Thursday, January 28, 2010

SAFAR JUMAAT: Royalti-Mungkinkah Ku Li dipecat dari Umno?

SIAPAKAH di kalangan orang Umno yang sanggup mencadangkan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipecat dari parti ekoran kesediaan beliau mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan pakatan pembangkang?

Kelazimannya, mana-mana ahli parti tidak dibenarkan menyertai mana-mana majlis pembangkang, apatah lagi memainkan peranan penting seperti menjadi pengerusi, berucap dan mengambil bahagian – atas apa juga niat.

Semalam (Khamis), Tengku Razaleigh sudah pun berucap di hadapan 20,000 hadirin di Stadium Sultan Mohamed ke IV, Kota Bharu dalam Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Khabarnya, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar juga hadir mengiringi Tengku Razaleigh.

Apa yang diperkatakan Tengku Razaleigh ketika berucap di stadium tidak perlu diperbahaskan kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab membuat perjanjian Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan dahulu, tetapi suatu perkara yang perlu dibincangkan di sini ialah keberanian dan kesanggupan Ahli Parlimen Gua Musang ini untuk ‘membayar hutangnya’ kepada rakyat Kelantan.

Siapa selain Tengku Razaleigh dari kalangan mereka yang masih berada di dalam Umno sanggup ‘membayar hutang’ serupa kepada rakyat Kelantan, bercakap benar dalam isu royalti, bukan wang ihsan – seterusnya sanggup menerima hukuman dari parti yang mereka wakili, demi mendahulukan rakyat (Kelantan) dan mengutamakan pencapaian?

Tengku Razaleigh sebenarnya memang mempunyai keberanian yang mencukupi. Jika tidak kerana keberaniannya, mustahil beliau boleh menentang Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno 1987 dahulu.

Atas sebab keberaniannya jugalah tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 (S 46) yang menyebabkan ramai juga yang menang kerusi DUN dan Parlimen atas tiket parti itu, termasuk Allahyarham Kahar Ahmad di Muar, Tarikh Junid di Selangor, seorang di Jerantut dan ramai dari Kelantan.

Hari ini, apabila Tengku Razaleigh menyanggupi tawaran mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan ia sekaligus menafikan dakwaan beberapa pihak dalam Umno, kononnya Tengku Razaleigh hari ini bukan lagi Tengku Razaleigh yang pernah bertanding jawatan Presiden Umno dalam tahun 1987.

Malahan, Tengku Razaleigh sudah berjaya mencetuskan kontroversi kerana kesanggupannya menerima jemputan memberi ceramah sempena Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum, semalam.

Agaknya, Tengku Razaleigh sendiri sudah lama tidak berhadapan dengan 20,000 hadirin seperti mana majlis semalam, kerana jika program itu anjuran Umno atau BN, khalayak seperti itu mustahil akan dapat disaksikan!

Inilah kelebihan Pas – sikap dan disiplin penyokong-penyokongnya yang sentiasa bersedia memenuhi ruang untuk mendengar ceramah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Tengku Razaleigh duduk bersekali dengan Menteri Besar Kelantan.

Umno mungkin melihat Tengku Razaleigh tidak menyayangi parti itu lagi kerana sanggup menerima jemputan pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, orang-orang Umno tidak pernah pun mahu memikirkan apakah yang mereka pernah beri kepada Tengku Razaleigh ketika Tengku Razaleigh yang mempunyai banyak pengalaman untuk berhadapan dengan rakyat.

Barangkali, mereka memikirkan, jika Tengku Razaleigh diberikan peranan, jawatan dan tugasan, menyebabkan Tengku Razaleigh akan menjadi popular hingga menyebabkan jawatan Presiden Umno tergugat.

Atau, mereka fikir, Tengku Razaleigh sudah tidak mempunyai apa-apa pengaruh lagi kepada khalayak yang menyebabkan mereka mahu Tengku Razaleigh dijauhkan dari mata dan ingatan rakyat!

Hari ini, jika Umno mahu menyenaraikan ‘musuh-musuh’ baru mereka, satu senarai panjang akan dilihat. Selain Tengku Razaleigh, Dr. Mahathir Mohamad juga bolehlah dianggap sebagai seorang bekas pemimpin Umno yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Serangannya terhadap ura-ura Umno mahu mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang tidak lama dahulu sudah cukup merimaskan. Ini belum lagi soal kekosongan jawatan Pengerusi dan Pengarah Urusan Petronas di mana beliau adalah Penasihatnya.

Dr. Mahathir juga dilihat sering berbalah dengan Menteri-Menteri Kabinet, antaranya Datuk Mohd Nazri Aziz – isu terbaru soal kursus anjuran BTN yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak campurtangan dan meminta semua pihak mengunci mulut dari memperkatakannya.

Ini belum masuk nama-nama seperti Datuk Seri Chua Jui Meng, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail dan ramai lagi, mereka yang pernah memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.

Tengku Razaleigh dan Dr. Mahathir masih ahli Umno. Namun, kecenderungan mereka bercakap benar menyebabkan Umno resah dan gelisah.

Tidak hairanlah kalau Tengku Razaleigh memberitahu kawan-kawan rapatnya, beliau perlu menjelaskan hutangnya kepada rakyat Kelantan dalam isu perjanjian royalti antara Kelantan dengan Petronas.

Hari ini, jika terlintas di fikiran Najib mahu memberikan jawatan kepada Tengku Razaleigh, mungkin ia sudah terlambat. Tengku Razaleigh tidak mungkin mahu berundur setapak ke belakang demi menerima jawatan dan tawaran.

Tengku Razaleigh bukan budak-budak yang boleh disuapkan dengan gula-gula untuk menutup mulutnya dari bercakap perkara-perkara yang benar. Malahan, Najib mungkin tidak mempunyai cukup keberanian untuk menawarkan apa-apa jawatan dan peranan kepada Tengku Razaleigh sekarang, selepas Najib berkeras tidak mahu memberikan royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Siapa Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Datuk Ibrahim Ali yang mahu tampil bercakap soal royalti dan ihsan selagi Tengku Razaleigh ada di maya pada ini?

Himpunan 10 ribu pemuda PAS Perak


IPOH, 28 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengambil kesempatan untuk memperkatakan agenda Himpunan 10,000 Pemuda PAS Perak yang telah di rancang akan diadakan pada hari Ahad, 31 Januari 2010 ini di Darul Taa’lim, Kubu Gajah, Selama, Larut.

Majlis akan bermula dengan perasmian oleh Ustaz Haji Abu Bakar Hussien, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak pada jam 10.00 pagi. Pengisian di sebelah pagi ialah persembahan pentas dan juga aturcara pertunjukan. Akan ada juga beberapa gerai pameran yang telah di jemput hadir selain gerai jualan dan juga bahagian derma darah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

DPPN Pk juga akan mengadakan majlis kenduri pemuda setelah kita berhenti berehat untuk makan tengahari dan bersolat Zohor jamaah. Pada sebelah petangnya kita akan mendengar beberapa ucapan pimpinan tertinggi kita. Antaranya ialah Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga akan merasmikan Jentera Pilihanraya Pemuda PAS Perak.

Selepas itu ucapan daripada Menteri Besar kita, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin. YB Datuk Haji Mahfuz Haji Omar, Naib Presiden PAS juga akan memberikan ucapan pada sebelah petang tersebut. Dan akhir sekali ialah ucapan penutup daripada YB Haji Salahuddin Haji Ayub, Naib Presiden PAS dan majlis di jangka berakhir pada jam 5.00 petang.

DPPN Pk menjemput dan mempersilakan seluruh Ahli Pemuda PAS Perak dan penyokong muda PAS untuk hadir beramai-ramai dengan sasaran kita sebanyak 10,000 orang pada hari tersebut. Program yang julung-julung kali ini diadakan adalah menyatakan persediaan Pemuda PAS Perak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak pada bila-bila masa sahaja.

DPPN Pk yakin dengan program tersebut akan membuktikan bahawa Pemuda PAS telah bersedia untuk berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya tersebut. Ayuh Pemuda bersama kami, gerakkan kawan, sahabat dan rakan anda untuk hadir demi menunjukkan kepada seluruh rakyat bahawa PAS cintakan demokrasi.

DPPN Pk meminta supaya semua yang hadir, memakai baju berwarna hijau, simbolik kepada PAS yang kita dokongi ini. Saya mengalu-alukan kehadiran semua pada hari tersebut. Sekian terima kasih.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.


Pemuda PAS persoal daftar Puteri Umno di sekolah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan kewajaran tindakan Umno Bahagian Segambut dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut yang membuat kempen pendaftaran Puteri Umno kepada pelajar-pelajar sekolah.

Expo Pendidikan Jalinan Mesra 1 Malaysia yang dianjurkan sebenarnya hanyalah gimik pihak sekolah dan Umno Bahagian untuk mengambil kesempatan ke atas pelajar-pelajar sekolah.

DPPWP kesal dengan kecurangan yang ditunjukan oleh pihak Sekolah yang bersekongkol dengan Umno untuk mempolitikan pelajar sekolah. DPPWP mengesa agar pengetua sekolah berkenaan diambil tindakan tatatertib di atas tindakan beliau membenarkan Umno mendaftarkan Pelajarnya sebagai anggota Puteri Umno.

Jika Pihak Kementerian enggan bertindak, DPPWP mahu pihak Kerajaan memansuhkan larangan ke atas semua kakitangan awam, guru dan pelajar yang selama ini dilarang berpolitik.

Sewajarnya hak yang sama diberikan jika pihak Kerajaan benar-benar ikhlas dalam dasar yang direka mereka.

Sebelum ini Ahli Parlimen Segambut, YB. Lim Lip Eng telah dihalang untuk mengedarkan topeng muka H1N1 kepada pelajar.

Begitu juga yang berlaku kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Yb. Dr. Lo'Lo' Hj. Mohamad Ghazali yang dihalang menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar di dalam kawasan Sekolah hingga terpaksa menyewa Hostel untuk program berkenaan.

Kuala Lumpur kini dikuasai oleh Pakatan yang memiliki 10 Kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional yang hanya ada 1 Kerusi. Tetapi kerana di Kuala Lumpur ini tiadanya Dewan Undangan Negeri maka, Umno dan Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan mempergunakan sepenuhnya agensi Kerajaan yang ada termasuk Sekolah untuk kepentingan mereka dan melarang agensi berkenaan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pakatan yang dipilih rakyat.

Lihat sahaja Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Siapa dia di Parlimen? Dia hanya seorang Senator yang dilantik dari pintu belakang Pejabat Perdana Menteri, bukan wakil yang dipilih rakyat.

DPPWP bertegas agar Kerajaan memberikan layanan yang adil kepada semua wakil rakyat dan tidak memperkudakan sekolah dan agensi Kerajaan yang lain untuk meraikan 'wakil Rakyat Haram' di Kuala Lumpur.

Herman Samsudeen
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuaan

Zambry bermain dengan perang haram - Nizar

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, pihak yang bermain dengan perang saraf (mind games) sebenarnya adalah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

"Dia bukan sahaja bermain dengan mind games (perang saraf) bahkan juga perang haram (illegal games)," kata Nizar kepada Harakahdaily.

Media hari ini melaporkan seruan Datuk Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar BN Perak, agar Pakatan Rakyat di Perak menghentikan perang saraf dengan kenyataan mengatakan ‘Don’t Play Mind Games’.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Nizar berkata bahawa yang bermain ‘mind games’ ialah Datuk Zambry. Bukan setakat itu, dia yang juga sedang bermain ‘illegal games’.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat yang sah digulingkan oleh BN pada 5hb Februari 2009 sehinggalah tarikh keputusan Mahkamah pada 9hb Februari 2010 nanti, jawatan Menteri Besar Negeri Perak telah dikosongkan iaitu tiada siapa pun yang memegang jawatan ini.

“Yang bermain ‘mind games’ sebenarnya ialah Datuk Zambry Abdul Kadir dan EXCOnya yang haram itu,” kata Nizar dengan sinisnya.

Chang Lih Kang, ADUN Teja pula berasa hairan dengan kenyataan Zambry dan berpendapat mungkin Zambry dengan tiba-tiba telah berasa gelisah menunggu keputusan mahkamah pada 9 Februari nanti.

Chang berpendapat bahawa jika perkara ini sudah jelas dan berpihak kepada Datuk Zambry, maka keputusan Mahkamah akan sudah diberi pada 5hb November 2009 yang lalu iaitu ketika mahkamah itu bersidang.
Oleh itu, beliau berasa mungkin keputusan akan berpihak kepada Datuk Seri Nizar. Namun ini adalah jangkaan beliau sahaja.

“Kami tidak bermain apa-apa game pun, mungkin Datuk Zambry berasa bimbang dan resah akan keputusan yang diberi oleh mahkamah nanti, oleh itu beliau membuat kenyataan sedemikian,” ujar Chang lagi.

Menurutnya, Pakatan telah bersiap sedia untuk Pilihanraya di negeri Perak sejak rampasan kuasa oleh BN pada Februari tahun lalu.

Namun demikian, kami berasa tidaklah senang untuk mendapat kemenangan disebabkan oleh tambahan banyak nama dalam senarai Daftar Pengundi yang disemak oleh pihak Pakatan Rakyat pada September 2009. Kami akan menyemak dengan teliti nama-nama yang baru ini," kata Chang lagi.

Menurut Chang, mungkin nama-nama yang baru ini adalah yang mungkin akan menyokong dan mengundi BN.

Jika begitu BN mungkin boleh menang di kawasan dimana Adun Pakatan Rakyat mendapat kemenangan dengan majoriti yang tipis dalam Pilihanraya Umum Mac 2008 yang lalu, katanya.

"Bukan senang untuk Pakatan Rakyat memenangi kembali Negeri Perak. Pertempuran dijangka sengit dan 50% peluang kemenangan sebelum September 2009 telah turun,” sambungnya lagi.

Sementara itu, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Ipoh Timur, ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semakin dekat dengan tarikh keputusan, maka semakin hangatlah perang saikologi (psychological warfare) yang dilancarkan oleh pihak BN.


Kalimah Allah: Satu wajah dua sisi - Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat



Saya telah diminta untuk menjelaskan dan memberi rasional kenapa tampak seperti ada dua sudut pandang dan pendirian yang berlawanan di kalangan tokoh-tokoh ulama utama PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan-Islam. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan saya pula berasa amat tidak selesa dengan tugasan ini.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Dato’ Nik Abd Aziz (TGNA) dan Presidennya, DS Hj Abd Hadi Awang (DSHA) mewakili pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama-agama lain itu ‘yajuz’ atau ‘harus’, khususnya agama-agama warisan Nabi Ibrahim (Kristian dan Yahudi), sementara Timbalan Mursyidul Am Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Haron Din (DDHA) (dan juga beberapa buah NGO Islam dan sebilangan ahli akademik) mengambil pendirian berlawanan, iaitu tidak membenarkan penggunaan kalimah itu oleh orang lain.

Saya memang mahu menulis artikel ini lebih awal, tetapi telah mengambil sikap bersabar sedikit untuk membaca tulisan-tulisan yang lain terlebih dahulu, terutamanya yang ditulis oleh para ulama. Justeru ketika tidak mendapati analisis ini, saya menulis juga artikel ini selepas diminta berbuat demikian.

Supaya tidak terlalu panjang dan bagi manfaat orang awam, juga penganut agama-agama lain, saya akan cuba memudahkan wacana teologi yang agak rumit ini. Namun begitu, saya tidak pula dapat mengelak daripada menggunakan beberapa terminologi atau perkataan Arab. Barangkali ia adalah pendedahan yang juga ada kebaikannya untuk sesetengah pembaca.

Secara mudah, kedua-dua pendirian yang berlawanan ini terhasil kerana kedua-duanya melihat subjek ini daripada pendekatan metodotogi yang berbeza, yang bersandarkan dua perspektif yang juga berbeza. Oleh itu, tidaklah memeranjatkan sekirannya ia menghasilkan rumusan yang berlawanan juga.

Lebih menarik, walaupun pendirian dan rumusannya tampak berlawanan, namun kedua-duanya masih berada dalam lingkungan pandangan pemikiran Islam, dan secara umumnya ‘betul’ dalam perspektifnya masing-masing. Jika ia kedengaran mengelirukan atau pelik, mari kita gunakan analogi “satu wajah, dua sisi”. Saya akan berusaha bersikap adil dan objektif dalam hal ini.

Kedua-dua sisi wajah ini pastilah nampak berbeza, tetapi ia masih mewakili wajah yang sama seumpama satu syiling. Kita tidak perlu bertegang leher bagi menentukan sisi mana yang betul atau lebih penting. Ia bukanlah usaha untuk menentukan pendirian yang betul atau salah, sebaliknya yang lebih tepat ialah untuk menentukan pandangan atau perspektif mana yang lebih wajar diambil setelah mengambil kira konteks ruang dan realiti semasa yang tertentu.

Secara mudah, sebagai ad-Deen atau Cara Hidup, Islam berdiri di atas dua tonggak, iaitu:

1. Aqidah – perkara-perkara berkaitan teologi mengenai Kepercayaan dan Keimanan kepada Allah (dan rukun-rukun Iman yang lain seperti Kenabian, Wahyu dan sebagainya)

2. Ibadah – perkara-perkara berkaitan kepatuhan/pengabdian manusia terhadap Allah SWT.

Kedua-dua tonggak ini merupakan agenda utama Dakwah atau Risalah semua Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad SAW. Dakwah merupakan raison de’etre atau intipati tugas semua Nabi (Wazifatul Rasul). Dakwah juga adalah sebab dijadikan seluruh semesta alam ini bagi Allah diperkenalkan kepada makhluq dengan perantaraan para anbiya’ dan mursalin melalui Syariat dan Manhaj (Metodologi) tertentu.

Jika ini telah difahami, maka kita akan beralih kepada usaha memahami kedua-dua sudut pandang di atas.

DDHD berhujah dari perspektif aqidah, sementara TGNA dan DSHA pula mengambil perspektif Dakwah (dan bidang Siyasah Syar’iah – politik dari prisme Syariah – yang lebih luas), tanpa sama-sekali menafikan kepentingan perspektif aqidah.

Dari perspektif disiplin Aqidah Islam, Allah merupakan nama khas Al-Ilah atau Tuhan (lafzul-Jalalah) yang merangkumi ketiga-tiga aspek Keesaan Ketuhanan, iaitu sebagai Pencipta dan Pemelihara (Tauhid Rububiyah), Pembuat Undang-undang (Tauhid Uluhiyah), serta Tauhid Asma’ wa Sifat yang mewakili 99 NamaNya yang terkandung dalam al-Quran (seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Malik, al-Quddus dan lain-lain) serta 20 SifatNya (al-Wujud, al-Baqa’, al-Wahdaniyah dll).

Surah al-Ikhlas (ayat 1-4) menegaskan Ketunggalan Keesaaan Allah ini.

FirmanNya:Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Berdasarkan huraian di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Keesaan Allah merupakan tonggak terpenting Islam, dan bahawa tidak ada sesiapa atau apa-apa pun yang setaraf, bersekutu atau serupa denganNya. Sejak manusia sedari zaman Nabi Adam AS lagi, telah melakukan pelbagai dosa dengan menyekutukan Allah dengan pelbagai bentuk tuhan, dewa atau anak dan sebagainya, maka Allah telah mengutuskan para Nabi bagi menyucikan kepercayaan kepada Keesaan Tuhan.

Disiplin Usuludin merupakan cabang pemikiran Islam yang berperanan memelihara dan mempertahankan ketulenan dan kesucian keimanan terhadap Keesaan Allah dan rukun-rukun keimanan (Al-‘Aqaid) yang lain. Di kalangan orang Islam, pengetahuan yang mendalam tentang Usuludin dianggap penting dan utama kerana ia berperanan memelihara penganut Islam daripada amalan dan kepercayaan yang salah dan sesat.

Sehingga ke tahap ini, jelas bahawa hujah bagi menyokong penekanan terhadap pengetahuan Umat Islam dalam aspek Usuludin atas perbahasan isu ini, terutamanya pelbagai aspek Aqidahnya, termasuk Nama-nama dan Sifat-sifat Allah adalah meyakinkan dan kukuh.

Menurut metodologi ini, sayugia dijelaskan bahawa Nama Allah adalah termasuk dan dianggap sebagai sebahagian daripada ciri atau milik khusus agama Islam. Hal ini adalah kerana hanya orang Islam sahaja yang menerima dan mengimani Allah sebagai Al-Ilah atau Tuhan seperti yang dihuraikan di atas. Justeru itu maka hanya orang Islam sahaja yang berhak dan layak untuk menggunakan Nama Allah itu kerana penggunaan nama Allah oleh yang golongan agama lain, tidak menjamin maksud yang sama. Apatah lagi ia juga merupakan Lafzul-Jalalah, ia itu nama khas dan istimewa Allah, selain daripada 99 NamaNya yang disebut sebelum ini.

Permasalahan dikesani ketika melampaui peringkat ini, dimana logika pendekatan ini, penggunaanya bukan sahaja tidak dibolehkan kepada orang lain, tetapi ia kini telah turut dikanun atau diundang-undangkan sebagai satu kesalahan oleh beberapa undang-undang negeri-negeri yang sedia ada.

Oleh sebab perkataan itu ditanggappi suci atau kudus dalam Islam, maka ia tentulah tidak boleh digunakan oleh orang lain. Perkataan-perkataan lain yang termasuk ke dalam kategori ini adalah Kaabah, Mufti, Ulama dan sebagainya. Kini ia telah diharamkan dan dijadikan eksklusif bagi umat Islam di sesetengah negeri di Malaysia. Hal ini kini diperdebatkan dengan begitu sengit sekali. Bantahan terhadap pendirian sebegini tampaknya telah menjadi lebih pelik dalam zaman pencerahan maklumat dan pengetahuan sekarang.

Bersekali dengan kebimbangan terhadap salah guna dan ancaman kegiatan mubaligh Kristian di kalangan umat Islam, maka langkah mengharamkan penggunaan kalimah Allah itu ditanggapi golongan ummat Islam ini sesuatu yang tampak kena dan wajar. Penelitian terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 menyerlahkan jalur fikiran dan garis hujah ini. Kes pengharaman edisi bahasa Melayu akhbar mingguan The Catholic Herald oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru kini menjadi kontroversi besar berpotensi menggegarkan negara ini.

Meneliti pendirian yang diambil oleh AJK PAS, yang juga merupakan pendirian TGNA dan DSHA, dalam isu penggunaan Nama Allah membawa kita sekaligus menelusuri konteks Dakwah Nabi Muhammad yang lebih besar – yang mengambil masa selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Al-Quran telah dengan begitu jelas sekali merakamkan bahawa masyarakat yang wujud semasa kemunculan Nabi terakhir, Muhammad SAW, telah turut sama menggunakan perkataan Allah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” . (Luqman:25)

Dari segi teologi, walaupun para penyembah berhala di Mekah menerima Allah sebagai Rabb (Tuhan), namun mereka juga mengadakan berhala-berhala dan sebagainya di sisi Allah dan menganggapnya sebagai tuhan juga. Ketauhidan Allah yang sempurna tidak mereka imani. Bahkan Allah menerangkan apakah sebabnya amalan syirik itu mereka teruskan dalam Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 3: “Tidaklah kami menyembah mereka kecuali untuk kami dapat bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah”.

Pun begitu, kedudukan golongan Ahli Kitab. Lebih jelas lagi, bagi agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain pula, perkara penggunaan perkataan Allah ini dilihat jelas dalam surah al-Haj, ayat 40.

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya”.

Daripada pelbagai ayat ini, para Mufaseer berhujah bahawa nama Allah bukanlah hak eksklusif orang Islam. Imam Al-Qurtubi (1214-1273), pakar tafsir al-Quran, merumuskan bahawa dalam ayat 40 di atas, Allah bukan sahaja disebut dan dibesarkan di masjid-masjid, tetapi juga ditempat-tempat keagamaan agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain, terutamanya agama Yahudi dan Kristian.

Selain itu, kita juga merujuk kepada pandangan dua tokoh ulama kontemporari di dunia Islam, iaitu Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili, yang melawat negara kita baru-baru ini, berhubung isu ini.

Kedua-dua mereka bukan sahaja mengaggap penggunaan nama Allah oleh penganut agama samawi (langit) dibenarkan, malah juga adalah digalakkan, sebagai kaedah bagi menyatukan Persaudaraan Kemanusiaan berdasarkan Tuhan yang sama dan Esa (Tunggal). Kesatuan Ummat Islam pula dipaksikan di atas Kesatuan Tauhid. Islam dan agama secara umum wajar menyatukan, dan tidak sebaliknya memecah-belahkan manusia.

Nah, maka jelas bahawa dari sudut nas, kebenaran penggunaan nama Allah ini adalah termaktub dalam al-Quran. Nas, dalam metodologi ‘beristidlal’ seharusnya tidak boleh diatas bahkan mengatasi sumber yang disandarkan kepada sumber-sumber hukum yang lain, ijma’ atau qiyas tambah lagi kalau ianya hanyalah sekadar qawaid fiqhiyyah seperti ‘as-Sadda Zari’ah atau kaedah fiqh bagi menutp pintu-pinti kemudharatan.

Lebih penting, harus juga disedari bahawa keseluruhan al-Quran itu sendiri adalah jelmaan dan penghayatan Dakwah dan Risalah Nabi Muhammad SAW dalam tugas besar baginda menterjemahkan maksud sebenar “Islam sebagai Rahmat kepada Sekelian Alam” – Rahmatan Lil-‘Alamin.

Ternyata pendirian DDHD dan lain-lain akan hanya menatijahkan keterasingan (Disengagment) dan iklim eksklusif, sementara pandangan sebaliknya menekankan peri perlunya Islam dan umat Islam mengambil sikap ‘Inklusif’ dan ‘Keterterliban’ (Engagement) dalam agenda besar Dakwah dan Penampilan Advokasi Politik Islam. Keterlibatan, bukannya Pengasingan, seharusnya menjadi pertimbangan asas para pembuat dasar di peringkat legislatif dan para pemikir di institusi-institusi Islam lain di negeri dan peringkat Pusat.

Walaupun pendekatan Usuludin menekankan kepentingan ketulenan iman di kalangan umat Islam, namun malangnya, secara tidak sengaja, ia turut terserlah dan mengambil bentuk ‘mentaliti-terkepung’ (siege mentality) apabila berhubungan dengan golongan agama dan budaya lain.

Mahu tidak mahu ia akan menjadikan Islam dan nama Allah dan lain-lain perkataan ‘suci’ lain sebagai hak eksklusif orang Islam yang mesti di’lindungi’ dan dipertahankan daripada ‘pencerobohan’ penganut agama-agama yang lain. Kita tidak mungkin boleh berhubung dengan orang lain jika kita bersikap eksklusif. Sebaliknya, kita akan menyudutkan, malah mengasingkan orang lain dengan sikap tersebut.

Selain ia bakal menyuburkan rasa benci, ia juga akan menjadi baja kepada sikap saling tidak mempercayai di antara agama-agama, iaitu sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan tujuan Dakwah dan Risalah. Secara umum, ini tidak boleh dipertahankan, malah kelihatan serba songsang dengan mindset ‘Dakwah’ dan “Islam yang Universal”.

Pendirian TGNA dan DSHA yang mewakili pandangan arus perdana PAS telah membuat penegasan bahawa ‘berdasarkan prinsip-prinsip al-Quran dan Islam, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama warisan Nabi Ibrahim seperti Kristian dan Yahudi adalah dibolehkan”.

Dalam pada itu, kedua-dua tokoh ini juga telah menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh disalah guna atau diselewengkan kerana ia akan memberi kesan ke atas keharmonian hubungan agama dan kaum di negara ini. Pada saat yang sama, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, turut menekankan keperluan diadakan garis panduan yang jelas bagi penggunaannya. Kata beliau, kalimah Allah hanya boleh digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Yang Tunggal, bukannya dikaitkan dengan berhala, dewa-dewa dan sebagainya.

DSHA turut menolak percubaan untuk mempolitikkan isu ini kerana ia boleh mengancam keamanan di kalangan pelbagai golongan agama. PAS mengutuk keras perbuatan mengugut dan ganas sebagai cara untuk menakut-nakutkan rakyat supaya akur dan tunduk kepada ‘terorisme berkumpulan’ baru yang berlaku kini. Kedua-dua TGNA dan DSHA turut mencadangkan jalan keluar yang berasaskan dialog dan perbincangan atas dasar sikap saling menghormati dan persefahaman di antara agama dan budaya dalam proses pembinaan-semula bangsa kita.

Saya berani menyatakan bahawa PAS kini telah muncul sebagai sebuah parti Islam yang memahami tentang perlunya wujud politik Plural dan Majmuk (Politik Li Ta’arafu) dalam landskap demokratik baru politik nasional negara ini. ‘Pendekatan Wasatiyah’ PAS ini bakal disenangi oleh semua pihak dan mengisi tuntutan ‘ruang tengah’ politk negara, sementara Islam dan Ummat Islam akan terus dipertahankan.

Juga perlu ditegaskan bahawa pendirian ini tidak diambil semata-mata untuk memenangi hati atau lebih banyak undi di kalangan orang bukan Islam. Sebaliknya PAS mendedahkan dirinya kepada penolakan oleh para penyokong tegarnya di kawasan-kawasan majoroti Melayu. Bolehkan seteru politik PAS, iaitu Umno, mengambil sikap yang sama? Bolehkah Umno keluar dari garis hanya mempolitikkan isu nama ‘Allah’ dan tidak benar-benar mahu menunaikan perintah Allah, termasuk menghapuskan rasuah, kezaliman serta kebejatan kerakusan kekuasaan dan kebendaan.

Sebagai sebuah parti Islam, kami perlu melakukan apa yang “Benar” di mata al-Quran terlebih dahulu, dan setelah itu berusaha keras untuk menyesuaikannya dengan demografi kita yang sesungguhnya majmuk dan plural. Benar kami perlu mengambil jalan sederhana untuk mendapat sokongan ‘ruang tengah’. Benar, kami juga perlu memenangi hati-budi orang Islam-Melayu. Namun lebih benar lagi ialah perjuangan kami untuk mencari keredhaan Allah terlebih dahulu. Kami juga mahu mewujudkan “Keadilan Untuk Semua”.

Jika dengan berbuat demikian kami kemudiannya memperoleh kepercayaan, mandat dan sokongan pengundi, maka kami ucapkan Segala Pujian hanyalah untuk Allah, Tuhan Sekelian Alam.

Alhamdulillah! Allahu Akbar!-----------------------------------------------Diterjemah oleh Syed Putra Syed Ahmad dari tulisan bertajuk "PAS’ Ulama Disunited Stance’

Pemuda PAS Perak sedia hadapi pilihan raya

Keputusan kes rayuan oleh Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin berkenaan status Menteri Besar Perak yang sah akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 09/02/2010 dikatakan akan menjadi penentu sama ada akan berlaku pilihanraya di peringkat negeri atau tidak.

Walaubagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng (DPPKG) telah mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. Sehubungan dengan itu jentera piliharaya pemuda di peringkat kawasan dan cawangan telah dipersiapkan dari semua segi termasuk dari segi tenaga kerja, jentera, kemahiran berpilihanraya dan sebagainya.

DPPKG telah mengadakan beberapa siri program di semua peringkat bagi memperlengkapan petugas pemuda bagi menghadapi pilihanraya dan hasil dari program-program tersebut jentera pilihanraya di semua UPU telah digerakkan dan sedang giat menjalankan aktiviti-aktivit mendekati pengundi khususnya golongan muda.

DPPKG juga akan melancarkan team cybertrooper yang terdiri dari blogger di peringkat cawangan yang akan berfungsi untuk menyampaikan maklumat disamping mendedahkan kepincangan dan kegagalan wakil rakyat dari BN menjalan tugas dan amanah kepada rakyat.

DPPKG juga meneruskan program-program kebajikan dan bertemu dengan masyarakat sekitar khususnya di dalam Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat . Respon yang diterima dari masyarakat setempat memperlihatkan betapa rakyat sudah bosan dengan janji-janji wakil rakyat dari Barisan Nasional yang gagal membela nasib mereka walaupun selama ini mereka menjadi pengundi setia kepada BN.

DPPKG juga telah berjaya meruntuhkan tembok pemisah di antara PAS dan masyarakat bukan Islam melalui pendekatan dialog dan juga pertemuan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat bukan Islam. Melalui culaan yang dilakukan oleh DPPKG di beberapa kawasan majoriti bukan Islam , memperlihatkan sokongan teguh dari pengundi bukan Islam terhadap PAS.


InsyaAllah, melalui usaha dan strategi yang telah diatur, DPPKG yakin DUN Sungai Rapat akan dapat ditawan oleh Pakatan Rakyat jika pilihanraya diadakan pada bila-bila masa.



Yang benar,

HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI