar dari Lokap Jinjang ke rumahnya di Bukit Segambut untuk mengambil sesuatu berkait siasatan Akta Hasutan sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi untuk mengambil kenyataan. Nurul Izzah tiba di IPD Dang Wangi pada jam 11.15 pagi.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata Nurul Izzah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 bagi membantu siasatan polis berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu kota pada 7 Mac lepas. Beliau juga ditahan dan disiasat di bawah akta sama susulan kenyataan beliau pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas yang turut menyentuh sistem kehakiman negara. Nurul Izzah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 3.55 petang Isnin.  

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI