Wednesday, October 14, 2009

Kalah kerana belum cukup terangkan perjuangan parti-Nik Aziz

KOTA BHARU, 14 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kekalahan di Bagan Pinang kerana jentera PAS tidak mempunyai cukup masa menerangkan dasar dan perjuangan parti dan melebihkan serangan peribadi terhadap calon Umno.

Menurut Nik Aziz, pengalamannya semasa turun di Bagan Pinang menunjukkan sebahagian pengundi di Dun itu masih belum mengenali PAS secara mendalam.

Dalam pertemuan dengan pengundi katanya, masih ada di antara mereka menganggap Islam dan PAS itu ganas dan kefahaman itulah menyukarkan PAS untuk menang pada pilihan raya kecil tersebut.

"Saya sendiri bertemu dengan tuan rumah yang saya pergi baru-baru ni dan mengakui masih tak faham perjuangan PAS ni lagi," katanya.

"Ramai di antara orang melayu di sana masih beranggapan Islam itu ganas dan PAS juga ganas, ,jadi ini semua memerlukan masa untuk memberi pemahaman kepada mereka," ujar beliau lagi.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dekat sini hari ini.

ImageBeliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan,Abdul Fatah Harun sebelum ini yang mengakui teknik menyerang pribadi calon tidak diterima oleh pengundi Bagan Pinang.

Beliau juga berkata rakyat di Negeri Sembilan juga masih jauh untuk memahami perjuangan PAS.

Kehadiran jentera PAS dari seluruh negara juga mungkin membuatkan mereka berada dalam kebingungan apatah lagi diasak tekanan dari parti lawan dengan hebat.

Pada PRK Bagan Pinang 11 Oktober lalu, calon PAS, Zulkifly Mohd Omar tewas kepada Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dengan majoriti 5,435.

Terdahulu, sewaktu berucap pada perasmian Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, Nik Aziz telah menyelar golongan yang meminggirkan bahasa kebangsaan dan mumuja bahasa lain dalam kehidupan mereka.

"Bahasa Kebangsaan seharusnya dimartabatkan di seluruh pelusuk negeri dan saya terkilan kerana kini semakin ramai pihak yang tidak bertanggung jawab cuba menaikkan bahasa asing dalam kehidupana harian.

"Kalau mereka dah sendiri tak peduli bahasa melayu,akhirnya ia akan lenyaplah," ujar beliau lagi.

Selain penggunaan bahasa asing, pemansuhan tulisan jawi juga turut mengecewakan beliau.

"Amat dukacita sekali kerana ada menteri berbangsa melayu yang telah membuang tulisan jawi yang jelas merupakan satu ciri bahasa kebangsaan kita," katanya.

Beliau yang mengakui penggunaan bahasa asing di negeri Kelantan juga sedang berlaku dan berharap pihak kerajaan tempatan mengkaji semula perkara tersebut agar ia tidak berleluasa.

Turut hadir dimajlis pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Kelantan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan negeri,Datuk Mohd Aiseri Alias, Ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta pelajar sekolah.-mna_

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI