Monday, October 22, 2012

Bukti UMNO tidak ambil peduli sekolah agama: laporan audit negara


LAPORAN AUDIT Kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) menyebabkan 24 buah sekolah agama di seluruh negeri itu ditempatkan di pelbagai premis termasuk di sebuah bangunan rumah kedai.

Laporan Ketua Audit Negara dalam aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor tahun 2011 mendapati, bangunan tambahan sekolah agama Kota Masai, Johor Bahru - sebuah rumah kedai itu menempatkan lebih 3,000 pelajar dan mengalami masalah kekurangan bilik darjah.

"Pemerhatian Audit mendapati sekolah yang menumpang di balai raya, surau dan bangunan sekolah milik Kementerian Pelajaran Malaysia  yang tidak lagi digunakan tidak menghadapi masalah sehingga kini kerana bilangan murid yang tidak terlalu ramai dan kemudahan asas yang mencukupi.
 
"Bagaimanapun di SA (sekolah agama) Kota Masai, suasana pembelajaran adalah kurang selesa disebabkan gangguan bunyi bising daripada kedai dan bengkel kereta berhampiran kerana ditempatkan di bangunan rumah kedai yang disewa," laporan audit dipetik.

Selain masalah pembelajaran, keselamatan murid juga tidak terjamin disebabkan tiada kawalan keselamatan.

Menurut laporan audit, kedudukan sekolah tersebut menumpang adalah disebabkan tiada tapak yang diwakafkan untuk pembinaan sekolah agama.

Selain itu, kerja membaik pulih kerosakan sekolah juga tergendala akibat kekurangan peruntukan.

Menurut laporan itu, jumlah peruntukan yang diluluskan ialah sebanyak RM5.43 juta. Bagaimanapun, permohonan bagi membaik pulih kerosakan dianggar berjumlah RM10.47 juta.

"Semenjak tahun 2009 hingga kini, tiada program baik pulih dilaksanakan walaupun terdapat permohonan pada tahun 2010 dan 2011 oleh SA Kampung Pasir Putih dan SA Pekan Nanas.

"Keadaan ini telah menyebabkan suasana tidak selesa dan selamat
kepada murid, guru dan harta benda sekolah selain mengaibkan imej SA berbanding sekolah kebangsaan," kata laporan itu.

Antara masalah lain yang dihadapi oleh sekolah agama di Johor ialah kekurangan kemudahan infrastruktur asas, perabot sekolah yang rosak dan uzur, kekurangan guru dan kakitangan sokongan serta pengurusan aset dan inventori yang perlu dibaiki.

Menurut maklum balas Jabatan Agama Johor dalam laporan itu menyebut, kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah agama disebabkan kekangan kewangan sehingga pihak mereka perlu peruntukan daripada Majlis Agama Islam Johor bagi memenuhi keperluan tersebut.

Maklum balas itu menyebut lagi, pada tahun 2011, tiada peruntukan untuk pembelian perabot diterima daripada kerajaan negeri.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI