Friday, May 22, 2009

Apakah CIRI-CIRI JEMAAH ISLAM yg perlu ada dlm diri individu??

1. Dasar perjuangan jemaah tersebut ialah ISLAM.

Kita telah diperintahkan oleh Allah dan kita juga telah meyakini bahawa Islam itu adalah agama yang lengkap dan menyeluruh seperti mana yang telah di sebut dalam ayat terakhir yang diturunkan oleh Allah swt: Maksudnya: "Hari ini telah aku sempurnakan bugi kamu agama kumu,telah aku cukupkan keatasmu, nikmatku dan aku redhakan Islam itu sebagai cara hidup kamu yang sebenar". (Surah al-Maidah ayat:3) Di atas dasar keyakinan ini maka wajib bagi kita untuk meletakkan Islam di hadapan dalam semua ruang lingkup kehidupan kita.


2. Perlembagaan hidup yang utama adalah Al Qur'an dan As Sunnah
Hadith Nabi saw yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. selagi mana kamu berpegang kepada dua perkara ini kamu tidak akan sesat buat selama lamanya. iaitu Kitab Allah dan sunnahku "(Bukhari)


3. Rujukan dan panduan hidup yang utama adalah Al-Qur’an

4. Terbinanya jemaah itu adalah atas kesedaran umat Islam sendiri kerana tuntutan al-Qur’an dan sunnah.
Ia bukan kerana dengki, khianat, atau hasutan dan pihak lain. Tetapi Islam yang nak dibawa adalah Islam yang timbul atas kesedaran terhadap kewajipan mereka untuk menyampaikan dakwah dan kewajipan untuk menegakkan Daulah Islamiah.

5. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar secara serentak.
Keadaan ini mengambarkan tasawwur Islam yang sebenar yang mana perlaksanaan dua perkara dalam keadaan serentak bahawa Islam itu adalah al-Din yang bencikan kepada kekufuran dan sangat memerlukan perkara yang ma’ruf sebagai landasan utama. Islam tidak boleh tertegak bersama terbinanya jahiliah di atas muka bumi.


6. Menyeru ke arah Islam yang syumul dengan menjadikan Islam sebagai Ad-Deen.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan". Sebagai individu yang mengaku dirinya sebagai muslim tidak boleh mengambil dalam perkara-perkara tertentu yang dirasakan penting untuk diri sendiri dan tidak bercanggah dengan kehendak diri.

Islam dengan agama lain adalah seperti minyak dengan air yang tidak akan bercampur walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan. Islam adalah Islam, yang ada manhaj hidupnya sendiri dan manhaj itu tidak pernah ditiru dari mana-mana manhaj golongan kuffar yang ada di atas muka bumi ini.

7. Jemaah yang membina akal pemikiran manusia serta yang mengarahkan penghayatan terhadap Islam.

Ia mengutamakan keredhaan Allah tanpa mencicirkan dunia dalam kehidupan Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Manusia boleh mencari apa sahaja yang mereka mahu di dunia ini, tetapi mereka tidak boleh melupakan akhirat, sepertimana pepatah Arab yang mengatakan:Maksudnya: Dunia ini adalah ladang bagi akhirat. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk hidup semata-mata kerana dunia atau akhirat.

Islam bukannya agama yang menyuruh umatnya menjadikan maddiyyah sebagai wawasan untuk berjaya. Itulah sebabnya Islam tidak menggalakkan umat manusia melonggokkan harta kemudian lalai dengan perintah Allah, tetapi harta itu disedekahkan atau dihadiahkan kepada golongan yang lemah. Itulah sebabnya di dalam Islam ada zakat. Islam mendidik hati dan syakhsiah umatnya untuk taat kepada perintah Allah. Selepas itu manusia akan dapat apa yang dihajatinya di dunia dan di akhirat.

8. Jemaah yang menjadikan ulama’ sebagai pimpinan atau rujukan utama mereka selepas al-Qur’an dan al-Hadith, ijma' dan qiyas sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: (Ulama’ yang benar-benar menghayati Islam itu adalah pewaris kepada nabi-nabi)

9. Jemaah yang terawal dan tertua (jamaah yang pertama) di dalam satu-satu daulah. , dan mengamalkan Islam secara lebih menyeluruh dan sempurna serta meletakkan al- Qur'an sebagai perlembagaan.

Jemaah yang terawal dalam satu-satu kelompok manusia, itulah jemaah Islam yang wajib diikuti. Selagi mana syarat penubuhannya memenuhi kriteria yang telah disebutkan sebelum ini. Sekiranya ada sesuatu yang dirasakan tidak betul pada jemaah tersebut, maka betulkanlah dengan cara , (muzakarah/munaqasyah) atau berdebat (mujadalah) dengan cara yang baik di antara ahli jemaah. Bukannya dengan cara memprotes dari luar.

10. Jemaah yang tidak memilih orang tertentu sahaja menjadi ahlinya.

Jemaah ini boleh disertai oleh semua manusia, dan syarat utama untuk menggabungkan diri dengan jemaah ini adalah Islam, dan ahlinya mestilah taat sepenuhnya kepada pemimpin tanpa membantah, selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah.Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: "Tidak ada ketaatan yang boleh diberikan kepada makhluk lerhadap perkara maksiat yang dilakukan di sisi Allah". Jemaah itu pula mestilah membela hak-hak Islam serta umatnya. Tidak ada ‘double standard’ dalam membela hak umat Islam sama ada terhadap golongan miskin atau kaya.

11. Asas perjuangan tersebut adalah ke arah penyempurnaan aqidah umat Islam.

Aktiviti utama yang ditekankan dalam jemaah tersebut adalah aktiviti yang lebih mementingkan aqidah umat islam. Mereka membela aqidah umat dan cuba mengelakkan umat dari terkeluar Islam. Mereka sanggup mempertahankan aqidah dengan berani dan berterus terang serta menolak segala bentuk amalan syirik. Mereka juga tidak mengambil sebarang dasar atau sistem dalam hidup mereka dengan sesuatu yang boleh menyebabkan syirik

12. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk menubuhkan sebuah negara berasaskan pemerintahan Islam.

Ini kerana perjuangan umat Islam yang ada sekarang adalah lebih kepada mengikut waqi’ perjuangan Rasulullah di Madinah. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk meletakkan semua umat Islam di bawah satu pemerintahan Islam, yang mengamalkan dasar-dasar dan sistem Islam di dalam pemerintahan secara kaffah (sepenuhnya). Ianya ditadbir oleh seorang pemimpin yang beragama Islam dan faqih serta boleh menjadi qudwah untuk semua dalam mencari kebaikan.

Mereka dengan berani dan tidak bersembunyi memperjelaskan kepada semua manusia bahawa cita-cita mereka adalah untuk mengembalikan Khilafah Islamiah dan melaksanakan perundangan mengikut ketetapan Allah. Untuk itu, mereka perlukan suatu kuasa untuk melindungi hukum-hukum Allah. Jika tidak ada kekuasaan bererti kebenaran tidak dapat dinyatakan dengan sebenarnya.

13. Jemaah yang menyerahkan seluruh pergantungan dan ketaatan (wala’) hanya kepada Allah SWT, walaupun tidak diterima oleh manusia atau makhluk lain.

Jemaah ini akur dengan segala ketetapan qada’ dan qadar Allah. Mereka redha terhadap apa yang patut di terima tanpa mengingkari perintah Allah. Yang penting mereka dapat menjalinkan hubungan dengan Allah sebagai hubungan antara tuan dengan hambanya tanpa ada sebarang sekatan atau hijab.Jemaah Islam juga akan sentiasa bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman(seperti yang berlaku terhadap Ikhwan Muslimin, Hamas dan mana-mana saja). Rasulullah SAW juga menyatakan di akhir zaman nanti, Islam sentiasa akan bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman dan Rasulullah saw memerintahkan kita supaya tetap berpegang teguh dengan islam. Jemaah sebenar akan mendapat tentangan dari semua pihak. Tetapi tentangan itu adalah ujian dari Allah.

Usah Bezakan Ulama & Profesional


Usahkan Bezakan Ulama Dan Profesional
Kategori: Isu Semasa

KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar.

Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa lalu. Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang.

Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini? Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan. Dalam al Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari ang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita. Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama.
Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains. Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini.

Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan. Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya nonMuslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu. Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah.

Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang. Kebiasaannya ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama?Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu, orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al Quran dia hafal dan akademik pun tahu. Generasi baru sekarang menerajui gerakan Islam. Apa pula maksud profesional?Pada tanggapan saya orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok. Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.

Bolehkah dikatakan pakar ekonomi dan bidang lain dikenali sebagai ulama memandangkan pengetahuan agama pun ada?Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut. Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama.Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.

Barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang dikategori sebagai ulama?Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.

Apa nasihat Tuan Guru mengatasi percanggahan pandangan sekarang?

Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah. Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah. Kita cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama. Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno, namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam.

Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.

Sekarang ramai pemimpin tampil merebut jawatan dalam PAS, tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?

Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.

Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?

Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus. Tidakkah boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut ‘Hai Adam apabila kamu turun ke bumi kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah.’

Sekarang apabila perwakilan ramai kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan. Sebelum ini media harian menganggap wujud dua kelompok dalam PAS iaitu pro Endorgan dan konvensional. Benarkah demikian? Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka. Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat.


Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu ditempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.


Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang cuba melagakan dengan Presiden. Sejauh mana kebenarannya?


Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.


Bagaimana pula dengan isu unity government?

Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.

Ribuan iringi perjalanan akhir Paksu Mail

Ribuan iringi perjalanan akhir Paksu Mail
Salmah Mat Husain
Fri | May 22, 09 | 3:23:07 pm MYT


KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob, 60, di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.

Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.

Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.

Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.

Anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas kematian Paksu Mail biar pun beliau baru dikenali secara dekat hampir dua tahun lalu.

Katanya, biar pun baru kenal namun hubungan dengannya begitu mesra dan mudah diajak berunding.

"Personaliti Paksu Mail memang cukup hebat di kalangan masyarakat kampung. Semua orang yang ditemui kenal beliau. Allahyarham bersikap sederhana biar pun sudah lama menjadi wakil rakyat.

"Pemimpin sepertinya memang sukar untuk dicari ganti. Kita sama-sama doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beramal soleh," katanya ketika ditemui di sini.

Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, nama Paksu Mail sudah sinonim dengan penduduk Manek Urai kerana semua orang mengenalinya.

Menurutnya Paksu Mail merupakan penggerak utama kepada bahagian keselamatan PAS ketika berlangsung pilihan raya atau sesuatu program besar.

Kata beliau watak yang ada padanya biar pun tegas namun mudah didekati kawan dan lawan. - mj/mks. _

ADUN MANIK URAI, Ismail Yaacob Kembali Kerahmatuallah.Alfateha..

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah

Harakahdaily
Fri | May 22, 09 | 9:28:33 am MYT


KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) -Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manik Urai, Haji Ismail bin Yaacob, 60 meninggal dunia selepas subuh sebentar tadi.

Haji Ismail dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis) sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Menurut laporan beliau akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Wel antara Adun yang paling lama di Kelantan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim, Tetapi tewas kepada calon BN. - azm _

Najib bawa BN ke penghujung senja, Sebelum Bertarung Menyerah Kalah??

Najib bawa BN ke hujung senja
Zuharman MN
Thu | May 21, 09 | 3:39:34 pm MYT


KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Keengganan Umno bertanding pada pilihan raya kecil Dun Penanti pada 31 Mei ini memberi ruang cukup besar pelbagai pihak memperlekehkan kepimpinan Dato' Seri Najib Razak.

Ternyata presiden baru Umno mahu menongkah arus. Mencipta seberapa banyak kejutan.

Biar apa sekali pun alasan yang dipertahankan, ternyata keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding membuktikan kelemahan parti tersebut sebelum bertarung.

Menyerah kalah sebelum masuk gelanggang. Bukankah pemimpin Umno dan BN sebelum sering menguar-uarkan tanpa mereka rakyat Malaysia tidak dapat hidup aman.

Namun berdasarkan kepada apa yang berlaku Isnin lalu ia menggambarkan Umno dan BN bukanlah sebuah parti yang kuat sebagaimana diagung-agungkan selama ini.

Hari ini ia kelihatan bukan lagi satu keputusan luar biasa. Kekhuatirannya menghadapi pilihan raya bermakna dalam diam BN menerima hakikat kelemahan partinya mendapat sokongan rakyat.

Peluang makin cerah

Bagaimanapun bagi Pakatan Rakyat (PR), sama ada BN akan bertanding atau tidak, keyakinan rakyat terhadap Pakatan tidak mampu ditolak lagi. Dan sekarang peluang memenangi Penanti tambah cerah.

Pilihan raya kecil Dun Penanti diadakan berikutan Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti KeADILan Rakyat meletakkan jawatan 16 April lalu.

Najib mengumumkan BN tidak akan bertanding di Penanti dengan alasan tidak mahu mengikut gelombang dicipta Pakatan Rakyat.

Waraskah dengan kenyataan semudah itu bagi seorang ketua negara. Alasan itu hanya menjadi bahan ketawa orang kampung. Bukankah lebih baik kalau tidak berselindung di balik bayang sendiri.

Sebenarnya momentum sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi parti tersebut.

Inilah alasan paling mujarab. Mungkin juga inilah satu cara Najib ingin menjaga imejnya daripada terus tercalar setelah beberapa episod duka menghantui personalitinya belum selesai.

Sebagaimana kata Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail fenomena politik semasa faktor utama BN tidak bertanding di Penanti.

"Krisis politik di Perak dengan perebutan jawatan Menteri Besar masih belum selesai. BN khuatir ianya memberi kesan kepada mereka.

"Najib juga belum yakin dengan kepimpinannya untuk menarik sokongan rakyat di samping tidak berani menempuh kubu kuat Pakatan di Penanti,? katanya.

KeADILan telah lama mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman sebagai calon untuk mempertahankan Penanti.

Inilah julung kali sejarah politik tanah air tidak pernah berlaku tiba-tiba ditempa BN bagi pertontonkan kepada rakyat.

Kata orang tua, tewas di luar gelanggang sebelum bertarung adalah bukan dari kalangan orang yang memiliki semangat perwira. Dan orang-orang seperti ini sebenarnya tidak layak untuk menjadi pemimpin.

Dan hakikat itu amat sinonim dengan Umno sekarang, betapa rapuhnya mereka menjelang usia senja. - mj _

MAHKAMAH RAYUAN: 3 HAKIM PUTUS NIZAR KALAH.."DIMANAKAH KEADILAN???

Mahkamah Rayuan: Tiga hakim putus Nizar kalah
Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | May 22, 09 | 3:55:59 pm MYT

PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry.

Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan.

Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

"Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri," katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam.

Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato' Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya)," katanya.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," katanya.

Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang.

"Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," kata Cecil.

Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.

Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu. - azm/mks. _

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI