Thursday, October 31, 2013

Sg Limau: PAS letak minimum majoriti 500

imag0854 aJERAI: PAS menjangkakan mampu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau yang dijadual 4 November ini dengan meletakkan minumum majoriti sebanyak 500 undi.

Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran itu mengambil rujukan keputusan yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan ketika kali pertama bertanding di Dun itu lima penggal lalu.

Ketika itu katanya, Allahyarham menang sekitar majoriti tersebut dan calon PAS kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samad juga diletakkan kayu aras yang sama.

"Kita jangka majoriti lantai tidak akan kurang daripada 500 undi seperti kali pertama Allahyarham Ustaz Azizan bertanding dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keyakinan semasa PAS terhadap PRK kali ini pada sidang media di Markas Induk PAS di Sungai Limau hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan pengudi di sini yang akan membuat pilihan tepat pada 4 November ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu terlalu yakin kerana tempoh berkempen masih berbaki beberapa hari dan banyak perkara lagi yang harus dilakukan.

Beliau turut ditanya keadaan di mana jentera BN di dakwa telah berjaya masuk ke beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat PAS selama ini.

"Kita tidak terlalu gusar, kita yakin dengan pengundi.

"Kita amal demokrasi, politik damai, dan kita tidak halang pihak lawan nak masuk kempen ke mana sahaja mereka mahu," katanya.

Dun Angkat

Ditanya berhubung cadangan agar Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjadikan Sungai Limau sebagai Dun angkat jika menang, Mahfuz berkata rakyat boleh menilai perkara itu.

"Kalau Datuk Mukhriz ikhlas, tak perlu tunggu menang pilihan raya, sepatutnya dia dah ambil Dun Sungai Limau ini sebagai Dun angkat sewaktu Allahyarham Ustaz Azizan sakit lagi.

"Jadi kenapa baru sekarang, bila ada pilihan raya kecil, baru perkara ini ditimbulkan," soalnya.
Siapa bertanding

Dalam pada itu, Mahfuz turut persoal siapakah sebenarnya calon BN yang bertanding ekoran wujud beberapa kain rentang yang boleh mengelirukan.

Beliau merujuk kepada kain rentang serta poster yang meletakkan gambar Mukhriz dengan tulisan 
"N20 PRK Sungai Limau" iaitu seolah-olah Menteri Besar itu yang bertanding.

"Biasa kita letak gambar pemimpin lain sebelah calon ke, atau letak undilah BN ke. Ni macam dia yang kadi calon. Ini boleh mengelirukan.

"Saya minta SPR jelaskan adakah perkara ini dibenarkan," katanya.

Pro-M Kekal Penguasaan di UIA

KUALA LUMPUR 31 OKT : Pro-Mahasiswa (PRO-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempertahankan kemenangan Pilihan Raya Kampus (PRK) 2013-2014 apabila menewaskan Pro-Aspirasi (ASPIRASI) dengan memperoleh 22 kerusi daripada 25 kerusi dipertandingkan.

Kemenangan itu diumumkan Pengerusi Pro-M, Muhammad Najib Abdurrahim menerusi satu kenyataan media.

Katanya, walaupun Pro-M berjaya mengekalkan kemenangan itu, namun terpaksa berhadapan kemerosotan undi di beberapa kuliah yang  memberikan tamparan hebat kepada mereka.

“Kami berjaya memenangi kerusi di kawasan panas iaitu di kuliah undang-undang. Kami mengucapkan tahniah dan takziah kepada semua calon yang memenangi PRK kali ini.

“Tidak lupa ucapan terima kasih ditujukan kepada semua pihak, khususnya pengundi dan tenaga jentera yang bertungkus-lumus berkempen demi memberi kemenangan kepada calon kami,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak akan mendiamkan isu berbangkit sepanjang perjalanan PRK dan akan mengumpulkan bukti untuk dibawa ke peringkat tertinggi supaya diberi perhatian serius.

PRK kali ini memperlihatkan 25 buah kerusi kuliah dipertandingkan di Kampus Gombak dan Kuantan yang menyaksikan PRO-M masih berjaya mengekalkan kemenangan walaupun gagal memenangi semua kerusi, seperti PRK 2012-2013.

Proses pengundian bermula sejak jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang dengan peratusan sebanyak 62.68% mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi, manakala keputusan rasmi PRK diumumkan jam 9.30 malam di tempat penjumlahan undi universiti itu. 

Wednesday, October 30, 2013

Exco Agama Saran Ibubapa Pastikan Anak Ikuti Kem Smart Solat

Gombak : Sempena cuti sekolah yang akan bermula November ini, Kelas Tuisyen Latih Tubi Sujek Kritikal (LASAK) dengan kerjasama Sekolah Seri Al Huda, Exco Hal Ehwal Agama, Sallehen Mukhyi, ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzuan, Badan-badan Kerajaan dan NGO, Masjid, Surau dan Ketua-ketua Kampung bakal mengadakan Kem Smart Solat (1) pada 22 sehingga 24 November, 2013. 


Pengarah Program Kem Smart Solat, Khaulah Azwar berkata, program yang dirancang pada September, 2013 adalah bertujuan untuk membantu memperbaiki ibadah pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah lagi.

Insya-Allah program yang berjalan selama 3 hari 2 malam di Kem Alang Sedayu akan memberi perkongsian ilmu kepada pelajar antaranya untuk memperbaiki mutu solat pelajar, menerangkan konsep ibadah yang sebenar; untuk mempertingkatkan jati diri, belajar hidup berdikari,  memantapkan rohani dan jasmani pelajar; mendedah teknik penghayatan bacaan di dalam solat .   Selain itu pelajar juga akan diberi teknik membuat hafazan Al-Quran, mengambil air wudhu dengan cara yang betul, mandi hadas besar dan berbagai lagi.


Menurut Khaulah sepanjang kem diadakan pelajar bukan sahaja di dedahkan cara memperbaiki mutu solat tetapi berbagai aktiviti tahan lasak diadakan antaranya Jungle tracking, Night walking, Flying fox , Ikhtiar hidup, Repelling, Rempuh halangan, memanah, paintball dan sebagainya. Namun sekiranya pelajar ada masalah kesihatan kita sediakan slot lain.

Khaulah yang juga merangkap Jawatankuasa Pembangunan SERI AL Huda menambah lagi, tergerak hati untuk adakan Kem Smart Solat untuk pelajar sekolah rendah adalah satu tanggungjawab untuk membantu ibubapa penjaga yang tidak berkesempatan untuk menyemak dan memperbaiki solat anak-anak. Setiap kali melihat pelajar sekolah rendah saya akan terbayang anak-anak yang kecil ini merupakan kain putih yang perlu perhatian dan bimbingan agama.


Perkara pertama yang akan disoal Allah SWT adalah Solat. Jika solat, mandi hadas tidak betul maka ibadah lain yang dilakukan tidak akan diterima Allah. Maka di peringkat usia dari kecil inilah kita harus membetulkan ibadah anak-anak, katanya.


Jelasnya lagi, semenjak promosi Kem ini diadakan ramai ibubapa penjaga yang hubungi mengatakan Kem Smart Solat memang perlu diadakan di peringkat sekolah rendah kerana pendedahan ilmu yang melbatkan fardhu ain perlu dari kecil lagi. Mereka tidak menafikan kesibukan ibubapa penjaga kerana kerja dan tidak ada waktu untuk menyemak bacaan solat anak, doa iftitah, doa qunut  dan lain-lain yang bersangkut paut dengan solat menjadi ibadah anak-anak tunggang langgang walaupun ibubapa sudah hantar anak-anak ke sekolah agama. Tetapi apabila ibubapa menyemak ibadah anak-anak menjadi satu kekecewaan kerana masih banyak perlu diperbaiki.


Justeru dengan usaha kecil ini saya dan teman-teman yang  telah lama terlibat dalam  kem motivasi pelajar  selama 12 tahun bersama pakar-pakar motivasi seperti Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Amin Idris, Ustaz Zamri (Mari Mengaji), dan beberapa penceramah Motivasi terkenal banyak memberi pengalaman kepada saya untuk membantu pelajar-pelajar  lain. Apa yang saya lihat ramai  pelajar yang telah ikuti kem – kem yang kami anjurkan selama ini tidak hanya ikut satu kem tetapi jika peluang kem lain diadakan mereka tidak ketinggalan untuk ikuti kem lain. Kepercayaan ibubapa dengan kem yang kami anjurkan telah dibuktikan apabila ramai pelajar yang kami lahirkan menjadi remaja muslim yang beribawa seperti yang di tuntut dalam Islam iaitu mesti menjadi mukmin yang berjaya dunia akhirat dan disegani dan akhirnya memberi infaq besar kepada masyarakat luar.

Antara Kem yang pernah diadakan seperti Kem Anak Solih, Kem Kelab Remaja Islam Selangor (KRIS), Kem Belia , Kem Anak Pintar, Kem Sayangi diri sayangi keluarga, Kem Remaja Islam Hebat, Kem Solat Memang Best dan banyak lagi.  

Jelasnya lagi, apa yang kita lihat ramai peserta yang telah ikuti Kem kami alhamdulilah walaupun bekerja duduk di perantauan namun mereka masih berhubung dengan kami. Akhlak mereka terjaga. Bahkan adik-adik ini juga sedia berkhidmat dengan kami untuk menjadi fasilitator setiap kali kem diadakan. Inilah produk-produk yang bermutu mampu kami lahirkan sebagai pelapis kami akan datang. Kemesraan antara peserta, jurulatih, penceramah  sangat kuat seperti saudara kandung sendiri.

Disini juga pelajar diajar agar menyayangi rakan sebaya, menghormati guru-guru dan orang yang lebih tua. Mereka diberi kesedaran betapa pentingnya hidup ini dengan berlandaskan konsep islam yang sebenarnya. Hidup untuk memberi yang terbaik kepada keluarga dan masyarakat. Apabila asas imannya kuat insya-Allah mereka tahu menghargai diri mereka serta keluarga dan jauh dari terjebak aktiviti kurang sihat seperti rempit, pergaulan rambang dan sebagainya yang sekaligus membimbangkan ibubapa dan masyarakat luar. Ibubapa yang ingin maklumat lanjut hubungi 013-6893185, 017-2436875, 013-3237743, 019-7547574, 013-2783695,  ujarnya selepas mesyuarat Kem Smart Solat di  Universiti Islam Antarabangsa (UIA), semalam.



Sementara itu, Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi pula berkata program Kem Smart Solat yang dianjurkan Kelas Tuisyen LASAK pada musim cuti sekolah merupakan satu insatif yang amat baik untuk semua pelajar ikuti. Ibubapa penjaga sewajarnya mengambil peluang ini dengan memastikan anak-anak ikuti progam ilmiah seperti ini. Jangan biarkan cuti anak-anak selama hampir dua bulan tidak diisi dengan sebaiknya. Perancangan balik kampung dan lain-lain boleh di kemudian. Kita yang merancang jadual keluarga maka sewajarnya ibubapa memastikan jadual pada 22-24 November diisi untuk anak-anak menuntut ilmu fardhu ain wajib setiap insan menuntutnya.

“ Bagi saya progam ini bukan sahaja perlu diadakan untuk pelajar sekolah rendah tetapi perlu diberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah juga. Jika boleh ibubapa juga perlu ikuti kem ibadah membetulkan solat kita yang saya rasa memang banyak perlu kita baiki dan pelajari.  Saya percaya ramai antara kita tidak kira umur yang masih tidak menjaga solatnya. Baik pelajar sekolah rendah, sekolah menengan, IPT tetapi peringkat usia warga emas juga”.

Ramai diantara kita yang terleka dengan kesibukan urusan dunia mereka tidak mencari peluang dan adakan masa untuk menuntut ilmu fardhu ain dan ilmu kifayah. Sedangkan apabila kita sudah meninggal perkara pertama yang akan Allah SWT tanya adalah solat. Kesibukan kerja kadangkala solat pun buat “part time”, kadangkala solat, kadangkala tidak solat. Solat dibuat main-main. Sudah tidak nampak pintu masjid dan surau, ujarnya.

Menurut Sallehen, Solat adalah tiang agama. Jika tiang agama tidak dijaga akan runtuhlah agama. Allah SWT tidak tanya amal jariah kita, sedekah kita, ibadah lain tetapi yang pertama ditanya adalah solat. 



Tambahnya, Jika solat tidak di lakukan kita adalah manusia paling rugi. Kenapa? Sebab dengan solat kita adalah insan yang bersyukur kepada Allah kerana dahi ini mencecah ke tikar sejadah, dengan solat kita mendoakan ibubapa, keluarga, memohon kebaikan dunia akhirat. Dengan solat hidup kita rasa hidup bertuhankan satu. Tetapi apabila solat tidak dilakukan jiwa kita kacau, hati sering memberontak, kita tidak tahu dosa dan pahala, kita akan terus menerus membuat dosa kerana iman dihati tidak ada.

Justeru saya menyeru agar semua rakyat Malaysia terutamanya di negeri Selangor merebut peluang untuk memastikan anak-anak mengikuti Kem Smart Solat pada 22 – 24 November ini. Saya difahamkan oleh penganjur program ini mendapat sambutan dari Sabah dan Sarawak. Ini bermakna masyarakat luar di Sabah dan Sarawak yang duduk jauh juga sanggup hantar anak-anak mengikuti kem ibadah. Jadi mengapa kita di Selangor, Kuala Lumpur tidak,  soalnya yang merangkap ADUN Sabak.

Monday, October 28, 2013

Adakah MyKad palsu ada kaitan PRU13?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah kerajaan mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil tindakan segera memastikan semua pengawal keselamatan di lebih 600 syarikat kawalan keselamatan mengesahkan MyKad pengawal keselamatan masing-masing.

Ia berikutan kes pembunuhan seorang pengurus bank di ibu negara yang dilakukan oleh seorang pengawal bank yang menggunakan kad pengenalan palsu.

“Lebih dari itu, DPPM mendesak supaya kesemua syarikat keselamatan di negara ini mengesahkan pekerja mereka dengan mengenalpasti latar belakang, rekod perkhidmatan sebelum ini, keluarga dan lain-lain,” ujar ketua Penerangan DPPM, Dr Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut adalah kenyataan beliau.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah kerajaan mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil tindakan segera memastikan semua pengawal keselamatan di lebih 600 syarikat kawalan keselamatan mengesahkan MyKad pengawal keselamatan masing-masing.

Ia berikutan kes pembunuhan seorang pengurus bank di ibu negara yang dilakukan oleh seorang pengawal bank yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Lebih dari itu, DPPM mendesak supaya kesemua syarikat keselamatan di negara ini mengesahkan pekerja mereka dengan mengenalpasti latar belakang, rekod perkhidmatan sebelum ini, keluarga dan lain-lain.

DPPM tidak boleh menerima mana-mana syarikat menerima pekerja secara ‘tangkap muat’ tanpa diketahui rekod dan latar belakang pekerjanya sehingga pekerja mereka melakukan jenayah di luar pengetahuan majikannya.

DPPM menganggap kejadian jenayah terbabit amat serius dan memerlukan siasatan rapi. Suspek perlu ditangkap segera bagi mengelakkan kejadian jenayah lain yang lebih serius berlaku di tempat lain.

Namun begitu, DPPM menganggap pemilikan kad pengenalan palsu oleh suspek lebih serius dari jenayah yang dilakukannya.

DPPM merasa kesal bagaimana syarikat terbabit tidak boleh mengenalpasti kesahihan kad pengenalan suspek terlebih awal sebelum diambil bekerja.

Kejadian jenayah yang dilakukan oleh suspek membuka maklumat bahawa ada segelintir rakyat Malaysia memiliki MyKad palsu dan merasa bebas melakukan jenayah kerana rekod mereka tidak diketahui atau dikenalpasti.

Ini juga menandakan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu sudah beroperasi dan berleluasa di negara ini.

Mungkinkah terdapat ramai lagi golongan penjenayah berlegar-legar dalam negara ini dengan memiliki MyKad palsu seperti suspek?

Apakah ini juga menandakan terdapatnya sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu bertujuan untuk gerak kerja pilihanraya umum ke 13 tempoh hari?

Persoalan ini perlu disiasat dengan menyeluruh dan JPN perlu bertanggungjawab sekiranya perkara tersebut ada kaitannya.

DPPM mendesak supaya sindiket pengeluaran Mykad palsu segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Ia tidak boleh dibiarkan kerana ia faktor penyumbang jenayah berlaku di negara ini.

Akhirnya, DPPM juga mendesak kerajaan melakukan operasi menjejak pemilik Mykad palsu secara bersepadu dan menyeluruh.

Ia melibatkan semua agensi dan pasukan keselamatan dan beroperasi di seluruh negara.

Biar kerajaan dan rakyat berpenat membanteras sindiket ini daripada membiarkan penjenayah bermaharajalela melakukan aksi jenayah mereka tanpa dikesan identiti mereka kerana menggunakan Mykad palsu.

Selangor wujud tabung Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan


Tuesday, October 22, 2013

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

SHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katany.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

Pejabat Baru PKM DUN Batu Caves Berhampiran Belakang Masjid Jamek Taman Amaniah

Taman Amaniah : Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Caves telah mula operasi sepenuhnya bulan Oktober, 2013 berhampiran belakang Masjid Jamek Taman Amaniah, bersebelahan Pasaraya Speedmat 99, Taman Amaniah Mulia,  kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari .
1380465_523946221030655_612317440_n
Beliau berkata, perpindahan pejabat PKM DUN Batu Caves adalah untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang hadir terutamanya golongan warga emas , OKU yang sukar untuk naik tangga untuk berurusan di pejabat lamanya. 

Menurut Amiruddin Pejabat baru ini pada mulanya adalah Dewan Masyarakat  yang di jaga oleh  Persatuan Penduduk Taman Amaniah dan atas persetujuan bersama pengerusi Persatuan Penduduk Tn Hj Ahmad Hasnan  dan hasil perbincangan antara beliau dan pihak PKM DUN Batu Caves, maka beliau telah bersetuju menyerahkan Dewan ini kepada  pihak DUN untuk  dijadikan sebagai Pusat Khidmat Masyarakat demi kebaikan kepada masyarakat yang uzur terutamanya agar mudah berurusan tanpa menaiki tangga lagi.   

“Justeru saya harap dengan permindahan kami di kawasan baru ini rakyat sudi hadir untuk terus berurusan dengan kami. Waktu operasi Isnin- Khamis 9 pagi -5 petang. Waktu Rehat 1 tengahari – 2 petang,  Jumaat 9 pagi-12.30 tengahari. Waktu Rehat  Jumaat 12.30 tengahari -2.30 petang dan akan berakhir waktu operasi 5 petang. Sabtu –Ahad cuti, katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Korban Taman Jasa Utama  baru-baru ini.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI