Sunday, August 9, 2009

Demo 'Bubar Dun Perak' ikut saranan PM - Nizar


KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Siapa yang betul? Perdana Menteri bersedia membenarkan namun Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berpendapat perhimpunan di stadium akan membuatkan rakyat hidup tidak tenteram.

Malah tidak cukup dengan itu Zambry dipetik sebagai berkata bahawa permintaan Dewan Pemuda Pas Perak untuk menggunakan Stadium Perak di sini sebagai tempat perhimpunan bagi mendesak agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan adalah bagi memenuhi keseronokan mereka semata-mata.

Kenyataan ini diselar bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang menyatakan bahawa permohonan untuk berhimpun di stadium itu adalah sejajar dengan saranan Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan sedia membenarkan dan menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan anti-ISA, 1 Ogos lalu.

Nizar berpendapat Zambry terpaksa berbeza pendapat dengan Najib kerana bimbang dengan kebangkitan rakyat Perak, yang telah dibuktikan dengan perhimpunan anti-ISA, di mana terdapat jumlah rakyat Perak yang turut serta di samping melaungkan juga gesaan agar DUN Perak dibubarkan.

"Sekarang siapa betul, Najib atau Zambry? Sama ada Najib tidak serius dengan kenyataannya atau Zambry terpaksa lawan cakap bosnya, atau kedua-duanya mempermainkan kenyataan-kenyataan untuk mengelirukan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menjelaskan antara program perhimpunan Dun Perak itu adalah pengisian ceramah di samping menyambut kedatangan bulan Ramadan, yang dianjurkan oleh Pemuda Pakatan Rakyat diketuai Dewan Pemuda PAS Perak.

Bagaimanapun tarikh perhimpunan belum ditentukan dan beragntung kepada permohonan kebenaran kepada Majlis Bandaraya Ipoh dan Ketua Polis Perak, kata Nizar.

Selain itu, jelajah konvoi seluruh Perak yang bakal dianjurkan oleh Pakatan Rakyat untuk gerakan 'Bubarkan Dun Perak' akan diadakan di bulan Puasa dan destinasi yang dituju ialah di Lumut dan Pangkor, kawasan kubu Zambry.

"Rakyat Perak masih bersemangat tinggi, dan kita masih meneruskan tindakan politik serta undang-undang, selagi Dun Perak tidak dibubarkan.

"Saya percaya kerana itulah Zambry takut dan mengeluarkan kenyataan berputar-belit, demi survival politiknya yang makin jatuh di mata rakyat Perak," katanya yang juga Timbalan Dua Pesuruhjaya PAS Perak. - azm _

P/s:Khaulah Azwar said : Yes, apa lagi kita tuntut kata2 PM Najib yang telah menyatakan akan sediakan tempat untuk kita Berhimpun...Kalau mreka mungkir janji,.>RAKYAT apa lagi... akan bangkit dan lawan..jgn hanya tabur janji kosong....buat rakyat sakit hati dan meluat dgn kata2 pimpinan BN

'Islam Didahulukan, Hudud Diperjuangkan'

KOTA BHARU, 9 Ogos (Hrkh) - Biar pun Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 tidak dapat dilaksanakan di negeri ini kerana dihalang kerajaan pusat, namun sambutan Hari Hududullah tetap diadakan setiap tahun.

Tahun ini sambutan tersebut akan diadakan pada 21 Syaaban 1430 bersamaan 12 Ogos depan bertempat di Besar Balai Islam, Lundang.Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dato' Mohd Azamli Jamaluddin berkata, sambutan Hari Hudud diadakan setiap tahun sebagai usaha memberi pendidikan dan kefahaman kepada masyarakat tentang syariat dan undang-undang Islam.

"Pelaksanaan syariat Islam terutamanya hudud merupakan prasyarat dan pemangkin pembentukan negara yang aman, makmur dan sejahtera."Ini selaras dengan firman Allah swt yang menceritakan perihal kerajaan Saba' ayat 15 yang bermaksud,"� (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Pengampun." katanya pada persidangan media di sini, hari ini.Menurutnya sambutan tahun ini bertema 'Islam Didahulukan, Hudud Diperjuangkan' akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.15 malam.

Selepas perasmian diadakan forum perdana dan dialog berkaitan perundangan Islam.Forum perdana Hududullah bertajuk 'Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia, Antara Realiti dan Harapan'.Ahli panel iaitu Adun Manir, Dato' Harun Taib, anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin dan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Manakala Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAHEAIK, Ustaz Mohd Suhaimi Mohamed bertindak sebagai pengerusi.Mohd Azamli berkata, antara objektif sambutan Hari Hududullah ialah menjana kesedaran masyarakat syariat dan undang-undang Islam penyelesaian kepada masalah jenayah dan keruntuhan akhlak manusia.Selain itu memberi penerangan mengenai keistimewaan dan keadilan syariat dan undang-undang Islam."Ia juga memberi kesedaran syariat dan undang-undang Islam relevan dan sesuai dilaksanakan di Malaysia,"Selain itu dapat membincangkan masa depan undang-undang Islam di Malaysia," katanya. - mj _

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI