Wednesday, September 17, 2014

Kalau boleh calon Umno pun undi lambang bulan


TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merayu semua pengundi Pengkalan Kubor pulang menunaikan tanggungjawab mereka biar pun tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Saya walau pun tidak berapa sihat tetapi mengagahkan diri untuk turun berkempen di sini.

Oleh itu saya berharap kepada semua pengundi keluar mengundi walau pun berada di tempat yang jauh.

“Kalau tak boleh naik kereta, jalan kaki yang penting balik mengundi pada 25 September ini,” katanya ditemui semasa melawat Markas Besar PAS Dun Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Kedatangannya disambut Pengarah Operasi PAS Dun Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Hanifa Ahmad dan petugas Markas Besar PAS.  

Beliau juga mendengar taklimat mengenai perkembangan kempen pilihan raya tersebut disampaikan Wan Abdul Rahim.

Ujarnya lagi apabila balik mengundi nanti pastikan pengundi mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. 

“Sekarang sudah terbukti pengaruh gerakan Islam semakin kuat sehinggakan calon dari Umno turut memakai serban untuk menunjukan ciri-ciri keislamannya. 

“Kalau boleh biar calon Umno pun undi lambang bulan juga sebab dia nakkan politik Islam,” ujarnya sambil berseloroh. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

Dewan Ulama lulus usul tindakan terhadap 2 ADUN


Dewan Ulama PAS hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Lembaga Displin PAS mengambil tindakan tatatertib terhadap dua ADUN PAS Selangor yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Ia menyifatkan tindakan ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin melanggar adab dan displin jamaah dan mencalar imej Majlis Syura Ulama selepas badan itu memutuskan supaya Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan.

"Kami mendesak supaya Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap mereka yang meremehkan keputusan Majlis Syura Ulama dan arahan presiden.

"Kita bimbang jika tiada tindakan tegas terhadap mereka, ia akan menyebabkan imej parti akan tercalar.

"Ia juga menjadi teladan kepada mana-mana pihak dan individu supaya mereka tidak main-main dengan jamaah kita," kata Shamsudin Amran yang membentangkan usul itu.

Usul itu juga dicadangkan oleh empat lagi dewan ulama dari Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.



Sementara itu, Perwakilan Cheras, Ali Jamil bersetuju dan menyokong usul supaya tindakan displin dikenakan terhadap dua ADUN itu.

"Ia sebagai usaha untuk mendisplinkan anggota, supaya orang PAS ada adab," katanya diiringi laungan takbir.

Pengerusi tetap kemudiannya membuka peluang sekiranya ada perwakilan yang membantah usul tersebut.

Usul itu kemudiannya diluluskan tanpa sebarang bangkangan melalui undi angkat tangan.

PAS dalam bahaya bila Hadi dolak-dalik dalam krisis MB Selangor, kata Mujahid

Ketika PAS memulakan muktamar tahunannya hari ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi amaran kegagalan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan mengiktiraf Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor, mungkin akan menikam dirinya sendiri. Mujahid berkata, tidak seperti mantan presiden terdahulu, Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor, Hadi dilihat seolah-olah tidak berupaya mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam menangani kemelut di Selangor. "Apakah sebabnya? Adakah kerana tekanan untuk keluar Pakatan terlalu kuat? Ataukah presiden PAS terlalu lemah," soalnya dalam tulisannya bertajuk Masa Depan PAS di Tangan Ahli PAS. Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, jawapan itu penting bagi menentukan kayu piawaian masa depan PAS dan kriteria kepimpinan dalam menghadapi lanskap baru politik. Katanya, ujian kepimpinan akan berakhir apabila mereka mendapat jawapan sama ada mereka masih relevan atau tidak untuk mengemudi lanskap baru itu. "Sehingga ahli membuat penilaian yang matang dan luas perkiraannya, mereka akan sentiasa diperhatikan," katanya.


Katanya, laluan politik yang diberikan masyarakat bukan Islam, khususnya pengundi Tiong Hua, seharusnya mendorong pimpinan PAS mengukuhkan PR, bukannya mengecewakan masyarakat dengan berdolak-dalik dalam komitmennya terhadap slogan 'PAS untuk semua'. Katanya, ahli PAS harus sedar dan akur kejayaannya tidak akan ke mana hari ini jika orang bukan Melayu tidak mengundi calon PAS, khususnya di Selangor. "PAS harus berhati-hati agar tidak mengecewakan kepercayaan umum terhadapnya. "Pengundi hari ini mengundi atas dasar keyakinannya kepada PAS dan manifesto yang kita janjikan. Lebih-lebih lagi pengundi di Pantai Barat yang tertarik dengan tawaran Pakatan dan mengundi atas semangat Pakatan. "Baru setahun berlalu, dan keghairahan Pakatan bertelagah di Selangor pastinya mengurangkan kepercayaan umum, dan PAS terpalit sebagai satu daripada pihak terlibat," katanya. 

Beliau berkata, PAS tidak harus berpatah balik ke belakang seolah-olah ia terpengaruh dengan dakyah Umno yang memainkan sentimen Melayu-Islam, yang pada hakikatnya ialah perkauman sempit, yang ditentang PAS sejak berdekad lamanya. "Sememangnya permainan sentimen Melayu-Islam Umno boleh melemahkan langkah tegas yang diambil PAS demi kebaikan politik baru yang makin kuat sekarang. "Oleh itu, PAS dan ahlinya harus mengelakkan diri sejauh-jauhnya daripada terheret dalam krisis Selangor, yang merupakan perangkap politik Umno," katanya. Katanya, PAS bersama dengan rakannya dalam PR cuma perlu bersabar dan istiqamah dengan meminimakan langkah yang boleh menggagalkan matlamat mereka. Parti dalam PR juga perlu menahan diri dari terlibat dalam perkara remeh-temeh dan menyerang sesama sendiri. Katanya, PAS tidak boleh berfikir hanya untuk dirinya saja tetapi perlu memikirkan tentang kepentingan yang strategik dan harapan rakyat terhadap kepimpinan dalam mencapai agenda perubahan. "Menghadiri muktamar kali ini bukan sekadar untuk mengikuti ucapan retorik dan bersemangat dalam mempertahankan kepimpinan ulama atau presiden parti. "Ia juga tentang bagaimana perwakilan boleh mempertahankan prinsip parti, prinsip organisasi, prinsip strategi dan lebih penting, bagaimana PAS harus berperanan dalam kerangka membina masa depan negara," katanya.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI