Monday, January 17, 2011

3 Beradik menerima bantuan sekolah


Kg Mahkota - Segala kesedihan 3 beradik berakhir apabila hasrat untuk memperolehi baju sekolah dan kelengkapan persekolahan tercapai juga.

Kamaruddin Salleh merasa terharu kerana masih ada juga yang sudi meghulurkan bantuan kepada anak-anaknya saat dirinya ditimpa musibah dengan kehilangan kerja.

Katanya "Saya yang telah kehilangan kerja kerana tamat kontrak dan tidak mampu untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak. Puas sudah saya mencari pekerjaan, namun masih belum ada rezeki lagi".

Yang menyedihkan kami apabila rumah kediaman saya telah di kuncikan oleh Tn rumah. Saya akui rumah tersebut tidak dapat untuk saya bayar sewanya lagi. 7 bulan tertunggak dengan berjumlah sebanyak RM2,450. Tn rumah yang telah dikenal pasti daripada orang UMNO/BN telah mengunci rumah tersebut sehinggakan segala barang-barang keperluan dan barang keperluan anak-anak kami telah disita.

Saya terkilan kerana mereka tiada perasaan belas ehsan langsung. Seandainya mereka ingin kami keluarpun janganlah sampai mengambil barang-barang kami. Barang kelengkapan sekolah anak-anak juga telah diambil.

Isteri saya terpaksa meminjamkan baju sekolah, kasut dan beg sekolah sementara waktu kepada kawannya untuk anak -anak saya. Memang rasa begitu malu dan sangat sedih juga untuk meminta kepada orang lain tetapi apakan daya kami terpaksa sementara menunggu peluang pekerjaan untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak.

Saya cuba membuat permohonan bantuan ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) tetapi permohonan saya tidak diluluskan.

Namunpun begitu, saya tidak fikirkan kesedihan ini akan berpanjangan, saat diuji dengan kesusahan akhirnya epilog kesedihan ini berakhir juga dengan kegembiraan apabila segala masaalah saya hadapi telahpun di usulkan kepada Ketua Kampung dan PKM DUN Tmn Templer.

Segala masaalah saya dapat diselesaikan oleh PKM dengan tindakan yang diambil oleh Hj Mohamad Penyelaras DUN Tmn Templer.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kg Mahkota En Zainal Abidin dan Tn Hj. Mohamad Abd Rahman, YDP PAS Kawasan Selayang merangkap Penyelaras DUN Tmn Templer yang telah banyak membantu saya dan keluarga. Mereka begitu prihatin dengan masaalah yang saya hadapi.

Mereka begitu mengambil berat terhadap kami sekeluarga. Terharu dengan pemberian bantuan kewangan dan peluang pekerjaan yang telah diberikan kepada saya dan anak-anak. Rasa bebanan dan kesedihan kami terubat juga akhirnya.

Saya telahpun menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai RM500 daripada pihak PKM DUN Tmn Templer dan sumbangan khas daripada Hj. Mohamad.

Kami juga diberi peluang untuk berteduh di dewan ini sementara waktu. Sekiranya gaji permulaan bulan ini saya dapat insya-allah akan dicuba untuk mencari rumah sewa lain.

Terdahulu, saya pernah meminta bantuan kepada UMNO/BN cawangan Lembah Mutiara dengan meminta bantuan kepada ketua wanita UMNO/BN Pn Rohaniah tetapi permohonan kami tidak pernah dilayan. Rasa kecewa juga dengan sikap mereka. Adakah slogan yang diomong-omongkan oleh UMNO/BN iaitu 1 malaysia rakyat didahulukan menepati atau hanya kaya dengan slogan tetapi untuk melaksanakan tidak mampu dengan memberi tekanan kepada rakyat malaysia, ujarnya.

Sementara itu, Tn. Hj Mohamad Penyelaras DUN Tmn Templer berkata "Insya-ALLAH segala masaalah yang dihadapi En. Kamaruddin sekeluarga akan cuba dibantukannya. Saya akan cuba membantu buat surat sokongan bantuan kewangan kepada pihak LZS agar dapat memberi bantuan kepada mereka sekeluarga memandangkan pendapatan mereka ditaraf fakir miskin".

Semoga bantuan diberikan kepada kami dengan memberi kelengkapan barang dapur dan melengkapkan peralatan sekolah anak-anak mereka dapat meringankan bebanan yang dihadapi beliau sekeluarga. 3 orang anak mereka telah memperolehi 2 pasang baju sekolah dan baju sukan setiap seorang, buku latihan, buku aktiviti sekolah bagi melengkapkan keperluan anak-anak mereka agar anak-anak ini tidak merasa sedih, malu dan tersisih kerana kemiskinan yang dihadapi oleh keluarga ini.

Menurutnya lagi, "untuk bantuan melangsaikan hutang tertunggak kita akan cuba minta ahli PR untuk membantu keluarga ini dengan membuat derma kilat. Semoga ahli-ahli PR khususnya PAS dapat meringankan bebanan mereka yang dalam kesempitan hidup".

Saya juga difahamkan oleh Ketua Kg Mahkota rumah yang disewa oleh En Kamaruddin merupakan rumah transit (sementara) kepada rakyat yang susah. Rumah tersebut sepatutnya tidak perlu disewa, sekiranya mereka ingin menyewakan kepada rakyat seharusnya mempunyai resit tetapi resit sewa tidak diberikan kepada penyewa.

Segala peralatan dirumah tersebut telah dikuncikan dan difahamkan oleh En Kamaruddin dan isterinya ketika meninjau rumah tersebut didapati rumahnya begitu selerak dan barang elektrik lain sudah tiada, samada telah dijual atau sebaliknya, waallahualam. Kita harap pihak berkenaan pulangkan barang keperluan mereka, belas ehsan keatas mereka yang dalam kesempitan. Janglah kita menindas mereka yang tidak berkemampuan, katanya.

Adik Irsyabuddin Kamaruddin, 14thn berkata, "sedih dengan masaalah yang dihadapi ayah dan ibu. Kami sekeluarga telah dihalau oleh Tn rumah tanpa rasa simpati dengan tidak memberi peluang kepada kami sekeluarga untuk mengambil barang-barang keperluan termasuklah kelengkapan peralatan sekolah. Kami terpaksa pinjam kepada kawan untuk ke sekolah.

Insya-allah, saya akan belajar bersungguh-sungguh agar kesusahan ini tidak berterusan. Terima kasih kepada Ketua Kg dan juga Hj Mohamad Penyelaras DUN Tmn Templer yang sudi membantu dan menjaga kebajikan kami sekeluarga".

Adik Nurul Batrisya Kamaruddin 8thn, rasa gembira apabila dapat menikmati baju, kasut dan peralatan sekolah seperti kawan-kawan lain. Insya-allah saya akan belajar bersungguh-sungguh agar berjaya dalam pelajaran untuk membantu ayah dan ibu, katanya.

Editor :khaulah azwar



Undi Proksi: Cadangan SPR 'Kurang Masak'- MARFEL





SHAH ALAM - Cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian disifatkan sebagai idea kurang masak oleh Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau selaku Perngerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) menjelaskan cadangan itu menimbulkan banyak persoalan dan belum dikaji sepenuhnya serta tiada perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

"Idea ini agak kurang masak lagi, kerana kita sekarang berada di mana terdapat banyak lagi isu yang pernah dicadangkan kepada SPR tetapi masih belum benar-benar dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Beliau turut mengesa SPR supaya melaksanakan cadangan yang pernah diusulkan sebelum ini, seperti menggunakan dakwat dalam pilihanraya dan pendaftaran secara automatik bagi rakyat yang sudah berumur 18 tahun ke atas.

"Kalau tujuan SPR untuk dapatkan lebih banyak pengundi, saya rasa lebih baik lihat cadangan-cadangan yang pernah dikemukakan daripada cadangan yang belum ada kajian yang menyeluruh.

"Perkara ini mungkin akan mencetuskan debat yang hebat sebab proxy ni maksudnya dia mewakili, jadi apakah peraturan dan syarat-syarat menjadi wakil tu dan pada masa yang sama bagaimana kita boleh memastikan wakil ini benar-benar seorang wakil? ini akan menimbulkan pelbagai kecurigaan," katanya.

Syed Ibrahim turut khuatir cadangan ini akan menjejaskan kredibiliti pengundi kerana penggunaan wakil ini adalah perkara yang belum dapat dipastikan.

Beliau tidak menolak jika SPR mahu mengemukakan cadangan tetapi mereka hendaklah berhati-hati dan berfikir secara matang serta berbincang dengan pihak lain terlebih dahulu.

Akhbar hari ini melaporkan cadangan SPR dalam mengemukakan idea untuk memberi kelonggaran kepada pengundi bagi membenarkan mereka menggunakan wakil untuk mengundi bagi pihak mereka.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Ia sebahagian daripada pindaan-pindaan yang dipertimbangkan untuk dibawa suruhanjaya itu, dipercayai akan diguna pakai jika diluluskan semasa pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut bakal diadakan akhir tahun ini.

“Kita punya sasaran (guna pakai pindaan ini) ketika pilihan raya umum ke-13 . . . insya-Allah, kita punya sasaran kita hendak bawa (luluskan) pindaan ini pada tahun ini, awal tahun ini, ia dibawa kepada Kabinet dan Parlimen.

“Harap-harap ia boleh dibawa ke sidang Parlimen Mac ini, jika tidak pada (sidang bulan) Jun,” kata beliau.

Beliau memberitahu, pindaan yang disyorkan mereka tidak dapat digunakan ketika pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir Julai ini.

Tawaran Latihan Usahawan Dan Bantuan Modal Untuk Pekerja Muslim Yang Bekerja Di Premis Tidak Halal

Kenyataan Media
18 Januari 2011

Larangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang menghalang umat Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan arak merupakan satu langkah untuk membendung umat Islam daripada terjerumus kepada pekerjaan yang tidak halal.

Enakmen tersebut juga menggesa agar umat Islam supaya memilih pekerjaan yang memberikan rezeki yang lebih berkat.

Kerajaan negeri merasa simpati kepada umat Islam yang berkerja di premis-premis seperti kilang arak, kelab malam dan premis-premis yang melibatkan arak dalam sektor pekerjaan mereka.

Justeru, kerajaan negeri telah memperuntukan RM 10 juta untuk membantu mereka untuk memilih pekerjaan alternatif yang lebih lumayan dan berkat .

Menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan,wang tersebut akan digunakan untuk menawarkan mereka latihan keusahawanan dan bantuan modal bagi memulakan perniagaan. Antara sektor perniagaan yang ditawarkan bantuan modal adalah kecantikan, jahitan, masakan, membaiki telefon bimbit dan lain-lain.

Kepada mereka yang berminat boleh terus ke Tingkat 5, Bahagian Sektoral, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Mereka juga boleh menghubungi pegawai di Bahagian Sektoral di talian 03-5544 7115 atau 03-5544 7965.




Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com.
Tel: 03-55447456, Fax: 03-55135068
(Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pegawai Penerangan Nooraini 019-3665677 atau sektakhbarsgor@gmail.com)

Reaksi Pemimpin Wanita: Wanita PR Optimis Kemampuan Cikgu Normala


LABIS: Ketua Dewan Muslimat PAS, Noridah Salleh optimis bahawa calon wanita yang diletakkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mampu untuk memberikan saingan kepada calon Barisan Nasional(BN) nanti.

Mengakui ia bukan tugas mudah, namun katanya wanita dalam Pakatan Rakyat akan sama-sama berusaha untuk memenangkan kerusi yang menjadi pintu masuk Pakatan Rakyat di Johor.

"Ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang dikatakan oleh pimpinan-pimpinan sebentar tadi tetapi Insya-Allah pihak kami akan mengembeling tenaga dan usaha kita untuk mencapai kemenangan ini," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon Tenang, di sini, malam tadi.

Normala Sudirman,37, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, namun meletakkan jawatan beliau baru-baru ini kerana undang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau yang dilahirkan pada 6 Jun 1973 merupakan Ketua Muslihat PAS Labis,dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilihan calon wanita di Tenang membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya sebuah gagasan yang mengutamakan perpaduan kaum malah sentiasa memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita.

"Ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat apabila memilih Normala sebagai calon dalam DUN Tenang iaitu seorang wanita, Pakatan Rakyat telah melepasi sempadan perkauman dan hari ini Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita telah melepasi garisan gender," kata Zuraida.

Manakala itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pula berpandangan, pemilihan Normala sebagai calon memberikan gambaran bahawa PAS sentiasa mempunyai wajah baru yang berkebolehan untuk diketengahkan dalam arena politik negara.

"Melihatkan perkara ini ia mencerminkan PAS tidak ketandusan calon yang mana kita mempunyai ramai muka-muka baru berkaliber dan kita yakin dengan kemenangan kita di DUN Tenang ini nanti membawa nafas baru dalam Dewan Undangan Negeri Johor, membuktikan muslimat mampu, wanita boleh," katanya.

Terharu Hasrat Bina Batu Nisan Tercapai



Bandar Baru Selayang – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tmn Templer sekali lagi menyampaikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) fasa pertama kepada 10 orang lagi waris baru-baru ini di PKM.

Semua waris yang menerima sumbangan skim tersebut telah mengira wang RM1000 depan saksi-saksi mereka dengan menandatangani surat penerimaan SMUE sebagai bukti. Ini adalah bertujuan bagi memastikan rekod penerimaan dibuat lebih bersistematik dan untuk mengelak berlakunya tuntutan 2 kali oleh waris.

Pengurus PKM DUN Tmn Templer, Kassim Packirry yang telah menyampaikan taklimat skim-skim yang diberikan oleh Kerajaan PR kepada seluruh rakyat Selangor menyatakan “tujuan kita minta waris menandatangani borang terima wang khairat ini adalah untuk mengelak berlakunya penipuan”.

“Terdahulu ada rakyat yang mengambil kesempatan dengan menyatakan tuntutan tidak diterima. Apabila kita membuat semakan dalam sistem SMUE, kita dapati mereka sudah terima skim tersebut di kawasan lain”.

“Sistem SMUE yang ada di negeri Selangor ini semuanya sentiasa dikemaskini, rakyat tidak boleh mengambil kesempatan kerana wang khairat kematian ini adalah untuk membantu rakyat agar mereka dapat menyelesaikan hutang piutang, mengerjakan haji/umrah, membina kubur arwah dan sebagainya.

Wang sumbangan ini bukan untuk kita buat main-main. Kita harap rakyat takut dengan hukum tuhan agar tidak mengambil mudah sahaja dan Insya-ALLAH fasa ke 2 akan diberi dalam masa terdekat ini juga”, katanya.

Hjh. Salminah Bt Ismail, 68thn yang menerima wang tersebut melahirkan kesyukurannya kerana wang simpanannya yang sediaada belum mengcukupi untuk membuat batu nisan suaminya yang telah pulang kerahmatuallah baru-baru ini.

Beliau yang turut menjaga 3 orang cucu nya yang tidak mempunyai ayah lagi tidak mahu membebankan anaknya yang kehilangan suami. Dengan ada bantuan SMUE ini sekurang-kurangnya hasrat saya untuk membina batu nisa arwah secepatnya dapat dilaksanakan, insya-allah hari ini juga mak cik akan buat tempahan batu nisan arwah.

Semasa pemerintahan Kerajaan UMNO/BN, saya tidak tahu ada skim SMUE, tetapi hampir 3thn Kerajaan PR memerintah baru saya dan rakyat tahu skim SMUE yang dikatakan seperti khairat kematian ini ada dan ramai rakyat yang sudah tahu skim tersebut melalui sebaran maklumat yang dibawa oleh Kerajaan PR. Ini bermakna pentadbiran Kerajaan PR lebih tulus daripada Kerajaan Pusat UMNO/BN kerana wang khairat kematian semasa pemerintahan dahulu tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

Sehubungan dengan itu, saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan Kerajaan Negeri PR dan PKM DUN Tmn Templer yang meringankan beban kami dan menjalankan amanah ini dengan sebaiknya, ujarnya.

Editor :khaulah azwar

Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama


Bandar Baru Selayang- Walaupun 3 bulan sudah berlalu namun kehilangannya sangat dirasai oleh semua ahli PAS Kawasan Selayang lebih-lebih lagi Balu kepada 3 orang cahaya mata Pn. Wan Hanisah W. Hamat.

Allahyarham Hj Mokhtar meninggal dunia kerana sesak nafas dan mengalami sakit barah usus. Semasa beliau masih hidup, beliau bersama isterinya sangat terkenal dengan dunia urut tradisional. Kini kerja tersebut disambungi oleh isterinya bagi meneruskan kehidupannya bersama anak-anaknya.

Walaupun arwah telah pergi, namun jemaah PAS Kawasan Selayang tidak pernah melupakan jasa baik yang diberikan oleh arwah dalam membantu kerja - kerja parti . Ibarat Harimau mati tinggalkan belang manusia mati tinggalkan nama. Ketangkasannya sangat dikagumi oleh penduduk selayang walaupun usianya semakin lanjut.

Atas dasar keperihatinan PAS Kawasan Selayang kepada Isteri dan anak-anaknya, rombongan ziarah telah diadakan baru-baru ini bersama Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tmn Templer di kediamannya di Selayang baru.

Program ziarah yang diadakan kepada keluarga arwah Hj Mokhtar yang telah pulang ke rahmatuallah dengan menyampaikan sumbangan SMUE yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) kepada Pn. Wan Hanisah W. Hamat.

Sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tmn Templer merangkap YDP PAS Kawasan Selayang, Tn Hj Mohamad Abd Rahman. Turut hadir bersama Ketua Kg Selayang Baru Hj Zulkifli Abd Hamid, Setiausaha PAS Kawasan Selayang Mokhtar Rozaidi, dan beberapa ahli PAS.

K.Wan yang ditemui berkata “Walaupun 3 bulan sudah berlalu masih terasa kehangatan kata-kata arwah Hj Mokhtar kepada saya dan anak-anak “ selagi bernyawa teruskan perjuangan ini walaupun diuji dengan berbagai ujian. Tiada parti mana yang lebih baik mengamalkan ajaran Al-Quran dan al-sunnah melainkan parti PAS. Kerja murni ini perlu dilakukan dan jangan sekali tidak membantu untuk perjuangan ini lebih-lebih lagi tibanya PRK Negeri dan PRU, katanya dengan sebak membuatkan semua yang hadir turut rasa kehilangannya.”

Katanya lagi “Terdahulu arwah merupakan seorang Tentera Udara Darat Malaysia (TUDM). Semasa berkhidmat di TUDM beliau bersama Parti UMNO/BN. Tetapi sepanjang beliau bersama UMNO/BN arwah mokhtar menyatakan kepada saya, parti ini bermasaalah dari sudut pentadbiran dan sahsiahnya. Selepas bersara 1985 beliau bertukar parti dengan menjadi ahli PAS seumur hidup apabila arwah yang ketika itu berjinak-jinak menilai pentadbiran PAS. Walaupun PAS pada masa itu belum mengecapi kemenangan. Tetapi alhamdulilah sebelum arwah menutupkan matanya beliau dapat menikmati kemanisan kemenangan dengan sumbangan tenaga, buah fikiran untuk kebaikan generasi akan datang pada PRU ke 12 yang lalu. Itulah saat manis bagi arwah.

K.Wan menyatakan sepanjang dia bersama suami segala kenangan yang dilalui dalam perjuangan PAS terasa begitu manis walaupun kadangkala diuji dengan kesempitan. Tetapi kesempitan itu sementara kerana disitulah didikan ALLAH pada kita sebagai seorang pejuang.

Saat yang tidak boleh dilupakan semasa PRK di Manik Urai dimana rumah kediaman Negeri Selangor bersebelahan dengan rumah UMNO/BN.

Amat melucukan walaupun kadangkala nak marahpun ada juga dengan puak-puak UMNO/BN yang buat kerja gila mereka. Keadaan Kg. di sana dengan menggunakan air bersambung telah diputuskan bekalan oleh UMNO/BN.

Semua petugas Selangor terutamanya muslimat tidak dapat mandi. Arwah dan beberapa orang muslimin yang mengangkut air untuk membantu muslimat dengan mencari bekalan air diluar kawasan DUN Manik Urai. Ada juga yang menadah air hujan waktu malam untuk kegunaan memasak dan sebagainya.

Kami rasa macam zaman jepun pula masa tu. Terasa kenangan ini memang sukar dilupakan. Pada masa ini juga semua petugas PR diminta pula berpuasa arahan pucuk pimpinan PAS, Tn Guru Nik Aziz sebelum 2 hari PRK tiba, memandangkan PR telah diserang berbagai sudut dan masa ini juga rasuah telah semakin menular untuk diberikan kepada pengundi yang disampaikan oleh UMNO/BN. Kami semua ikut arahan. Walaupun bekalan air terputus tetapi kami dapat rasa nikmatnya dengan kesatuan hati-hati setiap ahli.

Bekalan makanan juga sentiasa mengcukupi. Pergi mencula dalam keadaan berpuasa masa itu. Semua yang berpuasa ketika itu seperti tidak berpuasa kerana tidak nampak keletihan walaupun musim panas ketika itu. Semua Nampak bersemangat.

Petugas-petugas PAS muslimin tidak henti membantu mencari air mengcukupkan keperluan kami. Ibarat seperti sebuah bangunan yang utuh saling perlu memerlukan. Inilah merupakan kenangan terakhir k.Wan bersama suami di PRK Manik Urai.

Apabila ditanya, “apakah k.wan akan meneruskan tanggungjawab dan mengikuti PRK Negeri ini lagi setelah arwah tiada lagi, lebih-lebih lagi PRK Tenang semakin hampir? Katanya insya-ALLAH selagi bernyawa akan diteruskan tanggungjawab ini kerana ALLAH swt, kerana kerja ini merupakan ibadah dan wajib kepada kita untuk membantu perjuangan ISLAM walaupun suami tiada lagi, Cuma mungkin kita akan terasa juga kerana dulu, mana sahaja PRK Negeri kita bersamanya tetapi kini rasa bergerak tanpa suami, rasa begitu janggal juga. Namun Insya-ALLAH akan diteruskan tanggungjawab dan amanah yang diberi.

Kita juga berharap agar semua ahli PAS Kawasan Selayang tidak melupakan K.Wan disini dengan sentiasa memberi maklumat program, katanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Selayang, Hj Mohamad berkata “Semasa arwah masih hidup beliau dan iserinya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai kerja-kerja jemaah dan sentiasa bersama membantu kerja pilihanraya kecil (PRK) setiap negeri dan pilihanraya umum. Arwah Mokhtar pernah memegang jawatan dalam parti sebagai AJK PAS Cawangan Selayang Baru 1993, begitu aktif dalam semua program parti, masjid dan surau. Jawatan terakhirnya dalam parti Penolong Pegawai Pendaftar SPR (PRO). Perlantikan yang diterima daripada parti politik semenjak 2002 kerana sifat ketekunan beliau dalam kerja-kerja parti, sehingga menghembuskan nafas terakhirnya didepan Komputer untuk mengemaskini daftar pemilih pengundi muda.

Beliau melihat arwah hj mokhtar dan isterinya yang semakin di telan usia tidak pernah erti jemu menyumbangkan tenaga dan buah fikiran.

“Kita harap kegigihan dan sikap arwah dan isterinya dijadikan contoh kepada semua ahli PAS. Kerja dakwah ini satu kemuliaan disisi ALLAH dan tidak akan terhenti. Dengan itu, pihak PAS Kawasan Selayang berhasrat insya-ALLAH kita akan mengadakan satu majlis anugerah kepada semua ahli PAS yang aktif, mempunyai sahsiah yang tinggi dan banyak menginfaqkan tenaga, buah fikiran dan harta benda mereka untuk membantu perjuangan ISLAM.

Kita akan minta pucuk pimpinan merasmikan majlis ini dengan menyampaikan anugerah tersebut kepada mereka termasuklah kepada isteri arwah. Anugerah yang diberikan adalah satu motivasi dan dorongan utama kita kepada semua pejuang PAS, katanya.


Editor :khaulah azwar

Normala pilihan terbaik untuk Dun Tenang


Untuk pertama kali dalam sejarah PAS Johor, sepanjang ingatan saya seorang tokoh muslimatnya - Normala Sudirman, 38 - didipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.

Bukan mudah untuk seorang wanita melepaskan jawatannya sebagai guru untuk bertugas sepenuh masa di dalam PAS peringkat kawasan, negeri dan nasional dan kemudiannya menjadi calon PAS/Pakatan Rakyat di negeri yang selama ini dianggap kubu kuat Umno/BN.

Pemilihan pucuk pimpinan parti terhadap Normala, saya kira, sangat tepat memandangkan kemampuannya mencurahkan sepenuh masa dan tenaga untuk perjuangan sebuah parti seperti PAS.

Pengalamannya sebagai guru selama 12 tahun membuatnya sangat mengertikan kehendak masyarakat, khususnya ibu bapa. Juga kemampuannya berpidato dan menyampaikan dasar perjuangan PAS untuk membela rakyat semua kaum.

Lebih dari segalanya, Normala, atau Cikgu Mala, mempunyai semangat tinggi dan kemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasannya dan parti yang diwakilinya.

Beliau sangat sedar keputusannya untuk melibatkan diri dalam perjuangan PAS/Pakatan Rakyat dan seterusnya menjadi calon dalam pilihan raya kecil Dun Tenang ini adalah keputusan yang mungkin tidak mudah dilakukan oleh sebarang orang, namun Normala telah melakukannya dengan berani dan tabah.

Malah ucapannya di dalam kempen, bertemu pengundi, memacu gerak kerja kempen kelihatannya sangat meyakinkan. Mungkin ramai orang, terutamanya di Johor, terkejut dengan pemilihan dan kesediaannya menerima pencalonan oleh parti, memandangkan demografi politik dan suasana di negeri Johor sedemikian rupa.

Namun jangan salah sangka, Negeri Johor bukan lagi negeri kebal dan kubu kuat Umno/BN. Dua Adun dari PAS dan empat dari DAP sudahpun berada di dalam Dewan Undangan negeri itu. Besar kemungkinan, jika diizinkan Allah s.w.t., Cikgu Mala akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang keenam dari Pakatan, mana tahu.

Jangan ada pihak yang menyangka hal ini adalah mustahil, kononnya PAS tidak ada tempat di negeri Johor. Andaian seperti ini hanya membayangkan keangkuhan dan kesombongan – sesuatu yang sama sekali tidak dibenarkan di dalam Islam.

Oleh itu PAS dan Pakatan Rakyat perlu membuktikan kemampuannya bekerja, mengatur strategi dengan tepat, menemui sebanyak mungkin pengundi dan sebagainya. Ini adalah pilihan raya kecil bersekala besar, justru ia menarik perhatian semua pihak.

Kita yakin Cikgu Mala akan mendapat sokongan kuat dari pengundi Tenang, kerana beliau adalah calon muda yang berwibawa dan sangat prihatin dengan nasib rakyat di Tenang.

Cikgu Normala, adalah di antara sejumlah pemimpin muda muslimat PAS yang menjadi harapan masa depan parti dan perjuangan Islam. Masa depan politiknya masih terbentang luas, sama ada beliau menang atau kalah nanti. Perjuangan PAS masih sangat memerlukan pengorbanan dan sumbangannya.

Sementara itu dalam ucapan di malam perisytiharan calon PAS itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam
suasana yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.

"Bukan senang nak menang kerana kita menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media mereka, stesen televisyen, radio untuk berkempen seluas-luasnya,” katanya.

Beliau menambah, bahawa Pakatan Rakyat sedar, pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan pilihan raya yang tidak adil. “Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.

Namun Presiden PAS itu meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya.

Semakin hampir hari penamaan calon dan hari mengundi, suasana di Labis semakin rancak. Para pemimpin dan penggerak parti kebanyakannya sudah berada di Tenang untuk membantu kempen calon PAS, Cikgu Mala agar memenangi Dun ini.

Mereka akan berada di sana silih berganti, dengan belanja sendiri, makan minum sendiri, kenderaan sendiri dan mencari tenmpat tidur sendiri. Semuanya ini adalah manifestasi sebuah perjuangan untuk mempertahankan Islam dan rakyat.

Cikgu Normala akan berada di tengah gegak gempita kempen ini dan kita yakin beliau kenal ramai dengan rakyat pelbagai kaum di kawasan itu, justru kiranya ini memberikan peluang yang baik kepada beliau untuk mendapat sokongan.

Normala akan bertemu dengan para pengundi di tiga kawasan Felda di Tenang, yang kononnya selama ini menjadi kubu kuat Umno/ BN. Tanggapan ini biasalah, tetapi tidak mustahil pengundi Felda, khususnya generasi baru akan mengundi Normala.

Beliau juga akan menemui sebanyak-banyaknya pengundi kaum Cina dan India dan diharapkan pengundi ini akan memilih calon Pakatan Rakyat ini disebabkan pengundi bandar biasanya melihat faktor isu dan seumpamanya.

Walau apapun keputusannya nanti, Cikgu Normala telah tampil sebagai tokoh muslimat dan pemimpin masa depan PAS dan sudah tentu beliau akan meneruskan perjuangannya.

Kenyataan Media: KSSB Tidak Terlibat Dalam Pengeluaran Pasir Di Sungai Damansara

Kenyataan Media
17 Januari 2011


KSSB Tidak Terlibat Dalam Pengeluaran Pasir Di Sungai Damansara


Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) merujuk kepada beberapa laporan akhbar dan TV akhir-akhir ini berkaitan operasi mengorek pasir sungai di susur keluar Batu Tiga Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).

KSSB tidak terlibat langsung dalam kerja pengeluaran pasir di kawasan tersebut. Tinjauan KSSB menunjukkan bahawa kerja pengeluaran pasir sebenarnya melibatkan kerja pembaikan Sungai Damansara yang juga sebahagian dari Projek Rancangan Tebatan Banjir Koridor Raya Multimedia (MSC) di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Oleh itu, kontraktor yang menjalankan kerja pembaikan telah dilantik oleh JPS Malaysia dan bukan KSSB seperti yang didakwa dalam laporan akhbar dan TV.

KSSB hanya akan terlibat jika dipanggil untuk memindahkan longgokan pasir yang dikeluarkan oleh kontraktor yang menjalankan projek pembaikan tersebut.

Sementara itu, KSSB masih dalam proses mendapatkan nasihat dari peguam tentang kemungkinan pengambilan tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah membuat tuduhan palsu terhadap syarikat kami berkaitan isu ini.



Dikeluarkan oleh :

Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
KUMPULAN SEMESTA SDN BHD



Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI