Friday, February 18, 2011

OpsSel berterusan hingga PRU 13




BANDAR BARU SELAYANG – Operasi Selangor (OpsSel) iaitu turun padang jawatankuasa bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga menjelang Pilihanraya Umum (PRU) Ke 13.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, program dibawah arahan Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sudahpun dimulakan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, daripada 45 Ranting PKR terdapat di kawasan Selayang, pihaknya turut akan bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam melaksanakan program terbabit.

“Perkara penting dalam aktiviti ini ialah kita hendak menyampaikan maklumat lapan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), supaya rakyat mendapat apa dijanjikan PR dan memanfaatkannya".

“Dalam program berkunjung ke setiap rumah seperti kita adakan ini, penerangan berkaitan dapat dilakukan, selain kita tahu kesusahan dan apa dikehendaki oleh rakyat, manakala yang tidak betul kita akan betulkan,” katanya.

William yang juga Ketua PKR Cabang Selayang berkata demikian semasa OpsSel ke perumahan Dahlia A, di sini bersama timbalan, Asri Buang dan 30 ahli jawatankuasa PKR dan PR setempat.

Dalam pada itu menurut William antara penerangan MES diberikan adalah seperti program bekalan air percuma 20 meter padu, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Hadiah Anak Masuk Universiti, Program Peningkatan Hasil Batuan dan Mineral, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dan Pusat Khidmat Krisis Sehenti.

“Selain itu, daripada maklumat dikumpulkan kita akan analisis semua masalah dan isu-isu besar supaya diselesaikan. Ia bukan semata-mata untuk menghadapi PRU, tetapi apa telah PR janjikan kepada rakyat.

“Seperti MES ini, ia bukan satu perkara baru, tetapi masih ramai rakyat tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Bagaimanapun kita akan teruskan usaha ini dimana dalam masa dua bulan, kita percaya semua rumah di DUN Taman Templer dapat dikunjungi,” katanya.

Menurut William pada hari sama, pihaknya juga menjalankan OpsSel di Rawang, manakala DUN Kuang sudahpun selesai sebelum ini. Suri rumah dari Blok 6, Dahlia A, Norita Basar, 32, berkata, sebagai penduduk dia mengalukan kunjungan wakil rakyat dan pimpinan setempat seperti dalam OpsSel terbabit, kerana hal penduduk diambil tahu.

“Saya dimaklumkan ahli jawatankuasa dalam program ini juga, mereka memerlukan boleh mendaftarkan nama supaya dapat dibantu mencari pekerjaan. “Kebetulan saya juga terpaksa berhenti kerja kerana syraikat saya bekerja sebelum ini sudah gulung tikar, jadi saya akan manfaatkan peluang ini,” katanya.

Suri rumah, Radiah Osman, 50, pula berkata, dia mengambil peluang mendaftarkan cucunya yang baru dilahirkan beberapa hari lalu bagi Skim Tawas, manakala borang berkaitan diambil untuk anaknya yang mahu mencari pekerjaan.

Menurutnya, dia juga akan memanfaatkan Program Memmogram iaitu pemeriksaan pengesanan awal kanser payudara iaitu, dengan mendaftar di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) PR berhampiran. “Saya difahamkan selepas daftar, terdapat kenderaan akan mengambil peserta untuk dibawa ke pusat berkaitan di Kepong dan menjalankan pemeriksaan itu secara percuma,” katanya.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI