Wednesday, July 21, 2010

Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah







TEMERLOH, 21 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

"Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno," tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.
“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.
“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya, terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers).
Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini,” tegas beliau.

Jangan terperangkap mainan media

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengajak pemimpin dan ahli PAS di semua peringkat tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS.
Peringatan itu dilontarkan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kenyataan balas pemimpin yang sering diputar belit media arus perdana.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan bahawa semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana.
"Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.
"Malah, pihak media telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.
PAS, katanya sangat percaya media-media pro-Umno ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.
"PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamar-muktamar yang lalu.
"PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama diperingkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian baru PAS semaksimum mungkin.

Isu kerjasama PAS-Umno terus dimainkan Umno dan juga media pro mereka dalam usaha memancing PAS dan mahu melihat PAS berpecah.
Terbaru, akhbar Utusan Malaysia hari ini sekali lagi memutarbelitkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sehingga menggambarkan beliau pro-kerjasama PAS-Umno.
Akhbar itu kononnya memetik tulisan dari blog Nasrudin namun secara jelas beberapa perkataan diubah bagi kepentingan politik Umno-BN.
Nasruddin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar tersebut yang cuba memesongkan maksud sebenar tulisannya dalam blog http://episodeperjuangan.blogspot.com.
"Tulisan saya diambil secara tidak beramanah dan Utusan telah menjatuhkan etika kewartawanan."Saya memberi peringatan kepada pihak akhbar tersebut dan minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya ahli dan penyokong PAS merujuk senduri tulisan asal di blog beliau dan tidak mudah menerima bulat-bulat laporan Utusan yang juga alat propaganda Umno BN.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI