Saturday, January 15, 2011

Pengurusan Masjid: 'Isu Azan Sudah selesai, Tiada Masalah Lagi'


KUALA LUMPUR : Isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, yang tercetus ekoran dakwaan arahan supaya tidak lagi menggunakan pembesar suara disebabkan aduan seorang ahli MCA, telah pun selesai, kata pengurusan pihak masjid itu.

Menurut laporan Malaysian Insider , Pembantu imam Masjid Al-Ikhlasiah Ramli Kadni berkata, azan di masjid itu yang terletak di kawasan majoriti orang Melayu, berkumandang seperti biasa susulan perbincangan dengan pihak berkuasa.

"Sudah kembali seperti biasa, azan Subuh sampai Isyak semua macam dulu.

"Kita boleh anggap perkara ini sudah selesai, tiada masalah lain lagi," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, Ramli berkata, pengurusan masjid telah mendapat arahan supaya berhenti daripada menggunakan pembesar suara sejak tiga minggu lalu ekoran aduan seorang ahli MCA yang juga seorang peguam, yang tinggal di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, Ramli tidak dapat mengesahkan siapa yang mengeluarkan arahan itu.

"Kita cuma dapat arahan daripada imam, menyuruh kita perlahankan bunyi azan tapi tiada surat ditunjukkan.

"Saya difahamkan bahawa surat arahan itu ada, apa pun perkara ini sudah selesai. Jadi saya minta ia tidak berulang lagi," katanya.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu azan Masjid Al-Ikhlasiah didakwa diarah menghentikan penggunaan pembesar suara sebagai "mainan politik" pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Beliau menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengurusan masjid agar memperlahankan laungan azan atau tidak lagi menggunakan pembesar suara.

"Ini adalah mainan politik yang cuba dikalutkan oleh pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

"Ini adalah proses politik yang dimainkan, memang tiada arahan apa pun daripada kita," katanya.

Debat Buku Jingga: Najib Tak Perlu Gusar, Kata Anwar


KEMAMAN : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu gusar menerima pelawaan berdebat dengan beliau jika beliau yakin dengan dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Kerajaan UMNO-BN lebih baik daripada Buku Jingga Pakatan.

Perbahasan terbuka tanpa sebarang saringan akan membolehkan rakyat menilai kewibawaan program 100 hari Pakatan Rakyat yang ditawarkan jika gagasan itu menawan Putrajaya, tambah Anwar.

Buku Jingga adalah dokumen Pakatan Rakyat yang menetapkan pelan tindakan ekonomi dan sosial gagasan pembangkang itu termasuk rancangannya dalam 100 hari pertama selepas menawan Putrajaya.

"Datuk Seri Najib kata biar rakyat nilai kedua-dua, tetapi ruang untuk rakyat baca buku Jingga itu sangat terbatas. Dalam amalan demokrasi dan kerana Datuk Seri Najib tunjuk keyakinan dengan dasar dia, sebaiknya diadakan perbincangan terbuka kalau dia tak nak sebut debat pun di khalayak umum atau di depan media," komen Anwar pada sidang media pelancaran Hari Kebangkitan Rakyat PAS ganti UMNO di Kampung Geliga di sini.

Kelmarin, Najib menolak pelawaan berbahas dengan Anwar kerana kononnya tidak nampak hasil perdebatan itu dan sebalikknya mahukan rakyat membuat penilaian sendiri.

Program 100 hari Pakatan Rakyat memerlukan peruntukan kira-kira RM19 bilion untuk memastikan lebuhraya negara bebas dari bayaran tol dan imbuhan untuk guru ditingkatkan manakala subsidi untuk rakyat membeli keperluan asas dinaikkan.

Program itu juga menetapkan bahawa bayaran royalti untuk negeri-negeri akan ditingkatkan kepada 20 peratus manakala khidmat wi-fi percuma akan diperluaskan.

Peruntukan RM19 bilion itu diperolehi dengan membanteras pemberian kontrak kepada syarikat kroni, manakala subsidi untuk syarikat konsesi korporat dikurangkan serta ketirisan negara yang berjumlah RM28 bilion dibendung.

Menurut Anwar, adalah wajar bagi Najib menerima pelawaan berdebat dengan beliau kerana Presiden Umno itu kerap memperlekehkan dasar PR, khususnya program 100 hari itu.

"Saya tak lihat pun keperluan beliau untuk bimbang berbahas. Beliau ada ratusan pakar ekonomi untuk membantu. Untuk rakyat (perkara ekonomi) ini sangat penting," kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berkata jika Najib masih enggan berbahas dengan beliau mengenai ekonomi negara, beliau berharap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sanggup berdebat dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli atas isu sama.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Hadi Awang menganggap perbahasan yang ditolak oleh Najib itu adalah amalan yang menyuburkan demokrasi dalam usaha menyampaikan maksud dan mesej jelas kepada rakyat.

"Debat ni amalan biasa di United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara lain yang mengamalkan demokrasi," kata beliau.

Masyarakat Penulis Kritik Pemimpin MIC Politikkan Novel Interlok


KUALA LUMPUR : Masyarakat penulis berhimpun hari ini untuk mensasarkan kritikan terhadap pemimpin MIC kerana didakwa mempolitikkan isu novel Interlok dalam cubaan untuk meraih sokongan kaum India.

Lebih 100 wakil pelbagai persatuan penulis dan anak Sasterawan Negara Abdullah Hussein hadir pada perhimpunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) untuk menolak sebarang cubaan menarik balik atau meminda kandungan buku itu sebagai buku teks di sekolah menengah.

Perhimpunan Memprotes Mempolitikkan 'Interlok' ini diadakan di Rumah Gapena petang tadi.

Rata-rata wakil persatuan penulis menolak pendirian rasmi MIC bahawa buku ini menghina kaum Melayu kerana menggunakan ungkapan tertentu dalam masyarakat Tamil di India.

Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan menyeru agar warga Malaysia yang cintakan kesusasteraan bangkit mempertahankan karya hasil Abdullah Hussain.

"Rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, cintakan ilmu pengetahuan bergeraklah tuan-tuan dan akhirnya kita bersatu mempertahankan Interlok sebagai buku teks dan buku negara serta kandungan buku Interlok itu tidak dipinda," tegas beliau kepada kira-kira 100 peserta perhimpunan tersebut.

Sasaran utama kemarahan kumpulan ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T.Murugiah yang menyertai MIC baru-baru ini.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor Amiruddin Ali Hanafiah mahu Murugiah meletakkan jawatan secara terhormat sebagai Ahli Dewan Negara kerana mempolitikkan isu berkenaan.

"PPJ berharap, semua gabungan Melayu berharap T.Murugiah orang yang memulakan persoalan 'Interlok' ini memperjelas kepada rakyat Malaysia kerana kebiadaban, saya kata Murugiah biadab kerana tidak menghormati Menteri Pelajaran. Beliau yang menyatakan 'Interlok' ditarik balik seolah-olah Menteri Pelajaran sudah tidak ada, seolah-olah Tan Sri Muhyiddin sudah mati, bagi Murugiah barangkali," tegas beliau.

Gapena merumuskan lapan resolusi hari ini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, termasuk tuntutan supaya pemimpin-pemimpin kerajaan dipecat sekiranya mereka mencetuskan salah sangka, prasangka dan pergolakan antara kaum.

Thariq Abdullah, anak penulis novel 'Interlok' melahirkan rasa dukacita kerana ayahnya dijadikan mangsa ahli politik.

Beliau menegaskan novel 'Interlok' mengetengahkan keperitan hidup tiga kaum utama di negara ini pada awal tahun 1900an dan tidak menghina mana-mana pihak.

"Tetapi apa yang berlaku, ada golongan tertentu cuma secara 'convenient' mengambil bahagian-bahagian tertentu dan mempolitikkan bahagian-bahagian tertentu, dalam keadaan tersebut untuk kepentingan, mungkin politik peribadi mereka sendiri yang mana telah menjadi polemik negara sekarang," kata beliau.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI