Ucapan Tan Sri Tengku Razaleigh
Hamzah yang mengkritik Putrajaya hanya beri sedikit kesan atau tiada langsung
terhadap Barisan Nasional (BN) kerana tiada perkara baru dalam kenyataannya dan
kerajaan memerintah sudah terlalu biasa dengan cara mereka, kata penganalisis
beberapa jam selepas putera Kelantan itu menggesa rakan sekerjanya meletakkan
kepentingan rakyat berbanding parti.
Dinamik dalaman Umno akan memastikan
ahli Parlimen mereka berterusan menjaga penyokong sendiri terlebih dulu supaya
dapat kekal berkuasa, kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The
Malaysian Insider. "Ahli politik Umno bimbangkan bukan saja rakyat, tetapi
juga politik dalaman parti yang melibatkan mengekalkan atau kenaikan pangkat.
Ini menyebabkan perlunya mengekalkan atau menjaga hubungan dalam parti.
"Jadi memandangkan pilihan raya
umum masih jauh lagi, kepentingan utama mereka kini mengekalkan rasa puas hati
ahli parti, kerana kemungkinan pemilihan parti akan berlaku sebelum pilihan
raya umum,” katanya.
Ibrahim berkata, ramai pemimpin
dalam Umno terikat dengan pengundi bagi kedudukan sedia ada, jadi mereka tidak
terburu-buru membuat apa-apa perubahan besar yang mengganggu status quo.
Pengarah Centre for Policy Initiatives (CPI) Dr Lim Teck Ghee berkata ucapan
Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, hanyalah "ucapan
Parlimen" dan akan dilayan sebegitu oleh BN dan kerajaan. "Perubahan
(dalam BN) tidak akan berlaku daripada ucapan, tetapi tekanan rakyat. Jadi saya
tidak fikir BN atau perdana menteri akan terlalu bimbang," kata
penganalisis itu.
"Malah saya yakin perdana
menteri dan BN tidak terganggu dengan ucapannya. Saya akan terkejut sekiranya
ada ahli Parlimen lain yang akan menyokongnya dan bercakap secara umum,”
katanya. Dr Wong Chin Huat, seorang penganalisis politik dari institut pemikir
Penang Institute juga bersetuju dan menambah tiada ahli Parlimen yang akan
berani bersetuju dengan Ku Li kerana mereka dilihat seperti bersedia untuk
menyerang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
"Ahli Umno akan melihatnya
sebagai serangan yang dirancang terhadap Najib dan akan mengendahkannya. Jadi
saya tidak rasa akan ada perubahan di dalam kerajaan atau tingkah laku ahli
Parlimen, tetapi ini mungkin akan menguatkan lagi kritikan rakyat terhadap
pentadbiran Najib," katanya.
Membahaskan titah Yang di-Pertuan
Agong semalam, ahli Parlimen Gua Musang itu menggesa rakan sejawatnya dalam
Dewan Rakyat membuat keputusan sama ada mereka akan ingat kepada sumpah untuk
berkhidmat kepada rakyat atau menyerah diri kepada kuasa luar daripada Parlimen
dengan meletakkan kepentingan parti terlebih dulu. Beliau juga menggesa menteri
dan ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka untuk mengelak percanggahan
konflik kepentingan dan menambah baik pentadbiran, dan mengkritik Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bulan depan. Namun
penganalisis yang ditemu ramah The Malaysian Insider menganggap kata-kata
beliau sebagai "terlalu lambat" dan mengatakan Ku Li hanya mengulang
kata-kata ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang sudah pun menimbulkan isu
tersebut tetapi masih gagal. "Isu yang ditimbulkan tentang GST ialah sesuatu
yang orang ramai banyak bincangkan, jadi agak lambat baginya untuk
mempersoalkannya," kata Ibrahim.
Lim berkata kerajaan sudah pun membuat
keputusan tentang GST dan untuk membatalkannya sekarang hanya kerana ucapan Ku
Li, mungkin akan menyebabkan lebih buruk padahnya kepada negara. "Semuanya
terlalu lambat tentang isu yang ditimbulkannya, termasuk kegunaan hasil kutipan
GST dan pengisytiharan aset. Pihak pembangkang menimbulkan perkara sama dengan
lebih kerap dan kritikal berbanding apa yang dilakukannya di Parlimen,”
katanya. Lim berkata, jika perdana menteri berjaya tidak mengendahkan kritikan
kedua-dua PR dan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang GST, kemungkinan baginya untuk
memberi perhatian kepada Ku Li adalah terlalu kecil.
No comments:
Post a Comment