Friday, April 29, 2011

Allahuakbar' dan'kami mahu qazaf, bukan sumpah'

KUALA LUMPUR, 29 April: Ahli Perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah akhirnya melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul sebelum waktu Asar siang tadi.

Bagaimanapun hanya beliau seorang sahaja melafazkan kalimah sumpah itu walaupun uturut ditemani dua lagi rakannya iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

"A'uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillahirahma nirrahim. (Mengucap 3 kali). Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: A'uzubillahi minal syaitanirrajim, wallahi, wabillah, watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."

Majlis itu dilakukan dalam keadaan semua pintu ke ruang solat masjid itu ditutup dan dikawal ketat pihak polis.

Selepas selesai melakukan sumpah tersebut, Eskay, Rahim dan Shuib beredar dengan kawalan ketat pihak polis, melalui pintu belakang masjid.

Masjid kecoh, Eskay batal sumpah laknat

Terdahulu, majlis sumpah laknat yang dijadualkan selepas solat Jumaat tengahari tadi bertukar kecoh sehingga ianya terpaksa dibatalkan.

Kekecohan berlaku sejurus selesai imam membaca doa selepas solat Jumaat apabila kumpulan menyokong Eskay bersumpah laknat bertembung dengan kumpulan yang membantahnya yang diketuai Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Belum pun kelibat Eskay kelihatan, kedengaran laungan 'Allahuakbar' dan'kami mahu qazaf, bukan sumpah' bergema dalam masjid itu sejurus selesai berdoa.

Ekoran itu, semua hadirin yang baru sahaja keluar, masuk semula melihat apa yang berlaku sehingga ruang solat utama penuh sesak.

Kekecohan yang berlaku diruang solat uatama masjid itu berlarutan hampir 45 minit dengan pelbagai aksi tolak menolak dan berbalas laungan.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayaai penyokong trio Datuk T ditarik dan dihalau keluar dari ruang solat selepas berlaku pertengkaran dengan kata-kata kesat sebelumnya.

Selain Shamsul, beberapa pimpinan AMK lain juga turut kelihatan mengedarkan buku bertajuk Qazaf yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kepada hadirin.

Lebih memanaskan keadaan apabila mereka mendakwa ternampak pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berada di sebelah mimbar.

Che Mat kemudian kelihatan keluar melalui pintu di belakang mimbar tetapi terdapat seorang penyokong PKR yang cuba mengejarnya untuk menyerah buku Qazaf itu.

Dalam kekecohan itu juga, penyokong Pakatan Rakyat sempat mengadakan solat hajat dan berdoa beramai-ramai memohon pemfitnah diberi pembalasan.

Memandangkan keadaan kecoh tersebut, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin naik ke atas mimbar untuk menenangkan keadaan.

Beliau meminta semua orang keluar dari masjid bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Abdul Razak berkata, beliau dimaklumkan Eskay tidak hadir dan upacara sumpah laknat itu telah dibatalkan.

Bagaimanapun terdapat sumber yang mendakwa Eskay akan menunaikan solat Asar di masjid itu nanti.


Jangan permainkan sumpah laknat


KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.


PELANCARAN KAMA untuk Atasi Gejala Sosial


Klang - Baru –baru ini Y.B Dr Hjh Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan telah melancarkan Kelas Agama Menengah Arab (KAMA)di Masjid Nurul Amin, Kg Delek Baru.

Media difahamkan Kelas pertama (KAMA) merupakan projek perintis terbaru yang telah bermula secara rasmi pada 14 Feb 2011 dengan permulaan pelajar seramai 18 orang. Sehingga kini seramai 38 orang pelajar telah mendaftar dan bergelar pelajar pertama projek di bawah exco pendidikan Negeri Selangor. Dalam ucapan perasmiannya, “ (KAMA) adalah merupakan satu Program inisiatif Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Tujuan kita wujudkan (KAMA) adalah kerana apabila melihat kekurangan jumlah Sekolah Menengah Agama di Negeri Selangor, sedangkan jumlah permintaan untuk masuk ke sekolah seperti itu mendapat sambutan hangat mutakhir ini”.

“Justeru itu, terhasillah idea menghasilkan (KAMA) dan dalam masa yang sama mengekang gejala sosial yang semakin berleluasa menular di kalangan remaja disebabkan kurangnya ilmu agama”, katanya.

(KAMA) merupakan produk baru Kerajaan Negeri Selangor yang dipantau oleh MAPPIS (Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor) dan diurus tadbir oleh pihak pengurusan masjid tersebut. (KAMA) terbuka untuk pelajar tingkatan satu dan dua sahaja dan rata-rata pelajar yang terlibat dari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan.

Kelas KAMA bermula selama lima hari seminggu, dua jam sehari bermula pukul 8.00pagi sehingga 10.00pagi. Pelajar-pelajar yang mengikuti KAMA akan diberi latihan untuk menggunakan setengah jam pertama untuk mengerjakan solat sunat dhuha. Tiga bulan pertama, pelajar diajar dengan asas bahasa arab dan diikuti dengan mata pelajaran lain mengikut sukatan mata pelajaran Jabatan Agama Islam (JAIS).



Editor : khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI