Monday, September 19, 2011

Nasib Pemandu Teksi Selangor & KL bakal terbela

KLANG : Keperitan hidup yang dialami pemandu-pemandu teksi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang terbeban sejak sekian lama akibat eksploitasi golongan yang tidak bertanggungjawab bakal menemui titik noktah apabila Pakatan Rakyat akan membawakan suara mereka ke parlimen bulan hadapan.

Lanjutan daripada Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada penghujung Julai lalu di Dewan Sivik MBPJ, hari ini mereka berkumpul dengan penuh semangat untuk memperjuang kebajikan mereka.

Menurut Exco Selangor, Ronnie Liu, parlimen adalah medium paling tepat untuk pemandu-pemandu teksi menyuarakan kegusaran dan segala masalah yang dihadapi mereka selama ini.

"Saya bercadang agar persatuan pemandu teksi di bawah penasihat dan pengerusinya untuk membuat satu memorandum lengkap dengan 10 resolusi ke parlimen agar ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat boleh membawa suara anda ke palimen,"kata Ronnie.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur di Berkeley Corner Restaurant, Klang hari ini.

Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada 31 Julai 2011 yang lalu di Dewan Sivik MBPJ adalah untuk mengenalpasti masalah-masalah yang sudah lama dihadapi oleh kebanyakan pemandu teksi di Malaysia serta sebarang eksploitasi terhadap mereka.

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri forum tersebut komited untuk membawa 10 resolusi penyelesaian masalah para pemandu teksi yang telahpun didrafkan oleh persatuan tersebut.

Antaranya adalah peruntukan PERKESO serta faedah Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk pemandu-pemandu teksi yang selama ini tidak pernah diusulkan, pengkajian semula perjanjian 'hire-purchase' serta isu pemberian permit teksi kepada pemandu-pemandu teksi dan bukan melalui syarikat teksi yang kebiasaannya akan memonopoli pemberian permit tersebut.

Anwar yang juga Penasihat PKR ketika menghadiri forum tersebut turut berkata, pemandu teksi merupakan suatu 'campaigning force' kerana mereka merupakan golongan yang kerap berinteraksi dengan masyarakat sejagat.

Mengulas lanjut, Ronnie turut berkata bahawa kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akan berjuang mendepani masalah kebajikan para pemandu teksi yang selama ini tidak terbela.

"Kita tidak boleh lakukan banyak perubahan kerana kita masih kerajaan negeri, tetapi sekiranya kami berjaya ke Putrajaya, semua ini akan terjawab dan tertunai"katanya sambil menerima tepukan para pemandu teksi yang hadir.

Sekurang-kurangnya 100 pemandu teksi turut hadir pada sidang media petang ini.

Hadir sama ialah Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan dan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, S. Manuharan.

Dalam perkembangan yang sama, Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan menggesa agar kerajaan pusat menghentikan sistem pemberian permit secara longgok kerana amalan tersebut menekan kehidupan pemandu-pemandu teksi sejak sekian lama.

"Saya ingin tekankan, bahawa pemberian permit secara longgok kepada syarikat-syarikat wajib diberhentikan serta merta oleh kerajaan, syarikat-syarikat ini bermaharajalela sedangkan ia memberi rasa tidak senang kepada para pemandu teksi,"ujar beliau.

Media difahamkan, amalan pemberian permit secara longgok, menguntungkan syarikat teksi yang hanya bertindak mengaut keuntungan sebagai orang tengah sedangkan pemandu teksi yang bertungkus lumus mencari rezeki terus hidup terbeban.

Senario ini jelas tergambar apabila sekurang-kurangnya 45 ribu pemandu teksi sekitar Selangor-Kuala Lumpur terpaksa membayar purata RM45 sehari untuk permit dan sewa kenderaan sedangkan mereka terpaksa menanggung sendiri risiko kesihatan, cuaca serta kos penyeleggaraan kenderaan sendiri.

"Kalau kita mahu tranformasikan negara, mahu melihat transfromasi masyarakat, kenapa kebajikan pemandu teksi terus terbiar, adakah salah buat kerajaan untuk melihat serius perkara ini?,"soal beliau.

Editor : khaulah Azwar

Najib Enggan mengaku Kesilapan-Pak Samad


KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mempersenda pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai "tidak mengakui kesilapan kerajaannya".

A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan perubahan demokrasi.

"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.

"Perdana Menteri pun dua tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat untuk menekan (rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan Annex, Central Market, dekat sini, semalam.

Pak Samad yang merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi tindakan Najib.

"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.

"Itu saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin, majoritinya golongan muda.

Seni senjata anak muda

Menyifatkan seni khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah, Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur, tetapi tentunya ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa dengan kedudukan mereka.

"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda, puisi menjadi senjata.Saya amat berbangga

"Saya sangat yakin hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap, maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya harap suara muda ini membenihkan suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang tua, salahkan diri anda sendiri.

"Saya mengharapkan anak muda tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi.

Kerajaan Selangor Sasar Golongan Belia Capai Pendapatan Minimum RM3,000 Sebulan

SHAH ALAM: Sebagai aset penting kepada negeri Selangor, kerajaan negeri menetapkan sasaran supaya golongan belia mencapai jumlah pendapatan RM 3,000 sebulan sebagai skala minimum untuk setiap keluarga di negeri ini keluar daripada paras kemiskinan.


Jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, golongan belia di Malaysia pada masa kini berada di zaman yang penuh dengan peluang dalam usaha meningkatkan produktiviti masing-masing berbanding dengan golongan belia di negara luar.

“Saya berharap pemilihan belia dengan kerja adalah berasaskan kepada keupayaan dan produktiviti mereka”.


“Saya mengharapkan setiap belia akhirnya akan mendapat ganjaran dan pendapatan yang melebihi. RM 3,000 sebagai satu target negeri Selangor untuk menentukan setiap keluarga di negeri ini tidak berada di bawah paras kemiskinan,” katanya.


Perkara ini diumumkan Abdul Khalid ketika ucapan perasmian Sambutan Hari Raya Bersama Belia Negeri Selangor bertempat di I-City Walk, Shah Alam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut, barisan kepimpinan kerajaan negeri, adun dan ahli parlimen serta warga kerja pelbagai jabatan negeri Selangor.

Hampir 20,000 orang belia hadir untuk merasai bersama kemeriahan Sambutan Hari Raya bersama Belia Negeri Selangor.

Menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Belia, kerajaan negeri melancarkan enam bidang utama bagi mewujudkan keseimbangan dalam usaha memenuhi keperluan dalam kalangan belia.

Enam bidang tersebut adalah kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan kesukanan.

Abdul Khalid menambah, belia merupakan nadi utama kepada mana-mana negara dalam usaha membawa perubahan dan kebangkitan revolusi seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Golongan belia juga turut diminta supaya memberikan pandangan dan teguran terhadap pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan sistem pemerintah yang sedia ada dapat diperbaiki demi kesejahteraan rakyat Selangor.

Dalam pada itu, golongan belia yang sudah berumur 21 tahun ke atas diingatkan supaya mendaftar sebagai pengundi dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara dalam memastikan sistem demokrasi negara dapat dilaksanakan.

Penganjuran ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Sukan Selangor dengan tujuan meraikan belia tempatan khasnya belia seluruh Negeri Selangor.

Sambutan Aidilfitri ini juga turut dimeriahkan dengan penyapaian sumbangan kepada 73 atlet negeri Selangor yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam arena sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komenwel, Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu.

Hadiah berbentuk moke-up cek diserahkan sendiri oleh Tan Sri Abdul Khalid yang bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Negeri Selangor.

Secara keseluruhan, atlet Sukan Komenwel mendapat insentif berjumlah RM 64,600, diikuti atlet Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan jumlah RM 97,000 dan pemenang piala AFF Suzuki 2010 dengan jumlah RM 30,000.

Editor : Khaulah Azwar

PAS beri jaminan tak akan tukar bendera


KUALA LUMPUR, 20 Sept: Menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan bahawa yang ingin digantikan Pakatan Rakyat (PR) ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Jalur Gemilang.

Beliau menyifatkan, Jalur Gemilang tiada salah dan berdosa sebagai bendera Malaysia.

“Tak ada salah dan dosa bendera Malaysia. Yang Pakatan Rakyat nak tukar ialah BN bukannya bendera,” tegas beliau dalam satu kenyataanya melalui sms kepada media.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menegaskan bahawa PAS tidak akan bersetuju dengan mana-mana cadangan untuk menukar bendera Malaysia.

“PAS bagi jaminan tak akan tukar bendera,” tegasnya lagi.

Adun DAP Kota Alam Shah, M Manoharan telah memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya dalam Twitter beliau baru-baru ini, di mana beliau menyatakan akan bertindak menukar design bendera Malaysia sekiranya menang.

Namun begitu, serangan Umno terhadap beliau masih bertali arus.

Semalam Tuan Ibrahim turut menegaskan tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

Disebabkan itu, katanya sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekehkan dan dipersendakan.

“Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun,” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru agar semua pimpinan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akan datang.

“Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik,” nasihat beliau.


Editor: khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI