Saturday, June 5, 2010

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.


“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.

Judi sukan: Najib terhutang budi pada Kumpulan Berjaya

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merasa terhutang budi sehingga meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, besar kemungkinan Kumpulan Berjaya turut memberikan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membiayai perbelanjaan menghadapi 11 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

(Gambar: Khalid membahagi risalah GMJ kepada orang ramai.)

Tambahnya, Berjaya membayar sejumlah RM250 juta kepada kerajaan dalam tempoh setahun bagi lesen judi.

Baginya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak itu kerana terdesak untuk mendapatkan duit kerana negara menghadapi masalah kewangan sekarang.

Jelasnya, kelulusan tersebut tidak pernah dibincang atau dibahaskan di Parlimen.

“Keputusan itu dibuat mendadak oleh kerajaan yang lahir dari sikap desperado, terdesak BN dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan,” ujarnya pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, wakil Jemaah Muafakat Muslim Perak, Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Setiausaha Agung Abim, Rahimi Abdul Rahim dan wakil Dewan Pemuda Masjid, Mohd Takiyuddin Abdullah.

Khalid berkata, ekoran kelulusan judi itu yang dianggap sebagai membalas budi, kemungkinan Berjaya akan terus memberikan sumbangan kepada BN.

Menurutnya lagi, penentangan terhadap kelulusan lesen judi itu bukan sahaja melibatkan Pakatan Rakyat tetapi MCA dan Gerakan yang merupakan komponen utama BN.

“Hanya Umno yang menyokong,” ujarnya.

Mohd Azmi sewaktu menjawab pertanyaan media berhubung sikap membisu pemimpin Umno berhubung kelulusan lesen judi bola sepak itu berkata: “Itu kena tanya Umno”.

Majlis berakhir dengan penyebaran risalah GMJ bertajuk Judi Meruntuhkan Masyarakat & Negara oleh anggota gerakan itu yang turut memaklumkan mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi pada 3 Julai di Istana Negara sempena penyerahan memorandum bantahan judi itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI