SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (
gambar)
mencabar Kerajaan Pusat agar tidak mengambil wang cukai daripada
kerajaan negeri Selangor jika tidak mahu membantu rakyat Selangor.
Beliau
berkata, pendidikan percuma mampu dilaksanakan sekiranya segala sumber
cukai rakyat negeri Selangor tidak disalurkan kepada Kerajaan Pusat
sebaliknya diuruskan dengan lebih baik oleh kerajaan negeri.
“Jika dilihat, negeri Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan Kerajaan Pusat.
“Walaupun
urusan universiti ini di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, namun jika
kita diberi peluang mengurus sumber dan hasil yang diperolehi sendiri,
maka kita dengan senang hati akan melaksanakan dasar pendidikan percuma
di negeri ini,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis
Kejohanan Etiqa Selangor International Junior Masters 2012 di Kelab Golf
Seri Selangor petang semalam.
Ujar Khalid lagi “Sebelum isu ini
ditimbulkan, kita memang sudah ada rancangan untuk menggunakan aset-aset
Unisel bagi tujuan penambahbaikan prasarana, pembesaran dan sebagainya.
“Sebab
itu kita pantas menyediakan pelan tindakan jangka pendek bagi membantu
ibubapa dan pelajar jika PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional) meneruskan rancangan pembekuan pinjaman terhadap pelajar baru
Unisel kerana kita mempunyai aset yang cukup untuk tujuan itu.
“Bagaimanapun,
dengan pengumuman terbaru penarikan pinjaman itu, kita rasakan adalah
lebih baik aset yang ada digunakan untuk pelan jangka panjang
pembangunan Unisel dengan harapan lebih ramai lagi pelajar dapat kita
beri tempat di masa hadapan,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama,
Abdu Khalid juga enggan mengulas lanjut cabaran Menteri Pengajian
Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menyediakan dana
RM30 juta seperti diumumkan.
Abdul Khalid dengan sinis meminta pimpinan Umno-BN belajar dahulu cara menguruskan dana rakyat.
“Barangkali Kerajaan Pusat tidak mengajar mereka untuk menguruskan dana rakyat dengan betul dan amanah serta berintegriti.
“Jadi
adalah lebih baik mereka diam sahaja dan cubalah belajar untuk menjadi
pemimpin yang sebenar dalam memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu
berbaloi bagi setiap sen dan bukan disia-siakan seperti yang sering
dilakukan mereka,” kata beliau.
Editor : Khaulah Azwar