Wednesday, May 12, 2010

Wajah sebenar 1Msia: SUPP Sedia Debat Jika Pas Gugur Al-Quran Sebagai Panduan


Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersedia berdebat dengan Pakatan Rakyat hanya jika parti Islam Pas menggugurkan nilai-nilai Islam dari perlembagaannya.

Pengerusi Bahagian Sibu, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata pihaknya hanya akan menjawab propaganda 'Negara Islam' yang SUPP sebarkan hanya jika Pas tidak lagi mengangkat Al-Quran sebagai panduan utama parti itu.

Akhbar Borneo Post hari ini melaporkan, SUPP menuntut parti Islam itu menggugurkan Al-Quran jika Pakatan Rakyat mahu mendebatkan isu 'negara Islam'.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam mencabar SUPP mendebatkan isu ini, selepas BN didapati menyebarkan propaganda 'Satu Undi Untuk DAP ialah Undi Untuk Pas dan Negara Islam' dalam kempen pilihanraya Sibu.

Papan iklan berbaur hasutan turut dinaikkan di serata pekan Sibu, dengan mesej yang mendakwa, budaya masyarakat bukan Islam akan terhapus jika Pakatan Rakyat diberi peluang di Sarawak.

Di sidang akhbar hari ini, dengan nada yang amat kesal dengan provokasi SUPP ini, Kit Siang menyeru rakyat Sibu untuk menolak politik fitnah yang mengajak kepada permusuhan.

"Saya menyeru rakyat Sibu untuk menghapuskan 'senjata pemusnah' ini kerana ia fitnah sepenuhnya. BN telah menggunakannya di Semenanjung Malaysia, contohnya pada 1999, mereka dakwa tidak lagi boleh makan khinzir, tiada lagi tokong dan tiada lagi sekolah Cina. Ini adalah tidak benar, bahkan dinafikan oleh pemimpin Pas," tegas Kit Siang.

BN yang mewar-warkan agenda 1Malaysia menolak Fasal 3 perkara 1 Perlembagaan Pas, yang menyebut komitmen menyemai nilai murni agama dalam masyarakat Malaysia. BN juga menolak perkara 2 dari Fasal yang sama yang menetapkan komitmen Pas mempertahankan kesucian Islam dari dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.

BN juga menuntut Pas supaya meminda Fasal 7 perkara 1 yang menetapkan bahawa panduan utama parti Islam itu adalah kitab suci Al-Quran dan Sunnah, prinsip yang turut dikongsi oleh semua penganut Islam di Malaysia.

SUPP mempropagandakan isu ini dalam usaha untuk menakut-nakutkan masyarakat Kristian supaya membenci Pas dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat memandang propaganda ini dengan serius, terutamanya mengira beberapa jam sahaja lagi menuju hari berdarah 13 Mei.

"BN masih lagi melihat ke belakang, walhal kita menuju ke hadapan. Pakatan Rakyat menunjukkan pendirian yang tegap dan tegas dalam semua isu terutamanya isu kalimah Allah. Yang paling utama, soal Negara Islam, bukan agenda Pakatan Rakyat. Apa yang kita mahu adalah mewujudkan kerajaan yang adil, saksama, bertanggungjawab dan bebas rasuah," jelas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.

"DAP tidak sembunyikan apa-apa, kerana itu kita amat bersedia untuk debat terbuka. BN tanya mengapa kita takut pada 1Malaysia. Baik, saya cabar mereka untuk turun dan kita debat isu 1Malaysia. Ada berani?" soal Kit Siang.

Penganut Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Tempoh kempen setakat ini menyaksikan Pas dan DAP giat merapati gereja dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat antara masyarakat Kristian dan Islam di sini.

Usaha ini adalah kesinambungan kempen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru, yang menjamin keadilan untuk semua dan bebas diskriminasi agama.

Kempen ini menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat 46 peratus, memaksa SUPP mengeluarkan amaran kepada Pas untuk tidak membawa politik Semenanjung ke Sarawak.

"Pakatan amat jelas dalam rangka dasar bersama. Kita tahu kita berdiri atas prinsip apa, untuk apa prinsip ini, dan bagaimana untuk mencapainya. Semua yang disebutkan dalam Model Ekonomi Baru bawaan Najib adalah idea yang menarik, namun bila ia memerlukan iltizam politik, Pakatan Rakyat jauh lebih baik," tegas Dr Dzulkefly.

Polis Enggan Mohon Maaf, Keluarga Amilnulrashid Terus Tindakan Perundangan

SHAH ALAM 12 MEI: Keengganan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memohon maaf kepada keluarga Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis, hanya mendorong keluarga mangsa meneruskan tindakan perundangan.

"Kita kemungkinan untuk ambil tindakan kepada IGP dengan CPO sebab masih gagal dan enggan memohon maaf dan mengaku percakapan mereka tentang isu ini adalah salah," kata Lateffa Koya kepada TV Selangor.

Lateffa Koya adalah antara peguam keluarga mangsa.

Berikutan kenyataan terbaru kedua-dua pegawai polis ini, beliau berkata, keluarga Allahyarham sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan perundangan.

Lateffa Koya juga kesal kerana kedua-dua pegawai atasan polis ini, membuat kenyataan sembarangan tanpa bersandarkan bukti.

"Kita tak faham macam mana mereka boleh cakap macam itu. Mereka tidak boleh cakap sewenang-wenangnya. Sekurang- kurangnya kena tunjuk bukti, mana parangnya? Mana benda-benda yang dia kata?

"Kalau semua benda itu tidak muncul dan tak dapat dibuktikan, maksudnya ini adalah keterangan palsu," katanya lagi.

Selepas pendakwaan Koperal Jenain Subi atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrashid, Musa Hassan dan Khalid Abu Bakar terus menolak permintaan keluarga mangsa untuk memohon maaf kerana melabel Aminulrashid sebagai “penjenayah”.

Malah, mereka tetap mempertahankan kenyataan mereka atas alasan perbuatan melabel Aminulrashid sebagai penjenayah yang disyaki, bukan satu kesalahan.

Mereka juga enggan memohon maaf walaupun diminta keluarga Aminulrashid, dengan alasan bimbang ia akan memberi implikasi perundangan.

Aminulrashid sebelum ini didakwa sebagai memiliki parang dalam kereta selain didakwa mengundurkan kereta hingga hampir melanggar kenderaan polis pada malam kejadian.

Tengku Marjan Minta Hishammuddin Beri Penjelasan Dakwaan Raja Perempuan

KOTA BARU: Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi penjelasan berhubung dakwaan Raja Perempuan Kelantan bahawa baginda dikasari polis.

Ini berikutan laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu yang memetik sumber Istana Mahkota bahawa, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dikasari anggota polis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pada Selasa lepas ketika Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM untuk rawatan susulan masalah jantung. Tengku Merjan berkata, pendedahan gambar kecederaan Raja Perempuan Kelantan yang disiarkan akhbar itu hari ini perlu dijelaskan oleh polis untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

"Saya mengharapkan Hishammuddin dapat memberi penjelasan segera insiden anggota polis (didakwa) mengasari Tengku Anis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sultan Kelantan dibawa pulang ke Istana Mahkota Isnin lepas setelah menjalani rawatan susulan di HUSM seminggu lepas dan diletakkan di bawah pengawasan 10 doktor panel.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menafikan dakwaan laporan akhbar berkenaan bahawa Tengku Anis dikasari polis pada Selasa minggu lepas.

Beliau berkata, pihak polis tidak pernah mengasari Raja Perempuan Kelantan dan tiada insiden seperti itu dilaporkan.Amir Hamzah menegaskan dan mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa pihak polis tidak pernah mengasari kerabat Diraja Kelantan.

"Jika berlaku sebarang insiden seharusnya mereka membuat laporan polis agar pihak polis boleh segera menyiasat," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI