Thursday, October 31, 2013

Pro-M Kekal Penguasaan di UIA

KUALA LUMPUR 31 OKT : Pro-Mahasiswa (PRO-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempertahankan kemenangan Pilihan Raya Kampus (PRK) 2013-2014 apabila menewaskan Pro-Aspirasi (ASPIRASI) dengan memperoleh 22 kerusi daripada 25 kerusi dipertandingkan.

Kemenangan itu diumumkan Pengerusi Pro-M, Muhammad Najib Abdurrahim menerusi satu kenyataan media.

Katanya, walaupun Pro-M berjaya mengekalkan kemenangan itu, namun terpaksa berhadapan kemerosotan undi di beberapa kuliah yang  memberikan tamparan hebat kepada mereka.

“Kami berjaya memenangi kerusi di kawasan panas iaitu di kuliah undang-undang. Kami mengucapkan tahniah dan takziah kepada semua calon yang memenangi PRK kali ini.

“Tidak lupa ucapan terima kasih ditujukan kepada semua pihak, khususnya pengundi dan tenaga jentera yang bertungkus-lumus berkempen demi memberi kemenangan kepada calon kami,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak akan mendiamkan isu berbangkit sepanjang perjalanan PRK dan akan mengumpulkan bukti untuk dibawa ke peringkat tertinggi supaya diberi perhatian serius.

PRK kali ini memperlihatkan 25 buah kerusi kuliah dipertandingkan di Kampus Gombak dan Kuantan yang menyaksikan PRO-M masih berjaya mengekalkan kemenangan walaupun gagal memenangi semua kerusi, seperti PRK 2012-2013.

Proses pengundian bermula sejak jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang dengan peratusan sebanyak 62.68% mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi, manakala keputusan rasmi PRK diumumkan jam 9.30 malam di tempat penjumlahan undi universiti itu. 

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI