Wednesday, January 6, 2010

Umno pertahan nama Allah, tapi khianat Islam

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap Umno yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara 'fast track'.

PAS mendesak Umno yang bangga dengan status 12 penggal mentadbir Malaysia untuk meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam.Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana didalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam.PAS menuntut klausa ini mansuhkan segera.

PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam.Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.

PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur dihadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang 'berlesen besar'.

Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat judi dan arak dinegara ini. Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam yang bekerja di premis arak dan judi.

Pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan Jabatan-jabatan Agama yang melakukan operasi dipusat-pusat hiburan dan maksiat.Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan JAWI menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.

PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat.Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak pra-sekolah, malahan PASTI di Melaka telah disaman oleh kerajaan umno di Melaka

Tidak dilupakan juga, rakaman debat olok-olok yang diadakan oleh Umno bagi mempertikaikan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS.Walaupun akhirnya debat itu berjaya menjelaskan kejahilan Umno terhadap Islam, namun rakyat melihat mereka sebenarnya mereka sengaja mempermainkan-mainkan dasar-dasar Islam dalam debat yang dianggap memperolokkan Islam keseluruhannya.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno.Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang berani mencabar Islam di negara ini. PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pemuda PAS panggil semua rakyat bantah Mesir

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sekali lagi menggesa seluruh warga Malaysia termasuk bukan Islam untuk bersama menyertai himpunan aman di kedutaan Mesir bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.

"Saya menyeru seluruh rakyat prihatin supaya dapat keluar beramai-ramai Jumaat, 8 haribulan (Januari) untuk kita sama-sama berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur," kata ketua DPPP, Nasaruddin Hassan ketika menghubungi Harakahdaily.

Nasaruddin juga berkata, beberapa tindakan terbaru kerajaan Mesir dilihat keterlaluan dan memberi kelebihan kepada Israel untuk terus mencengkam kekuasaannya ke atas umat Islam di Gaza.

Ianya termasuklah insiden terbaru di mana Kerajaan Mesir telah menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Selain itu, dua hari lalu pasport mereka juga dirampas Kerajaan Mesir sehingga memaksa mereka hanya duduk beramai-ramai di pelabuhan sehingga pasport dipulangkan semalam.


Lebih teruk lagi apabila lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah akibat tindakan ganas polis Mesir menyuraikan tunjuk perasaan membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang 59 kenderaan konvoi dibawa keluar dari pelabuhan Al-Arish untuk dibawa ke Gaza.

Salah seorang yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan konvoi dari London 6 Disember lepas.

"Sememangnya sejak dulu kita prihatin terhadap isu kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin, di atas semangat solidariti ummah, kita hendaklah bangkit sekali lagi," katanya.

Umat Islam di seluruh dunia, katanya telah bangkit dan bantahan sama juga sedang dibuat.

Selain Pemuda PAS, beliau turut mengharapkan penyertaan Angkatan Muda Keadilan AMK dan DAP Socialist Youth (DAPSY) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia.

"Saya juga ingin menyampaikan salam dari Dr. Hammam Said, Murakibul Am Ikwan Al-Muslimin yang menyeru seluruh rakyat bangkit beramai- ramai menentang tindakan zalim kerajaan Mesir ini," katanya lagi.

Terdahulu, anggota kontinjen Viva Palestina berhimpun dan mengadakan benteng manusia memprotes keputusan kerajaan Mesir menghalang 59 kenderaan termasuk dua trak keluar dari pelabuhan itu.

Dalam masa sama, pihak berkuasa Mesir menempatkan 189 anggota unit anti rusuhan lengkap dengan meriam air dan gas pemedih mata.

Menurut pengasas Viva Palestina, George Galloway rundingan di peringkat tertinggi sedang diadakan oleh pihak Turki dengan kerajaan Mesir termasuk menuntut agar kesemua anggota konvoi yang ditahan dibebaskan segera.

Misi mereka bermula dari London pada 6 Disember lepas, melalui pelbagai tempat di Turki, Syria, dan Jordan.

Mereka sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember, tetapi tertangguh akibat halangan kerajaan Mesir yang enggan membenarkan mereka menggunakan bandar Nuweiba sebagai pintu masuk ke Rafah sebelum tiba di Gaza.

Akibatnya, mereka terpaksa kembali ke Damsyik, Syria untuk mencari laluan lain untuk memasuki Rafah sebelum tiba di Gaza.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI