KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak profesional
Kerajaan Pusat yang telah menggunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
untuk melakukan pertukaran penjawat awam khususnya di negeri Selangor
secara mengejut dan terburu-buru.
Terbaru adalah kes Datuk Zainal Abidin A’ala, Yang Dipertua Majlis
Perbandaran Selayang (MPS), yang telah diarahkan bertukar secara serta
merta ke Institut Tadbir Negara (Intan) bermula hari ini.
Sebelum ini kes pertukaran Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan Datuk Bandar Petaling Jaya juga mengalami situasi yang sama.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata
pihaknya berasa kesal dan mempersoalkan motif sebenar tindakan
pertukaran ini yang mana ianya dilakukan di dalam situasi yang cukup
mengejutkan dan terburu-buru serta tidak mendapat pandangan dan maklum
balas daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu.
“Isu pertukaran secara mengejut penjawat awam itu telah menjadi
tragedi hitam di dalam sejarah hubungan baik di antara kerajaan Negeri
Selangor dengan JPA,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, katanya tidak menolak kemungkinan
pertukaran itu adalah disebabkan oleh keberanian Datuk Zainal Abidin
mempertahankan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Negeri Selangor di dalam
isu kondominium di Batu Caves yang diluluskan oleh MPS pada tahun 2007
iaitu semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional di Selangor.
Turut berada di dalam mesyuarat yang meluluskan projek tersebut
adalah Timbalan Menteri Luar sekarang, Kohilan dan tiga orang ahli
Majlis daripada MIC.
Hasbullah merangkap Ahli Majlis MPS Zon 13 menambah lagi, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan yang
menyatakan bahawa tindakan JPA untuk melakukan pertukaran secara
mengejut ini adalah sebagai satu ancaman dan ugutan yang didalangi oleh
kerajaan pusat bagi memastikan penjawat-penjawat awam yang bekerja
secara jujur, amanah dan berintegriti tidak memberikan sokongan dan
dukungan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.
“Kerajaan pusat telah secara tidak langsung mengkhianati dan tidak
menghormati prinsip ‘Kerajaan Memerintah Masa Kini (Government Today)’,”
katanya lagi.
Oleh itu, ujar beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengajak
seluruh penjawat awam di seluruh negara supaya menolak budaya politik
ugut dan ancam yang dilakukan oleh kerajaan pusat dengan menolak mereka
daripada tampuk pemerintahan negara dengan undi protes terhadap Barisan
Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Tegasnya, Pakatan Rakyat tidak akan mengamalkan sebarang politik
balas dendam sekiranya diberikan peluang untuk memerintah negara ini
malah akan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada
penjawat-penjawat awam yang berdedikasi dan profesional di dalam
melakukan tugasan mereka.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga meminta kerajaan Negeri
Selangor supaya mengambil cakna terhadap perkara ini dan mengambail
langkah yang sewajarnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri supaya
ianya tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.