Tuesday, January 31, 2012

Perginya tak kembali, Ya-Allah terima amalan kami.

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Harakah kehilangan seorang warganya apabila wartawan Mohamad Safri Samsudin, 42 tahun, meninggal dunia jam 5.37 petang ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shafri (gambar) yang mula koma pagi tadi disahkan mengidap barah Ahad lepas oleh HKL.

Beliau meninggalkan lima anak yang berumur antara lapan hingga 16 tahun dan isteri, Puan Sharifah Nurhayati Al Yahya.

Shafri meninggal di hadapan keluarga terdekatnya di samping rakan-rakan dari Harakah. Antara pemimpin PAS terakhir yang melawatnya adalah Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS jam 11.30 pagi tadi.

Petang semalam Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS juga sempat menziarahi beliau.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menziarahi sejurus jenazah Shafri dibawa keluar dari HKL, petang ini.

Shafri mula terasa letih-letih badan sejak dua bulan lalu. Akibatnya badan beliau kelihatan susut dengan cepat.

Beliau mendapatkan rawatan awal di Hospital Selayang namun doktor di sana mengesyaki beliau sakit batu karang dan memberikan jadual lawatan seterusnya pada 1 April depan.

Namun, minggu lalu Shafri terasa letih sangat dan berat badannya susut begitu mendadak.

Beliau kemudiannya membuat pemeriksaan di HKL dan telah dimasukkan ke wad di sana.

Dua hari lepas, 29 Januari, HKL mengesahkan beliau mengidap kanser yang bermula dari hati dan merebak dengan cepat ke seluruh badan.

Shafri dan Harakah


Safri mula bekerja sebagai perekabentuk dengan Harakah sejak tahun 1990an lagi namun berhenti selepas itu.

(Gambar: Saat akhir Safri bersama keluarga beliau di katil HKL)

Pada tahun 2008, Shafri menyertai kumpulan Harakah semula dengan bertugas sebagai perekabentuk di akhbar Siasah.

Pada awal tahun 2011, apabila Siasah tidak lagi bersama Harakah, beliau bertukar profesyen menjadi wartawan Harakah.

Ini kerana kebolehan dan minat beliau yang mendalam sebagai wartawan.

Sejak itu beliau banyak membuat tugasan di Parlimen dan juga sidang Dun di samping tugas-tugas kewartawanan yang lain.

"Shafri seorang wartawan yang berdedikasi dan fleksibel. Kami terasa benar kehilangannya. Saya bagi pihak semua Jamaah Pengarah Harakah dan kakitangan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau," kata Datuk Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah.

Beliau juga memaklumkan, pihak Harakah menyumbangkan RM2,000 untuk membantu keluarga beliau.

Jenazah Shafri dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Batu 6, Gombak (belakang Anjung Rahmat) petang ini juga.

Jika prosesnya cepat, jenazah beliau dijangka akan diuruskan malam ini juga.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau.

Alfatihah.


Teringat saat suka duka bersama Allahyarham dan lsterinya k. syarifah hayati. Takziah buat k.syarifah, anak2 dan editor ku en majdan yang kehilangan teman rapatnya.

Tiap kali kami jalankan tugas pasti ada sahaja yang bertelagah, tapi telagahnya kami merapatkan ukhwah, semoga k.syarifah tabah hadapi ujian ini.. bila teringat kematian ini, aku juga teringat kata2 teman2 saudara mara ku yg tiap kali bertemu, mengapa nampak kurus sekarang .. sakit ke ?? penat aku nak jawab, cuma dlm hati ku serahkan pada mu ya rab.. padamu aku datang dan kepadamu juga aku akan kembali, ya-Allah terima amal ibadahku, amiin ya rab. :( hari ini kita bertemu mana tau esok kalian terima berita kematian ini. Maafkan diriku teman..

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI