Saturday, April 10, 2010

'Amaran' MB: BN menang, tarif air S'gor naik

Penduduk Kampung Gurney, Ulu Yam Bharu menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim malam ini di satu majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat.

Memorandum berkenaan bertujuan menggesa Khalid mempercepatkan permohonan daripada 26 orang penduduk kampung itu bagi mendapat lesen menduduki sementara (TOL) bagi satu kawasan tanah.

Mereka telah menggunakan kawasan itu bagi tujuan pertanian sejak lebih 15 tahun lalu, kata ketua kampungnya Lai Swu Chong.

Lai menyerahkan sendiri memorandum tersebut sebaik sahaja Khalid selesai memberikan ucapannya di majlis tersebut yang diadakan di sebuah restoran Cina di pekan itu.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya berkata beliau datang ke situ untuk mendengar apa saja aduan daripada penduduk.

Beliau juga menyentuh tentang pencapaian kerajaan Selangor dalam tempoh lebih dua tahun lalu.

"Dalam dua tahun, kita buat banyak berbanding apa yang (BN) 50 tahun lalu belum buat lagi," katanya yang cuba bertutur dengar telor Cina.

Beliau menggariskan pemberian air sebanyak 20 meter padu percuma dan juga pemberian wang sebanyak RM2,500 kepada keluarga bagi setiap warga Selangor yang meninggal dunia.

Beliau bagaimanapun memberi 'amaran', tarif air akan naik sekiranya BN menang dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April ini.

Jelasnya, kerajaan negeri akan gagal mendapatkan kawalan ke atas syarikat Syabas dan Puncak Niaga, pemegang konsesi air di negeri itu.

"Tapi paling penting, Tan Sri Rozali (Ismail) ialah bendahari Umno di Selangor.

"Kalau kita bagi (BN) menang, dia akan ambil syarikat itu, harga (air) akan lebih mahal.

"Ini (rakyat) punya, bukan satu atau dua orang yang punya," katanya.

Khalid selepas itu memberi jaminan untuk membantu penduduk berkenaan mendapatkan lesen menduduki sementara itu.

"Tapi ini tidak boleh dibuat dalam masa dua minggu saja," katanya.

Kira-kira 450 orang penduduk menghadiri majlis tersebut pada malam ini disertai beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Chua Jui Meng, serta dua ADUN Pakatan - Gan Pei Nei dan Lee Kim Sin.

Khalid Kesal Tohmahan Media Arus Perdana Berhubung Isu Pemberian Tanah

Tohmahan kononnya pemberian hak pemilikan tanah oleh kerajaan negeri Selangor kepada rakyat Hulu Selangor adalah gimik politik meraih undi dibidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata pemberian tanah ini adalah sebahagian dari rancangan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilancarkan dua tahun lalu.

Beliau tidak mahu mengikut cara Umno Barisan Nasional yang hanya memberikan tanah setiap kali tiba pilihanraya kecil untuk memikat pengundi.

Kerajaan Negeri Selangor membuat perancangan jangka panjang bagi memastikan ia dapat dijalankan di seluruh Selangor bukan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja.

Tan Sri Khalid melahirkan kekesalan dengan tohmahan yang dilemparkan media arus perdana dan berkata Umno-BN seharusnya mengiktiraf usaha Pakatan Rakyat menyerahkan hak tanah kepada penduduk miskin, yang kebetulannya majoriti Melayu.

Beliau menolak kenyataan yang mengatakan Kerajaan Negeri Selangor hanya membuat gimik politik tapi bersetuju dengan kenyataan beliau mengambil kesempatan menggunakan program MES bagi menyelesaikan masalah di Hulu Selangor.

Malah, terang beliau, Barisan Nasional tidak melakukan banyak perubahan setelah lebih 50 tahun menerajui negeri Selangor.

Presiden PAS akan berkampung di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR, : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun berkampung di Hulu Selangor beberapa hari bagi membantu kempen calon Paktan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil itu nanti.

Beliau dijangka mula berkampung di sana 19 April ini selama beberapa hari sebelum hari pengundian 25 April nanti.

Sebelum itu beliau juga akan hadir dan menyampaikan ucapan pada hari pengumuman calon Pakatan Rakyat 13 April ini yang akan diadakan di Pusat Komuniti Serendah.

Manakala jadual ceramahnya dalam tempoh kempen pula akan bermula 19 April jam 9 malam di Dewan Orang Ramai Kalumpang.

Akan turut serta pada ceramah itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Pada 20 April pula, Tuan Guru Abdul Hadi dijangka berceramah di kampung Soeharto bersama Anwar dan Menteri Besar Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim.

Selain mereka, akan turut serata berceramah pada malam itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Pada 21 April pula, Tuan Guru Abdul Hadi akan berceramah di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor.

Beliau akan bersama Anwar dan juga Bekas menteri kesihatan yang menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng.

Program ceramah pimpinan utama dari ketiga-tiga kompenen parti akan terus diadakan setiap malam sehingga hari Sabtu, 24 April iaitu malam sebelum pengundian.

Bagaimanapun jadual mereka masih tertakluk kepada perubahan.

Mereka dijangka akan menyentuh pelbagai isu politik tanah air termasuk yang terbaru berhubung penglibatan firma perunding Apco Worlwide yang ada kaitan dengan Israel dalam menjayakan misi 1Malaysia yang diperkenal Datuk Seri Najib Razak.

PRK Hulu Selangor: Kerjasama erat PAS, PKR dan DAP Selangor mampu tumbangkan BN

KOTA BHARU, Kerjasama erat ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP Selangor mampu menumbangkan Barisan Nasional dan memastikan Parlimen Hulu Selangor kekal milik Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, beliau yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cerah untuk menang dengan penampilan calon berwibawa dari PKR yang akan diumumkan 13 April ini.

“Bagi kami (PAS) di Selangor, tidak ada masalah bekerjasama dengan DAP dan PKR. Ini kerana keadilan itu untuk semua, dan ini adalah antara tuntutan perjuangan dalam Islam," katanya.

“Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah ‘tahalul siaasi’ (kerjasama politik), bekerjasama dalam satu Pakatan bagi menggantikan BN (memerintah negara ini), insya Allah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-43 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pagi tadi.

PRK Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April ini.

Mengulas Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, beliau pula berkata ianya menjadi titik tolak bagi Pakatan Rakyat dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak.

“Sibu ini akan menjadi sebagai titik permulaan gerak kerja hendak menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis sama Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah, Adun Bunut Payung Datuk Takiyuddin Hassan dan Adun Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

Parlimen Sibu menjadi kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew baru-baru ini, dipercayai mengidap penyakit barah.

Pilihan raya kecil itu nanti, jika diisytiharkan, adalah yang kedua diadakan di Sarawak selepas pilihan raya kecil Dun Batang Ai.

Pada pilihan raya lalu, Datuk Robert (SUPP) yang mewakili Parlimen Sibu sejak 1990 mengalahkan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang dengan mejoriti 3,235.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 Datuk Lau memperolehi 19,138 undi, sementara Wong memperolehi 15,903 dan Lim mendapat 812 undi.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI