Wednesday, October 30, 2013

Exco Agama Saran Ibubapa Pastikan Anak Ikuti Kem Smart Solat

Gombak : Sempena cuti sekolah yang akan bermula November ini, Kelas Tuisyen Latih Tubi Sujek Kritikal (LASAK) dengan kerjasama Sekolah Seri Al Huda, Exco Hal Ehwal Agama, Sallehen Mukhyi, ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzuan, Badan-badan Kerajaan dan NGO, Masjid, Surau dan Ketua-ketua Kampung bakal mengadakan Kem Smart Solat (1) pada 22 sehingga 24 November, 2013. 


Pengarah Program Kem Smart Solat, Khaulah Azwar berkata, program yang dirancang pada September, 2013 adalah bertujuan untuk membantu memperbaiki ibadah pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah lagi.

Insya-Allah program yang berjalan selama 3 hari 2 malam di Kem Alang Sedayu akan memberi perkongsian ilmu kepada pelajar antaranya untuk memperbaiki mutu solat pelajar, menerangkan konsep ibadah yang sebenar; untuk mempertingkatkan jati diri, belajar hidup berdikari,  memantapkan rohani dan jasmani pelajar; mendedah teknik penghayatan bacaan di dalam solat .   Selain itu pelajar juga akan diberi teknik membuat hafazan Al-Quran, mengambil air wudhu dengan cara yang betul, mandi hadas besar dan berbagai lagi.


Menurut Khaulah sepanjang kem diadakan pelajar bukan sahaja di dedahkan cara memperbaiki mutu solat tetapi berbagai aktiviti tahan lasak diadakan antaranya Jungle tracking, Night walking, Flying fox , Ikhtiar hidup, Repelling, Rempuh halangan, memanah, paintball dan sebagainya. Namun sekiranya pelajar ada masalah kesihatan kita sediakan slot lain.

Khaulah yang juga merangkap Jawatankuasa Pembangunan SERI AL Huda menambah lagi, tergerak hati untuk adakan Kem Smart Solat untuk pelajar sekolah rendah adalah satu tanggungjawab untuk membantu ibubapa penjaga yang tidak berkesempatan untuk menyemak dan memperbaiki solat anak-anak. Setiap kali melihat pelajar sekolah rendah saya akan terbayang anak-anak yang kecil ini merupakan kain putih yang perlu perhatian dan bimbingan agama.


Perkara pertama yang akan disoal Allah SWT adalah Solat. Jika solat, mandi hadas tidak betul maka ibadah lain yang dilakukan tidak akan diterima Allah. Maka di peringkat usia dari kecil inilah kita harus membetulkan ibadah anak-anak, katanya.


Jelasnya lagi, semenjak promosi Kem ini diadakan ramai ibubapa penjaga yang hubungi mengatakan Kem Smart Solat memang perlu diadakan di peringkat sekolah rendah kerana pendedahan ilmu yang melbatkan fardhu ain perlu dari kecil lagi. Mereka tidak menafikan kesibukan ibubapa penjaga kerana kerja dan tidak ada waktu untuk menyemak bacaan solat anak, doa iftitah, doa qunut  dan lain-lain yang bersangkut paut dengan solat menjadi ibadah anak-anak tunggang langgang walaupun ibubapa sudah hantar anak-anak ke sekolah agama. Tetapi apabila ibubapa menyemak ibadah anak-anak menjadi satu kekecewaan kerana masih banyak perlu diperbaiki.


Justeru dengan usaha kecil ini saya dan teman-teman yang  telah lama terlibat dalam  kem motivasi pelajar  selama 12 tahun bersama pakar-pakar motivasi seperti Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Amin Idris, Ustaz Zamri (Mari Mengaji), dan beberapa penceramah Motivasi terkenal banyak memberi pengalaman kepada saya untuk membantu pelajar-pelajar  lain. Apa yang saya lihat ramai  pelajar yang telah ikuti kem – kem yang kami anjurkan selama ini tidak hanya ikut satu kem tetapi jika peluang kem lain diadakan mereka tidak ketinggalan untuk ikuti kem lain. Kepercayaan ibubapa dengan kem yang kami anjurkan telah dibuktikan apabila ramai pelajar yang kami lahirkan menjadi remaja muslim yang beribawa seperti yang di tuntut dalam Islam iaitu mesti menjadi mukmin yang berjaya dunia akhirat dan disegani dan akhirnya memberi infaq besar kepada masyarakat luar.

Antara Kem yang pernah diadakan seperti Kem Anak Solih, Kem Kelab Remaja Islam Selangor (KRIS), Kem Belia , Kem Anak Pintar, Kem Sayangi diri sayangi keluarga, Kem Remaja Islam Hebat, Kem Solat Memang Best dan banyak lagi.  

Jelasnya lagi, apa yang kita lihat ramai peserta yang telah ikuti Kem kami alhamdulilah walaupun bekerja duduk di perantauan namun mereka masih berhubung dengan kami. Akhlak mereka terjaga. Bahkan adik-adik ini juga sedia berkhidmat dengan kami untuk menjadi fasilitator setiap kali kem diadakan. Inilah produk-produk yang bermutu mampu kami lahirkan sebagai pelapis kami akan datang. Kemesraan antara peserta, jurulatih, penceramah  sangat kuat seperti saudara kandung sendiri.

Disini juga pelajar diajar agar menyayangi rakan sebaya, menghormati guru-guru dan orang yang lebih tua. Mereka diberi kesedaran betapa pentingnya hidup ini dengan berlandaskan konsep islam yang sebenarnya. Hidup untuk memberi yang terbaik kepada keluarga dan masyarakat. Apabila asas imannya kuat insya-Allah mereka tahu menghargai diri mereka serta keluarga dan jauh dari terjebak aktiviti kurang sihat seperti rempit, pergaulan rambang dan sebagainya yang sekaligus membimbangkan ibubapa dan masyarakat luar. Ibubapa yang ingin maklumat lanjut hubungi 013-6893185, 017-2436875, 013-3237743, 019-7547574, 013-2783695,  ujarnya selepas mesyuarat Kem Smart Solat di  Universiti Islam Antarabangsa (UIA), semalam.



Sementara itu, Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi pula berkata program Kem Smart Solat yang dianjurkan Kelas Tuisyen LASAK pada musim cuti sekolah merupakan satu insatif yang amat baik untuk semua pelajar ikuti. Ibubapa penjaga sewajarnya mengambil peluang ini dengan memastikan anak-anak ikuti progam ilmiah seperti ini. Jangan biarkan cuti anak-anak selama hampir dua bulan tidak diisi dengan sebaiknya. Perancangan balik kampung dan lain-lain boleh di kemudian. Kita yang merancang jadual keluarga maka sewajarnya ibubapa memastikan jadual pada 22-24 November diisi untuk anak-anak menuntut ilmu fardhu ain wajib setiap insan menuntutnya.

“ Bagi saya progam ini bukan sahaja perlu diadakan untuk pelajar sekolah rendah tetapi perlu diberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah juga. Jika boleh ibubapa juga perlu ikuti kem ibadah membetulkan solat kita yang saya rasa memang banyak perlu kita baiki dan pelajari.  Saya percaya ramai antara kita tidak kira umur yang masih tidak menjaga solatnya. Baik pelajar sekolah rendah, sekolah menengan, IPT tetapi peringkat usia warga emas juga”.

Ramai diantara kita yang terleka dengan kesibukan urusan dunia mereka tidak mencari peluang dan adakan masa untuk menuntut ilmu fardhu ain dan ilmu kifayah. Sedangkan apabila kita sudah meninggal perkara pertama yang akan Allah SWT tanya adalah solat. Kesibukan kerja kadangkala solat pun buat “part time”, kadangkala solat, kadangkala tidak solat. Solat dibuat main-main. Sudah tidak nampak pintu masjid dan surau, ujarnya.

Menurut Sallehen, Solat adalah tiang agama. Jika tiang agama tidak dijaga akan runtuhlah agama. Allah SWT tidak tanya amal jariah kita, sedekah kita, ibadah lain tetapi yang pertama ditanya adalah solat. 



Tambahnya, Jika solat tidak di lakukan kita adalah manusia paling rugi. Kenapa? Sebab dengan solat kita adalah insan yang bersyukur kepada Allah kerana dahi ini mencecah ke tikar sejadah, dengan solat kita mendoakan ibubapa, keluarga, memohon kebaikan dunia akhirat. Dengan solat hidup kita rasa hidup bertuhankan satu. Tetapi apabila solat tidak dilakukan jiwa kita kacau, hati sering memberontak, kita tidak tahu dosa dan pahala, kita akan terus menerus membuat dosa kerana iman dihati tidak ada.

Justeru saya menyeru agar semua rakyat Malaysia terutamanya di negeri Selangor merebut peluang untuk memastikan anak-anak mengikuti Kem Smart Solat pada 22 – 24 November ini. Saya difahamkan oleh penganjur program ini mendapat sambutan dari Sabah dan Sarawak. Ini bermakna masyarakat luar di Sabah dan Sarawak yang duduk jauh juga sanggup hantar anak-anak mengikuti kem ibadah. Jadi mengapa kita di Selangor, Kuala Lumpur tidak,  soalnya yang merangkap ADUN Sabak.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI