Wednesday, January 12, 2011

Motif jahat Najib di Selangor- Ahmad Luthfi Othman

Umno Selangor yang diterajui khusus oleh Najib Razak nampak gelojoh sangat. Memanglah negeri termaju itu perlu direbut - dengan apa jua cara - oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi janganlah begitu tertonjol kerakusannya. Biarlah kelihatan pencak silatnya matang dan sedikit terhormat agar segala strategi dan taktik tidak dicemuh.

Memang dalam politik, kuasa itu seolah-olah segalanya, namun cubalah bersiasah secara beradab dan beretika. Yang mahu dipujuk dan ditawan adalah hati nurani rakyat. Sokongan mereka ditagih semasa kempen nanti. Sedangkan rakyat sudah bijak menilai dan menghakimi. Dengan ketamakan yang menyerlah, apatah lagi sanggup memperalatkan apa sahaja, bukankah langkah Umno Selangor di bawah Najib itu tidak manis dan tohor akhlaknya?

Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia, yang kaya dengan pelbagai slogan "pembaharuan". Sebahagiannya belum pun difahami rakyat dan juga pegawai kerajaan. Beliau tentulah mahu dilihat berbeda dengan Noh Omar, timbalannya di Selangor, yang diketahui gaya politiknya ataupun Dr Khir Toyo, bekas menteri besar yang pernah memalukan pegawai awam dengan "anugerah penyapu" itu.

Justeru, silakan apa jua gerak politik Najib yang beria-ia mahu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat, namun pastikan ia tidak menjolok mata dan merendahkan martabat beliau sebagai tokoh no. 1 negara. Usah hanya manis bicara di depan umum tetapi di balik tabir menjadi pencetus "huru-hara", hanya demi takhta.

Cukuplah dengan rakaman gelap-gelita tragis rampasan kuasa di Perak dua tahun lalu. Ia sejarah hitam sejarah demokrasi negara ini. Najib juga dipercayai menjadi dalang utamanya bagi mempastikan BN kembali bertakhta di negeri itu. Suara majoriti rakyat dihumban. Tidak sabar menunggu pilihan raya seterusnya, selepas kalah mengejut tanpa diduga pada Mac 2008, Najib melaksanakan strategi jahat.

Kini, giliran Selangor pula menjadi sasaran. Menyedari kerajaan negeri pimpinan Abd Khalid Ibrahim semakin popular di hati rakyat dengan gerakerja memaknakan perubahan, Najib seperti gelabah tidak keruan. Orang politik selalunya tidak bersedia jika hanya sekadar menunggu untuk dihukum tanpa melakukan usaha menyerang balas. PRU13 adalah detik penentuan hidup-mati Najib dan Umno-BN.

Dari satu segi Najib mungkin teruja dengan beberapa adegan "ribut dalam cawan" dalam KeADILan, sehingga menjangkakan inilah kesempatan terbaik untuk "bikin onar". KeADILan menerajui Selangor bersama PAS dan DAP. Tiada tanda-tanda BN dapat menamatkan penguasaan Pakatan jika mood rakyat Selangor "tidak dirosakkan". Sesuatu mesti dicari atau "diada-adakan" bagi memudahkan langkah BN menawan kembali Selangor.

Peluang tiba melalui kontroversi pemilihan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru, Khusrin Munawi. Perdebatan kesahihan perlantikan itu hangat diperkatakan. Masing-masing mengasaskan hujah dengan merujuk peraturan dan perlembagaan. Apa pun, sudut politiknya jelas sekali. Khusrin ternyata mahu dijadikan perkakas politik oleh Najib, bagi membantunya "menculik Selangor", sesuatu yang amat bercanggah dengan kedudukan seorang penjawat awam.


Mungkinkah, seperti juga dalam kes Nizar Jamaluddin di Perak, Umno Selangor turut mengharapkan pihak istana akan menyebelahinya? Pakar-pakar perlembagaan dan politik, dari awal menjangkakan bekas Menteri Besar Perak itu dapat bertahan dan memenangi kes di mahkamah, namun akhirnya Umno tetap berjaya dalam rampasan kuasa itu. Konsep raja berperlembagaan ditafsirkan secara sewenang-wenangnya. Kedudukan Speaker Dun Perak langsung tidak dihormati.

Khusrin, bekas pembantu khas Menteri Besar Selangor, Muhammmad Muhd Taib, dilihat Umno sebagai orang paling sesuai untuk memudahkan gerakan menjatuhkan Pakatan Rakyat. Memang Khusrin terikat dengan sumpah rahsianya tetapi bukankah politik itu seni yang memungkinkan segala-galanya? Beliau terdedah dengan segala fail, maklumat dan perancangan kerajaan negeri.

Dalam situasi Umno-BN yang cukup kritikal ini, apakah erti etika seorang penjawat awam kepada Najib? Kalau undang-undang bertulis pun dilanggarnya, apatah lagi jika sekadar soal adab atau etika, yang boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Sekiranya raja-raja Melayu pun boleh "diperalatkan" demi survival kuasa, apalah yang Umno pedulikan dengan integriti perkhidmatan awam? Bukankah selama ini juga jentera kerajaan, termasuk pegawai kanannya yang sepatutnya "apolitical" diheret sama bagi mencapai tujuan politik Umno-BN?

Sejarah pengkhianatan Umno terhadap institusi raja-raja Melayu, khususnya melalui episod pindaan Perlembagaan 1993 cukup pedih buat golongan istana. Kedaulatan raja Melayu sebenarnya sudahpun dimusnahkan dengan pindaan itu. Hanya bersandarkan peristiwa di Bukit Serene, Johor dan beberapa kes kelemahan peribadi beberapa orang sultan, martabat keseluruhan institusi yang begitu penting buat orang Melayu direndah-rendahkan dengan cara yang mengaibkan.

Ramai melihat undi penentu dalam PRU13 adalah orang Melayu. Jika majoriti mereka beralih memilih Pakatan, nescaya kedudukan BN di Putrajaya tergugat dengan teruk. Risikonya, BN bakal hilang kuasa. Momentum pengundi Cina pula tidak banyak berubah, malah mungkin lebih memihak Pakatan, jika isu-isu seperti Khusrin ini berlanjutan. Rampasan kuasa di Perak sudah cukup merosakkan imej BN di kalangan masyarakat Tionghua.

Isu Khusrin ini turut membabitkan emosi dan sentimen orang Melayu. Bagi saya, Umno memang mahu Pakatan bertembung, malah bermusuh, dengan kakitangan kerajaan, yang majoritinya adalah orang Melayu. Bagaimanapun niat itu tidak kesampaian. Kes Khusrin langsung tidak melambangkan penolakan Pakatan terhadap kakitangan awam. Yang dipersoalkan adalah prosedur dan kelaziman yang perlu dipatuhi. Masakan pendapat kerajaan negeri yang memerintah langsung tidak dirujuk dalam pemilihan pegawai tertingginya?

Bukankah dalam tempoh tiga tahun ini, pelantikan SUK di negeri-negeri yang turut diperintah Pakatan, dan sebelumnya lama PAS memerintah Kelantan, kontroversi ini tidak pernah timbul? Lagi pun, nama-nama yang dicadang kerajaan negeri Selangor bagi mengisi kekosongan kerusi SUK juga adalah pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman.

Umno juga beria-ia mahu melaga-lagakan kerajaan Pakatan dengan istana Selangor, dan mengimpikan hubungan dengan Raja-Raja Melayu terjejas, seperti yang pernah digambarkan berlaku di Perak. Mungkin ia didorong pengalaman silam tokoh-tokoh Umno, terutama yang berjawatan menteri besar, yang terpaksa berundur jika berkonfrontasi dengan istana.

"Menteri Besar bukan bermusuhan dengan Khusrin bila menolak beliau sebagai SUK. Yang dipertikaikan adalah cara Ketua Setiausah Negara membuat perlantikan tanpa berbincang dengan Menteri Besar. SUK adalah pegawai tinggi kerajaan yang paling utama dan bertanggungjawab melaksanakan polisi MB dan Exco-Exco. Jadi tidak logik perlantikan tidak dibincang dengan mereka," kata Iskandar Abdul Samad, anggota Exco Kerajaan Negeri.

PM Najib sudah hilang punca

Selepas lebih tiga minggu menjanjikan bahawa Barisan Nasional akan menjawab tawaran 100 hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mampu mengemukakan hujah yang konkrit.

Beliau hanya menghentam Pakatan Rakyat dan mengulangi kecaman yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin Umno bawahan, tanpa mengemukakan kerangka balas apa yang hendak BN tawarkan kepada rakyat.

Dalam amalan demokrasi tulen, apabila ada pihak mengemukakan gagasan, pihak yang tidak setuju, haruslah mengemukakan gagasan balas, supaya rakyat boleh membuat penilaian yang sewajarnya.

Apabila mengemukakan gagasan dan memberikan komitmen bahawa ia mampu melaksanakan janji yang dibuat jika rakyat memberi mandat untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tawaran 10 perkara asas yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, dimuatkan dalam Buku Jingga yang diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Antara dasar utama yang digariskan dalam Buku Jingga adalah, tekad Pakatan Rakyat untuk memerangi rasuah dan kebocoran yang dilakukan kerajaan BN yang mampu mengembalikan semula pendapatan negara.

PM, Najib Tun Razak memperlihatkan kedangkalan beliau untuk menjawab program 100 hari Pakatan Rakyat secara objektif.

Alasan yang diberikan hanyalah, dengan mendakwa banyak perkara BN tidak boleh diberikan kepada rakyat kerana ia akan memufliskan negara, terutama perkara yang melibatkan bantuan langsung kepada orang ramai.

Alasan kekurangan wang inilah yang menyebabkan Umno-BN begitu jengkel dengan janji-janji Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

Umno-BN cuba untuk memperlekehkan tawaran Pakatan Rakyat kerana bagi mereka tawaran tersebut 'tidak masuk akal', jika hendak dilaksanakan oleh BN.

Berkat kesungguhan dan komitmen pemimpin, Pakatan Rakyat telah membelanjakan kira-kira RM150 juta setiap tahun untuk memberi bantuan kepada rakyat dalam bentuk skim air percuma, bantuan kepada pelajar Universiti, bantuan mikro kredit dan sebagainya di Selangor.

Begitu juga di Pulau Pinang, banyak insentif yang diberikan kepada rakyat, termasuk bayaran tunai untuk warga emas dan sebagainya.

Di Kedah, Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri, menunjukkan negeri dipacu ke arah yang lebih dinamik daripada zaman Umno-BN.

Masalah bagi Umno-BN ialah kerana mereka tidak mentadbir negara untuk kepentingan keseluruhan rakyat. Mereka hanya mengutama dan mengkayakan para kroni.

Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menunjukkan bahawa, kebocoran di negara ini sangat besar disebabkan rasuah. Rasuah menyebabkan negara kehilangan RM28 bilion setahun.

Dalam subsidi, setiap tahun Petronas membayar RM19 bilion subsidi gas kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang menyebabkan keuntungan berbilion diberikan kepada syarikat kroni berkenaan.

Seperti maklumat yang didedahkan, Petronas membeli gas dari blok Natuna dan JDA pada harga-harga yang jauh lebih tinggi, kemudian menjual kepada jauh lebih rendah dari nilai harga pasaran.

Transaksi ini berjumlah RM19 billion setiap tahun. Jika perkara ini boleh diatasi, maka keuntungan tambahan RM19 bilion yang boleh dijana untuk dibayar balik kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam isu tol, kerajaan membayar balik RM4 bilion setahun sebagai pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya, dalam perjanjian yang berat sebelah, memihak kepada kroni.

Pakatan Rakyat mahu menstrukturkan semula perjanjian dengan syarikat konsesi, dan ia percaya dengan mudah wang penjimatan tersebut boleh dipulangkan kepada rakyat.

Dengan menyumbat kebocoran disebabkan rasuah (RM28 bilion), menghapuskan subsidi korporat kepada IPP( RM19 bilion) dan pampasan tol (RM4 bilion), jumlah itu lebih dari mencukupi, untuk melaksanakan janji-janji dalam Buku Jingga.

Pakatan Rakyat yakin, ia mampu melakukan perubahan dan melaksanakan janji kerana Pakatan Rakyat tidak mengamalkan dasar yang dijalankan Umno-BN yang mengutamakan kronisme hingga berlakunya. ketirisan.

Dalam tempoh 100 hari, kita boleh buat apa yang Umno-BN tidak mampu lakukan selama 50 tahun memerintah.

1,000 sertai himpunan sokong Sultan, kerajaan Selangor



SHAH ALAM, 12 Jan: Lebih 1,000 rakyat Selangor hari ini berhimpun di Dataran Shah Alam dalam usaha menunjukkan sokongan kepada kerajan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka yang berhimpun sejak jam 3 petang tadi kini berarak menuju ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan SUK.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dilihat berada di barisan hadapan perarakan.

Mereka melaungkan 'Hidup Pakatan Rakyat, Hancur Umno dan Reformasi' sepanjang perarakan.

Perhimpunan ini dipercayai diadakan berikutan beberapa isu kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri Selangor termasuk terbaru dalam isu perlantikan SUK.

Sebelum ini juga beberapa pihak telah mengadakan himpunan serupa bagi mendesak menteri besar meletak jawatan.

Perarakan itu disambut Menteri Besar sendiri yang turun menerima memorandum tersebut.

Memorandum kemudiannya diserahkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili pimpinan Pakatan Rakyat yang diiringi Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman.

Anuar dalam ucapannya sebelum penyerahan itu membaca ikrar sokongan padu kepada pemimpin PR.

"Kami rakyat negeri Selangor dengan ini menyatakan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kerajaan negeri di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim," ujarnya dengan diikuti peserta himpunan.

Sementara itu, Khalid dalam responnya berkata kerajaan negeri berjanji akan memerintah Selangor dengan bersih dan bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat.

Himpunan bagaimanapun bersurai sejam kemudian selepas bacaan doa oleh Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI