Sunday, January 24, 2010

Buat perubahan untuk elak kemudaratan berterusan - Nasharudin

PADANG SERAI, 24 Jan: Timbalan Presiden PAS,Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyeru supaya masyarakat supaya segera membuat perubahan dalam negara sekiranya tidak mahu kesesatan dan kemunduran berterusan melanda negara ini.


Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah.

Menurut beliau, perubahan harus dan mesti berlaku dengan segera apabila rakyat menyedari bahawa mereka selama ini berada dalam kemunduran dan kesukaran hidup yang begitu parah, setelah kerajaan melaksanakan kaedah penjimatan yang menyusahkan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

"Kita tidak harus memberi sumbangan lagi kepada Umno dan Barisan Nasional. Caranya ialah jangan lagi memberi peluang kepada mereka untuk terus menerus mendapat kuasa untuk memerintah negara.

"Sehubungan itu perubahan harus dan mesti dilakukan dengan segera. Sekiranya perubahan ini tidak dilakukan maka kita sudah pasti akan berada dalam kesesatan dan kemunduran berterusan yang akan menjadikan kita sebagai mangsa kepada keadaan yang ada kini.

"Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mendapat kuasa untuk mentadbir negara maka hal dan hak yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah menjadi perjuangan utama kita.

"Oleh kerana itu bermula pada saat ini rakyat sudah harus membuat persediaan untuk mengorak langkah bagi mengubah kerajaan yang sedia ada supaya kemelesetan ekonomi dan kesukaran hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat kini dapat diperbaiki melalui pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh PR,"katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Siti Aishah Ghazali dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.

M JUSOFF TAIB: Salam kepada bukan Islam


DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”
“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan, (2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya. (3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.
Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.
Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

Kedah telah laksana 80% janji manifesto - Exco

PADANG SERAI, 24 Jan: Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya melaksanakan 80 peratus janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu walaupun belum mencapai tempoh pemerintahan negeri selama 24 bulan.Menurut Exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali, ini membuktikan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mampu untuk mentadbir dan mengurus selia negeri dengan baik dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau lagi pada tahun 2009 yang lalu bajet sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berkebajikan kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

"Kerajaan negeri juga telah menguntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain," katanya.

Malah, menurut beliau, dengan siapnya kampus baru di Kuala Ketil pada tahun 2012 yang akan datang universiti ini akan memberi peluang kepada 7 ribu pelajar untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran di situ.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas berkata, kerajaan yang dipimpin oleh PR adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan yang telah dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional apabila kebajikan dan kesejahteraan rakyat didahulukan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.


Media harian ganti Umno lawan Pakatan Rakyat

TANAH MERAH, 24 Jan: Umno mungkin agak bernasib baik apabila media harian nampaknya mengambil tempat parti itu untuk bertembung dengan Pakatan Rakyat.

Ketiadaan isu besar yang boleh dihamburkan kepada Pakatan Rakyat dan masalah dalaman Barisan Nasional (BN) yang tidak selesai menyebabkan Umno kehilangan daya juang.

Dan sekarang tugas menyerang Pakatan diambil alih media harian yang hampir kesemuanya proBN.

Banyak isu yang ditemui mereka di Kelantan. Dan minggu lepas isu cah keting diperbesar bagi memperlihatkan masalah berlaku dalam PAS, umpama retak menunggu belah.

Namun tanggapan media terbabit ternyata tersasar apabila gagal memahami luahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu tersebut.

“Sedangkan rakyat di negara ini tahu budaya cah keting begitu hebat sekali melanda Umno. Misalnya Pak Lah terpaksa berhenti awal kerana ada cah keting di belakang.

“Di Perak Umno merampas negeri tersebut daripada Pakatan Rakyat kerana ada elemen cah keting. Sedangkan situasi seperti itu jarang berlaku dalam PAS,” kata Menteri Besar pada ceramah di Markaz Tarbiah PAS Tanah Merah di sini, malam semalam.

Sebelum ini media harian cuba timbulkan isu cah keting seperti disebut Menteri Besar Kelantan itu, lalu dianggap ia berlaku dalam PAS.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, budaya cah keting berlaku di mana-mana, sejak ia dimulakan Qabil dan Habil sehingga berlaku bunuh membunuh kerana berebut perempuan.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang orang Melayu beragama Islam tidak akan mengerjakan solat pada masa akan datang kerana terpengaruh dengan budaya upah yang diajar Umno sejak zaman berzaman.

Katanya, tabiat tersebut sudah menjadi budaya dalam Umno di mana penyokong dan ahli parti itu hanya akan bekerja apabila ada upah.

“Jadi kita bimbang budaya ini akan terikut-ikut dalam ibadat pula, di mana mungkin pada masa akan datang ada orang tanya sembahyang boleh dapat apa.

“Ini kerana budaya upah sudah menular jauh ke dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Ceramah tersebut memperlihatkan minat rakyat Kelantan dalam politik tidak pernah surut apabila kehadiran mereka begitu sendat sekali.

Manakala di Kampung Laut, Tumpat malam tadi Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar berkata, Umno amat mengharap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperangkapkan dalam isu liwat oleh bekas pembantunya, Shamsul Bukhari.

Katanya, biar pun isu liwat sudah ditimbulkan pada 1998, dan sekarang ia diulang kembali.

“Dengan trend yang berlaku sekarang bermakna setiap 10 tahun sekali akan berlaku kes liwat membabitkan Anwar.

“Ini kerana isu tersebut sahaja cara yang ada pada Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat selepas cubaan menggugat dengan isu lain tidak berkesan,” katanya.

Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua AMK Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.


SIMFONI KASIH TAUTAN HATI