Wednesday, May 18, 2011

Penduduk Rawang Idaman Kesal rumah idaman tidak dapat diduduki



Rawang - Bagaikan satu penyeksaan kepada semua pemilik rumah pangsapuri di Rawang Idaman apabila masih menanti pemberian kunci rumah dan CF untuk memasuki rumah yang mereka impikan. Tahun berganti tahun tanpa disedari sudah 5thn berlalu rumah impian tidak juga dapat diduduki.

Bagaikan satu penyesalan kepada semua pembeli apabila begitu sukar untuk mendapat kerjasama daripada pihak pemaju Swis Resources Development Sdn Bhd dibawah pengurusan projek perumahan Kerajaan Pusat Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom.

Jawahir Mohd Mokhtar 27 thn, ketika di temubual oleh media di lokasi kawasan perumahan Rawang Indah semalam berkata "walaupun pemaju telah berjanji dengan semua pemilik dan telah memberi jaminan masalah ini akan diatasi dengan segera tetapi sehingga hari ini kami tidak mendapat kunci rumah. Rumah tersebut juga masih belum mempunyai CF".

Kami tidak faham mengapa mereka cuba melepaskan tanggungjawab kepada penduduk yang telah membeli rumah pangsapuri disini. Rata-rata pembeli rumah ini adalah berpendapatan taraf miskin bandar antara RM1500 kebawah. Dengan penangguhan pemberian kunci kepada penduduk menyukarkan keadaan kami untuk menyewa rumah lain.

Katanya, "sebanyak 40 buah unit rumah ini akan menampung jumlah penduduk lebih kurang 500 penduduk. Kami sepatutnya akan memasuki rumah ini pada awal bulan Januari, 2011 tetapi sehingga hari ini semua pemilik rumah tidak mendapat kunci lagi".

"Sudah 5 thn berlalu, kami menunggu jawapan pemaju. Ibarat bulan jatuh ke riba. Boleh dikatakan setiap kali kami ingin berurusan dengan pihak pemaju bertemu dengan pegawai berkenaan (En. Azman), pihak pemaju menyatakan beliau tiada di pejabat. Puas kami cuba hubungi beliau tetapi panggilan tidak dijawab. Kami rasa teraniaya.

Berbagai alasan mereka berikan kepada kami antaranya pihak pemaju perlu sediakan lot parkir sebanyak 17 atas permintaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Walaupun pemaju telah sediakan lebih 20 lot parkir.

Bagi kami masalah 17 lot parkir yang masih tidak disiapkan bukan menjadi masalah kepada kami, ia boleh diselesaikan kemudian tetapi yang lebih penting adalah rumah untuk kami berteduh. Apa yang kami lihat bekalan elektrik dan bekalan air sudah ada dan rasa tiada masalah lagi.

Kami amat berharap pihak pemaju dan pihak pengurusan YBK dapat mengambil tindakan segera. Kami benar-benar tidak mampu untuk membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan manakala pembayaran di Bank pula dengan jumlah RM378 sebulan. Kos ini benar-benar memberi bebanan kepada kami lebih-lebih lagi pendapatan kami adalah taraf miskin bandar.

Kata Jawahir lagi, "terdahulu semasa menunggu rumah ini siap saya menyewa di Cheras dengan kos yang sangat tinggi. Apabila saya sering berhubung dengan pihak pemaju menceritakan masalah kewangan saya yang rasa sudah tidak mampu lagi menyewa di sini mereka memberitahu rumah ini sudah siap dan boleh pindah. Kami rasa gembira ketika itu apabila mereka menyatakan sedemikian. Tetapi menjadi satu kekecewaan apabila kami sampai kerumah tersebut dilihat rumah impian masih tidak boleh diduduki lagi".

Setiap kali saya ingin berurusan dengan kerani pemaju Cik Fiza, beliau cuba melarikan diri daripada saya dan penduduk yang ingin mahukan penjelasan.

Dengan masalah yang dihadapi, saya terpaksa mencari rumah sewa lain di Rawang dengan mengambil masa seminggu. Nasib baik kakak saya duduk di Rawang boleh kami menumpang seketika kalau tidak keadaan lebih menyulitkan kami.

Selain daripada itu, setelah saya berpindah daripada Cheras, persekolahan anak saya juga tertangguh. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya dan suami tetapi anak-anak saya yang kena berpindah sekolah di tempat lain. Kemasukan anak ke Sekolah di Rawang terpaksa di tangguhkan dahulu kerana tiada tempat kekosongan pelajar. Saya benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.

Menurutnya lagi, projek perumahan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom ini benar-benar menyeksa rakyat. Walaupun mereka menyatakan untuk membasmi kemiskinan untuk membantu rakyat tetapi ianya ibarat seperti mencekik darah dan tidak sedikit memberi keuntungan kepada pembeli.

Bayangkanlah rumah dengan ukuran 808 SQFT 1:10 dengan jumlah RM45 ribu sehingga RM95 ribu mempunyai 2 buah bilik sahaja. Di dalam " Sale Purcahse Agreement (SPA)" juga ada menyatakan kawasan ini mempunyai taman permainan, surau di dalam kawasan perumahan tetapi, apabila kami datang ke lokasi perumahan dengan membuat penyemakan plan rumah yang diberi tidak seperti dinyatakan".

Taman permainan kanak-kanak dan surau diluar kawasan perumahan yang telah dipagar. Pagar, bumbung rumah berkenaan sudah banyak rosak dan tercabut.

Begitu juga Struktur pembinaan rumah yang didapati banyak mengalami keretakan. Seandainya rumah ini dapat dimiliki sudah pasti kami terpaksa membaiki kerosakan yang dialami. Ini memerlukan kos yang lebih tinggi lagi.

Baru-baru ini suami (Azian Bin Panot, 34thn) telah pergi ke MPS untuk mencari jalan penyelesaian tetapi MPS memaklumkan pihak mereka tidak boleh membuat tindakan lagi memandangkan pemaju tidak menyiapkan 17 lot parkir. Sekiranya lot tersebut sudah selesai baru MPS akan mengeluarkan CF.

Keadaan ini benar-benar menyusahkan kami. Segala masalah ini sepatutnya pemaju yang perlu selesaikan segera sebab pembayaran sudah kami buat. Bukan melepaskan tangan, katanya dengan penuh kesal.

Harapan kami sebagai penduduk yang telah teraniaya mohon agar pihak pemaju dan YBK selesaikan isu ini secepatnya.

Sementara itu pula Nik Azmi B. Awang, Timbalan Pengerusi JKP Zon 16 Rawang berkata, "Kami mendesak pihak Pemaju dan YBK dibawah pengurusan Datuk Zainal Abidin Sakom agar atasi isu ini secepatnya, mereka tidak seharusnya mendiamkan diri".

"Penduduk sudah membuat pembayaran. Kita kena ikut perjanjian dalam "agreement" yang telah ditetapkan dimana Kemasukan rumah akan bermula bulan Januari, 2011. Dengan penagguhan ini telah memberi bebanan kepada penduduk untuk membayar sewa rumah dan pembayaran di Bank juga. Jika masalah ini tidak dapat diatasi dengan baik, kami tidak teragak-agak untuk membuat surat tindakan selanjutnya dengan memohon bantuan kepada Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan isu ini sebaiknya".

Kita yakin MB Selangor mampu selesaikan isu ini kerana banyak masalah rakyat yang mengalami masalah membeli rumah telah diselesaikan dengan baik. Baru-baru ini Isu perumahan Bukit Botak merupakan isu kritikal dimana rakyat ramai yang tahu selama pemerintahan UMNO/BN masalah rumah di Bukti Botak tidak dapat diselesaikan, tetapi alhamdulilah 3 thn lebih PR memerintah isu Bukit Botak berjaya diatasi.

Insya-allah saya akan membawa kes ini kepada MB Selangor membantu meringankan bebanan penduduk yang teraniaya oleh pihak Pemaju dan YBK yang sering mencari kesalahan pentadbiran Kerajaan PR Selangor , katanya.



Editor : khaulah azwar

GPMS Lancar Kempen Tak Kenal Maka Tak Cinta


Gombak - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah melancarkan program ilham~ppsmi bermula bulan Mei 2011 di peringkat Sekolah Daerah Gombak.

Misi program kali ini adalah bagi membentuk minda belia Melayu Islam supaya mereka lebih terbuka hatinya untuk memilih Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW sebagai Mentor, menjadi tauladan dan ikutan dalam segenap kehidupan dan bukannya memilih contoh yang tidak sepatutnya menjadi tauladan.

Pegawai Khas Presiden Setiausaha GPMS, Ridzuan Razali ketika ditemui di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Gombak Utara baru-baru ini dalam Majlis Penyerahan Poster Junjungan Besar Nabi Muhamad saw kepada pelajar berkata”GPMS merasakan satu tanggungjawab untuk melihat generasi Melayu Islam masa kini mengenali siapakah dia insan yang bernama Muhammad SAW serta insan-insan yang rapat dan berkait dengan baginda”.

Sangat sedih apabila mendapati, pelajar, belia mahupun yang sudah dewasa tidak mengenali secara khusus siapakah Rasulullah SAW serta latar belakang baginda. Hasil tinjauan mendapati, apabila ditanyakan kepada kebanyakan belia Melayu Islam dengan soalan yang sangat asas dan mudah seperti siapakah nama ibu Rasulullah SAW, mereka tidak dapat menjawabnya. Situasi begini sangat menyedihkan. Oleh itu, GPMS melalui program ILHAM merasakan belia Melayu Islam ini perlu didekatkan dengan perkara-perkara asas seperti itu, ujarnya.


”Alhamdulilah kempen yang dianjurkan oleh GPMS telah mendapat kerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pusat Zakat Selangor (PZS)”


Ujarnya, motif memilih Poster sebagai Medium Penyampai ILMU kerana “Kajian mendapati bahawa, otak manusia lebih mudah untuk menerima maklumat dalam putih sahaja. Oleh itu, lakaran berbentuk poster dibuat bagi memudahkan golongan sasar untuk menerima, memahami dan juga menghafal setiap maklumat yang diberikan.

Selain itu, poster juga sifatnya boleh ditampal pada dinding dengan tujuan supaya ia sentiasa berada pada pandangan tanpa perlu menyimpannya seperti buku setelah ia selesai dibaca. Dengan cara itu, poster ini akan sentiasa tersedia untuk dirujuk.


Poster tersebut akan diedarkan dengan 4 cara iaitu Poster ini akan diserahkan kepada 86 buah sekolah yang terdapat di dalam Daerah Gombak. Pihak sekolah hendaklah menampal poster-poster yang telah diberikan secara PERCUMA itu di setiap bilik darjah / perpustakaan / bilik guru dan di mana jua di sekitar kawasan sekolah yang mana dirasakan bersesuaian, dan mudah untuk dibaca.


GPMS telah menerima kebenaran secara bertulis daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian ( DASAR ), Kementerian Pelajaran Malaysia, untuk mengedarkan poster ilham~ppsmi ini ke sekolah-sekolah.


Daripada 86 buah sekolah tersebut, GPMS telah memilih Sekolah Kebangsaan Gombak Utara untuk diadakan sebuah program khas di mana pelajar daripada sekolah tersebut akan diajarkan mengenai Salasilah Keluarga Rasulullah SAW menerusi modul-modul yang bersesuaian serta ceramah akan disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak.

Selain membuat edaran di sekolah-sekaolah kami juga Membuka booth di Stesen LRT Terminal Putra Gombak dan diedarkan kepada orang ramai yang berada di situ (berdasarkan kepada lebihan stok yang ada).


GPMS samada di peringkat cawangan, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan akan melaksanakan pelbagai bentuk program di seluruh negara. Oleh itu, poster-poster itu akan diedarkan melalui program-program tersebut. (program tumpang yang mana dirasakan sesuai dan berdasarkan lebihan stok yang ada).

Menurut Redzuan membuat edaran poster, diadakan juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan ceramah yang disampaikan oleh Penceramah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Insya-ALLAH, Projek Poster Sebagai Medium Ilmu (PPSMI) ini adalah yang pertama dan akan diteruskan oleh GPMS melalui program ILHAM~PPSMI. Poster-poster yang berikutnya akan dibahagikan mengikut tajuk-tajuk khas. Antaranya seperti, poster berkisarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam tahun-tahun Hijrah, peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam tahun-tahun kenabian Muhammad SAW, peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam Isra’ dan Mikraj mengikut aturannya dan banyak lagi, katanya.

Editor : khaulah azwar

Sunday, May 15, 2011

MB Kesal video seks lucah ciptaan UMNO/BN diedar




Selayang - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut menyampaikan ceramah "Munajat Umat Menolak Fitnah" meluahkan kekecawaan terhadap penyebaran VCD Lucah ciptaan UMNO/BN.

"Satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya, apabila malam ni masyarakat tidak ada kerja lain, diedarkan pulak VCD yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim.

"Ini saya anggap satu kerja bodoh dalam negeri yang kaya. Sebagai pimpinan saya mengimpikan Negara yang aman, tenteram oleh rakyatnya (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur)" ujarnya sambil menunjukkan VCD yang dipegang kepada hadirin yang diedarkan di luar stadium oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, UMNO/ BN terlalu 'sibuk' menabur fitnah dan meracuni fikiran rakyat sehingga tidak ada masa memikirkan soal ekonomi dan pembangunan negeri itu.

"Petang tadi saya pergi ke Kuala Selangor terdapat projekrumah terbengkalai sebanyak 6,000 unit. Mereka yang membeli rumah sudah lebih 20 tahun tidak dapat dan kontraktornya pula telah lari. Penduduk disitu benar-benar kecewa dan menangis kerana rumah yang diimpikan tidak dibina".

"Saya pergi dan selesaikan dengan pemaju dan pembeli. Saya berjumpa dengan pihak kontraktor tersebut dan berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk dengan cara memasukkan wang ke akuan Kerajaan Negeri berjumlah RM 4 juta untuk meyakinkan rakyat disitu kembali".

"Duit tersebut kita akan bantu rakyat yang teranayai. Ini lebih baik daripada edar VCD ini yang diedarkan oleh orang yang dianggap saya adalah mereka membuat kerja bodoh tidak mendatangkan faedah langsung", katanya.

"UMNO/BN di Selangor tidak boleh selesaikan masalah penduduk, yang boleh buat hanyalah edar VCD bongok ini," katanya dan disambut gelak tawa hadirin.

Deklarasi Anti-Fitnah turut dibacakan dengan dipimpin oleh Pengerusi Saf Anti Fitnah (SAF), Mohd Azmi Abd Hamid.

Deklarasi daripada 60 NGO tersebut menurut Azmi akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak-pihak tertinggi yang lain.

Turut menyampaikan ceramah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.



Editor : khaulah azwar

Rakyat boleh jatuhkan saya dgn Izin ALLAH bukan UMNO



SELAYANG, UMNO/BN sudah hilang rasa hormat dan semakin menggila terhadap majlis-majlis agama kerana keghairahan mereka mengaibkan dan menjatuhkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini terbukti apabila Umno mengedarkan video cakera padat (VCD) seks yang dituduh kononnya pelakunya ialah Anwar di setiap program PKR termasuk di program ‘Munajat Rakyat Menolak Fitnah’ bersama ulama besar dunia, Dr Sheikh Wahbah az-Zuhaily dari Syria, di Stadium Selayang malam tadi.

Anwar dalam ceramahnya berkata, Umno / BN sudah membuktikan bahawa mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkannya dan mengekalkan kuasa mereka termasuk 'merampas' semula Selangor.

"Di setiap program solat hajat, ceramah saya, Umno edar video lucah. Apa Umno tak ada kerja lain selain nak 'membogelkan saya'?" soalnya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin yang hadir.

Terdahulu, program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli dengan tazkirah maghrib bertajuk Qazaf dan Sumpah Laknat – ‘Antara Syariat dan Adat’ yang disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abd Ghani Shamsudin.

Program diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat hajat dipimpin Dr Sheikh Wahbah sendiri.

Dr Sheikh Wahbah dalam ceramahnya selepas itu berpesan kepada hadirin agar istiqamah dalam berdoa dan menetapkan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya jika kita menurut permintaan-Nya dan beriman dengan penuh keikhlasan.

Anwar dalam ceramahnya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Sheikh Wahbah yang sanggup datang dari Syria semata-mata untuk bersama-sama rakyat bermunajat menolak fitnah Umno BN.

Beliau berkata, dalam pada Umno BN bercakap soal moral dan akhlak pemimpin, mereka sendiri tidak menjaga adab dan akhlak sehingga sanggup mengaibkan orang lain.

"Pemimpin Umno nak cakap soal akhlak dengan kita? Apa hukumnya sebar video lucah kepada umum?

"Tidak cukup saya dipukul separuh mampus dalam penjara, dibogelkan, sekarang saya dikaitkan dengan video lucah pula.

"Saya nak tegaskan, yang boleh jatuhkan saya bukan Umno, bukan BN tapi dengan kuasa rakyat dengan izin Allah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.


Editor : khaulah azwar

Saturday, May 14, 2011

Terdesaknya UMNO/BN sehingga memasuki nama2 PELAPES untuk SPR suku 1/2011

GOMBAK: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DMPNS) sedang merancang untuk menyerahkan satu memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah kewujudan senarai pengundi-pengundi tukar alamat yang luar biasa di kebanyakan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Hasbullah Mohd Ridzwan yang merupakan Ketua Pemuda DMPNS merangkap Ahli Majlis MPS Zon 13 berkata, “kewujudan itu dikesan melalui senarai pengundi-pengundi dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku 1/2011 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Selangor baru-baru ini.

Ianya dikeluarkan bermula 28 April sehingga 4 Mei bagi tujuan semakan tuntutan dan bantahan kepada awam.

Hasbullah berkata, timbul keraguan apabila kebanyakan pengundi yang bertukar alamat ke Parlimen dan Dun ini ialah penduduk Sabah yang mempunyai kod kad pengenalan 12 yang kebanyakannya ditukarkan ke Parlimen Kota Raja yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Insya-allah, kita akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Sultan Selangor melalui memorandum yang akan diserahkan. Kita sedang berusaha untuk mengadap Tuanku Sultan dan surat telah pun dihantar, tunggu maklum balas daripada istana," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Kawasan Gombak, disini kelmarin.

"Kebanyakan pengundi-pengundi luar yang bertukar alamat ini mengesahkan bahawa mereka dipanggil pihak-pihak tertentu untuk mengundi di kawasan-kawasan tertentu tanpa kerelaan".

Ujarnya juga, tambah mendukacitakan dan menyukarkan proses semakan apabila alamat lengkap pengundi-pengundi tidak menunjukkan sebarang nama jalan, nama taman perumahan dan nama lorong.

"Siasatan dan semakan mendapati pengundi-pengundi yang bertukar alamat ini diletakkan dalam sesebuah rumah dalam jumlah yang ramai dan tidak munasabah serta pelbagai bangsa iaitu terdapat setengah pengundi Cina dan India dalam rumah yang sama begitu juga sebaliknya," katanya.

Minggu lalu, ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud juga menggesa SPR menjelaskan kekeliruan dan keraguan dalam senarai daftar pemilih secara atas talian(online) dan pejabat SPR negeri.

“timbul keraguan apabila ramai pengundi (Parlimen Kota Raja) didakwa bertukar alamat gagal dikenal pasti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) kerana tidak disertakan alamat lengkap”.

Selain itu, Pemuda PAS Negeri Selangor dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) turut membantah tindakan SPR mendaftarkan seramai 303 anggota pasukan latihan pegawai simpanan (PALAPES) Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengundi pos yang jelas melanggar peraturan dan akta SPR.

Menurutnya, pihaknya telah membawa perkara itu kepada SPR selangor untuk mendapatkan penjelasan namun belum ada sebarang maklum balas.

"Kenapa PALAPES UPM didaftarkan sebagai pengundi pos sedangkan mereka belum lagi menjadi anggota tentera?" soalnya.

Sementara itu, pemuda PAS Selangor juga akan membuat satu laporan polis berkaitan taktik Umno BN memberikan kerakyatan kepada 2,000 pengundi baru warga Indonesia.

PKR semalam mendakwa Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Idris Abu Bakar menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Dalam surat itu, Idris memohon kelulusan untuk mendapatkan warganegara Malaysia (PR) bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor, seramai 2,000 orang.

Pemuda PAS Selangor juga mengggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR menjelaskan mengenai maklumat yang didedahkan itu.

"Pemuda PAS Selangor berikrar tidak akan merelakan negeri ini digadai serta dicabul kedaulatannya daripada pihak-pihak luar yang bakal menjejaskan keharmonian dan kerukunan negeri Selangor daripada pihak-pihak yangrakuskan kuasa dan pangkat secara bacul serta tidak bermaruah," katanya.

Dalam pada itu, nama-nama dalam surat Idris itu menyatakan bahawa ianya merupakan pengundi yang boleh membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Menurut surat itu, mereka telah menjalankan ujian saringan terhadap 2000 warga Indonesia itu bebas daripada kesalahan jenayah, dadah dan ideologi yang berbahaya serta terpesong dan terdiri daripada kalangan pelajar, usahawan tulen dan bekerjaya.


Editor : khaulah azwar

Siti Norasiah menyatakan aktivitinya telah dimaklum oleh pihak berkuasa



Kg. Sg Pusu Gombak - Kami rasa kesal dengan tuduhan melulu oleh pihak Pengusaha Pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang telah membuat tuduhan yang berat keatas saya, kata Siti Norsiah Md Tamim, 51thn disini petang semalam dengan marah ketika ditemui oleh pihak media.

Turut hadir bersama penghulu mukim setapak, dan perwakilan daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia.
Siti Norasiah Md Tamim, 51thn merupakan pengusaha pasir dari Pahang yang telah membuat perniagaan menjual pasir halus dan kasar di Tanah Reserve perkuburan Sg Pusu. Beliau yang telah memulakan perniagaannya pada bulan April, 2011 telah diberikan berbagai tuduhan oleh pihak Kumpulan Semesta Sdn Bhd menyatakan memberi rasuah dengan hasil jualan pasir beliau kepada ketua kg Sg Pusu Hj Mohd Yunus Hj Ishak , Penghulu Mukim Setapak, Zuraimi Mohaini, Nazir Masjid Zakaria Mohd Radzi Mohamad dan Bilal Masjid Zakaria, Yaacob Sulaiman.

Tuduhan ini amat berat sekali pada saya dan semua yang telah diberikan fitnah oleh Kumpulan Semesta yang cuba memburukkan imej kami. “Sumpah, memang saya berjumpa dengan mereka, tetapi urusan saya adalah untuk membincang penyewaan tanah di kawasan tapak perkuburuan islam Kg Sg Pusu untuk dijadikan tempat penyimpanan pasir yang saya usahakan. Bukan memberi rasuah kepada mereka. Untuk menyatakan kebenaran ini, Saya juga telah mengangkat sumpah di Pejabat Pesuruhanjaya Sumpah Malaysia Mahkamah Sesyen Selayang yang ditandatangani oleh Palaniamah a/p Munusamy pada 28hb April 2011 bagi menyatakan kenyataan saya adalah benar dibawah akuan berkanun 1960” bagi membersihkan maruah saya dan semua yang terbabit”. “Sekiranya mereka menyatakan saya memberi rasuah apakah buktinya”? Sehingga kini tiada mana-mana pihak berkuasa seperti, Pejabat Daerah Tanah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan saya membuat kerja-kerja yang melanggar peraturan”. Selain daripada itu, saya telah membuat perjanjian dengan pihak Masjid untuk menyewa tanah tersebut dengan bayaran RM2000 sebulan kepada Bendahari Masjid Zakaria, Muzzafar Shah Mustaffa sebanyak RM2000 pada 1hb April, 2011 (Resit No. masjid Zakaria 0461).

Semoga dengan sewa diberikan akan dijadikan dana tabung kubur Masjid bagi meratakan tanah perkuburan di Kg Sg Pusu, jelasnya kepada media. “Untuk apa saya melakukan kerja-kerja tidak faedah ini kerana saya mempunyai pengalaman yang luas tentang membuat dan mejual pasir selama 7thn dengan mempunyai lesen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)”. Menurutnya, Kumpulan semesta Sdn Bhd yang telah beroperasi di Gombak memang sudah lama tetapi sentiasa bertukar tangan dan baru-baru ini kawasan tersebut tidak beroperasi lagi.

Saya beroperasi disini pada bulan April, 2011 sama dengan Kumpulan Semesta. Dengan mempunyai dua buah pengusaha pasir maka berlaku persaingan sengit dan kurang sihat. Saya kesal tuduhan diberikan bahkan setiap kali lori-lori yang merupakan pelanggan tetap saya masuk kawasan saya, pekerja kumpulan Semesta telah menahan lori-lori ini dan melontarkan berbagai fitnah sehingga berlaku terjejas ekonomi saya, ujarnya. Media juga telah difahamkan oleh Siti Norsiah, pasir yang dijual olehnya adalah Harga Pasir Kasar 1 tan RM27 dan pasir Halus 1 tan RM 35. Bagi kumpulan semesta pula mereka menjual dengan harga RM18 Pasir Kasar dan RM 25 Pasir Halus.

Harga saya sangat jauh berbeza dengan Kumpulan Semesta. Kami juga banyak terima aduan daripada pelanggan Kumpulan Semesta dimana kualiti pasir yang dijual oleh Kumpulan semesta tidak berkualiti. Dengan itulah menyebabkan pelanggan mereka tidak membeli lagi pasir di Kumpulan Semesta lagi. Mungkin dengan persaingan inilah menyebabkan berbagai fitnah berlaku. Saya percaya mereka semua salah faham dengan kerja yang saya lakukan tanpa membuat siasatan terperinci. Saya mempunyai segala Surat hitam putih bagi kerja-kerja dilakukan dan telah menghantar salinan surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Salinan Kepada Penasihat Kewangan Negeri Selangor, Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai makluman mereka. Semoga dengan penjelasan ini maka imej kami semua dibersihkan.

Sementara itu pula, Pak Wan yang merupakan perwakilan petugas daripada PKM DUN Gombak Setia melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku. Katanya, “walaupun Pn. Siti Norasiah telah membuat surat hitam putih kepada Menteri Besar dengan mengunakan Tan Sri Datin Paduka Seri Hjh Zaleha Ismail, Mantan Menteri Kabinet Malaysia tetapi ianya tetap menjadi kesalahan kerana dibuat selepas berlaku kekecohan di Kg. Sg. Pusu.

Kemudian saya difahamkan juga oleh Tok Penghulu menyatakan Pn. Norsiah telah memaklumkan aktiviti tersebut kepada semua pihak seperti JAIS, Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG), PKM Dun Gombak Setia tetapi apabila dibuat siasatan tiada sebarang kelulusan diberikan oleh pihak berwajib. Ini merupakan satu penipuan. Sekiranya dakwaan ini benar maka sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi Menteri Besar Selangor, ADUN Gombak Setia dan semua yang terlibat ”.

Bagi saya ia adalah satu kesilapan kerana tindakan beliau dengan melakukan kerja-kerja ini tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Insfrastruktur Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Y.B Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Adakah mereka terlepas pandang dan peranan PKM Dun Gombak Setia disini. Dalam apa juga aktiviti yang dilakukanhendaklah diikut prosedur yang betul dengan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Sekarang Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah melakukan kerja-kerja dengan tulus dan mengikut prosedur bukan main redah seperti berlaku zaman pemerintahan UMNO-BN dahulu. Ini semua tektik politik kotor untuk memerangkap pihak-pihak tertentu yang dimainkan oleh pihak beliau memandangkan bahang-bahang Pilihanraya semakin hampir.

Beliau kena ingat,walaupun tanah ini merupakan tanah “reserve” dan wakaf kubur Kg Sg Pusu dibawah kelolaan Masjid yang telah diberikan mandat oleh pihak JAIS, tetapi sebarang keputusan mentadbir dan mengurus tanh tersebut dibawah kuasa JAIS. Tanah ini masih belum belum dapat kelulusan daripada pihak JAIS untuk di benarkan sebagai tempat aktiviti pengusaha pasir. Oleh itu saya harap perkara ini tidak berlaku lagi, katanya ketika di temui tapak lokasi. Media juga telah difahamkan oleh Tok Penghulu Mukim Setapak, Zuraimi Mohaini pihak JAIS telah turun padang membuat siasatan dan beliau menyerahkan tindakan selanjutkan kepada pihak berwajib kerana ia diluar bidang kuasa pentadbiran saya sebagai penghulu.



Editor : khaulah azwar


Friday, May 13, 2011

PTDG, Tn Zahrin menafikan Kenyataan Siti Norasiah



Gombak - Eh.. peliknya kenyataan yang dibuat oleh Siti Norasiah Md Tamim, 51thn merupakan pengusaha pasir dari Pahang yang telah membuat perniagaan menjual pasir halus dan kasar di Tanah "Reserve" perkuburan Sg Pusu.

Beliau menyatakan kepada media, "bahawa surat dan dokumen yang dikeluarkan oleh nya melalui Tan Sri Datin Paduka Seri Hjh Zaleha Ismail, Mantan Menteri Kabinet Malaysia telah dihantar kepada pejabat saya. "Bila, siapakah penerimanya?? dengan nada serius".

Tn Ahmad Zahrin Bin Mohd Saad, Pegawai Daerah Tanah Gombak (PTDG) ketika dihubungi oleh pihak media di pejabatnya petang semalam berkata, "Saya menafikan kenyataan tersebut".

Saya ada menerima maklumat aktiviti yang dilakukan oleh Pn. Norasiah melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan aduan daripada penduduk selepas kekecohan berlaku di Kg Sg Pusu dengan meletakkan pasir di tanah "reserve" Kubur Islam yang telah beroperasi bulan April, 2011.

Selepas menerima maklumat ini, beberapa orang pegawai saya dan beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah turun padang ke lokasi tersebut untuk buat siasatan.

Pegawai-pegawai saya telah bertemu dengan Pn. Norasiah dengan memberikan notis kepada beliau. Semua dokumen mengenai aktiviti pasir yang dibawa daripada Pahang dan mempunyai lesen kelulusan perniagaan Pejabat Daerah Bentong Pahang telah diambil oleh pegawai saya daripada Pn Norasiah bagi tindakan selanjutnya.

"Bukan Pn Norasiah datang ke pejabat saya menghantarkan surat dan dokumen tersebut".

Ini satu pembohongan. Apa yang dilakukan oleh Pn Norasiah tetap menjadi kesalahan kerana beliau juga menyatakan aktiviti ini telah dimaklumkan kepada semua pihak berkuasa.

Sebenarnya semua pihak berkuasa seperti JAIS, Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Penghulu Mukim Setapak, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia tidak tahu hal ini. Saya telah bertanya dengan YDP MPS juga akan hal ini.

Saya difahamkan oleh Penghulu Mukim Setapak, Zuraimi Mohaini. Pn. Norasiah telah membuat perjanjian dengan pihak Nazir Masjid Zakaria Mohd Radzi Mohamad dan Bilal Masjid Zakaria, Yaacob Sulaiman untuk membenarkan beliau menyewa tapak tersebut dengan membayar sewaan RM2000 sebulan. Bayaran sewa telah diterima oleh Bendahari Masjid Zakaria, Muzzafar Shah Mustaffa pada 1hb April, 2011 (Resit No. masjid Zakaria 0461) sebagai dana tabung kubur Masjid bagi meratakan tanah perkuburan di Kg Sg Pusu.

Mereka telah meminta Tok Penghulu menandatangani surat perjanjian yang dibuat oleh Tan Sri Zaliha sebagai sokongan. Dalam keadaan serba salah surat tersebut ditandatangani oleh Tok Penghulu apabila Pihak Nazir Masjid, Mohd Radzi, dan Bilal Masjid Yaacob Sulaiman menyatakan "tiada apa-apa yang berlaku setelah mendapat persetujuan oleh Ketua Kg Sg Pusu, Tn Hj Yunus Ishak".

"Sekarang apa yang berlaku seolah-olah Tok penghulu telah digunakan oleh mereka yang mungkin akan berlaku sesuatu selepas ini. Ini satu pengajaran kepada kita semua agar tidak mudah percaya dengan orang yang boleh menjejaskan imej kita", katanya.

"Apakah motif mereka sebenarnya??". Tetapi disini, saya ingin tahu apakah kuasa Nazir Masjid sehingga boleh memberi kelulusan kepada beliau untuk membenarkan menggunakan tanah "reserve" Kubur Islam yang sudah semestinya kuasa pentadbiran tanah perkuburan adalah dibawah JAIS bukan Nazir masjid.

Kalau pihak Nazir masjid menyatakan tanah perkuburan dibawah urusan JAIS, kita tidak tahu dan apa buktinya. Yang saya tahu memang ianya kuasa JAIS bukan masjid menentukan pengurusan tanah perkuburan, katanya dengan jelas kepada media.

Pihak kami masih menunggu jawapan daripada pihak JAIS. Sekiranya ianya tidak mendapat kelulusan maka aktiviti ini perlu diberhentikan atau perlu membuat permohonan dengan betul, ujarnya.

Apa yang berlaku sekarang, walaupun Tan Sri Datin Paduka Seri Hjh Zaleha Ismail, Mantan Menteri Kabinet Malaysia merangkap Mantan ADUN Gombak Setia dahulu telah membuat surat untuk memberi sokongan kepada anak angkatnya itu (Pn. Norasiah) tetapi ianya ibarat seperti membelakangkan ADUN Gombak Setia, Y. B Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

"Apakah beliau tidak tahu siapakah yang mentadbir kawasan Gombak Setia pada masa ini"?

Sepatutnya surat-surat yang berkaitan mengenai aktiviti ini mesti melalui Pihak ADUN Gombak Setia yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Y.B Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Kita kena ikut prosedur yang betul, jangan kita membelakangi sesiapa yang telah mentadbir Negeri Selangor. Ini adalah bertujuan agar aktiviti ini tidak menimbul kecurigaan mana-mana pihak kerana ianya melibatkan pemberian wang dan memasuki kawasan tanah "reserve" perkuburan islam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa JAIS. Oleh itu, kita harap perkara ini dapat diatasi dengan segera oleh pihak terbabit.

Sehubungan dengan itu, Pegawai JAIS daripada Daerah Gombak, Ustaz Shaifullah ketika dihubungi oleh Media hari ini, pula menyatakan"sebelum Pn.Norasiah masuk ke tapak itu, Nazir Masjid Zakaria, Mohd Radhi B. Mohamad ada berjumpa dengan saya dalam bulan Mac, 2011 untuk memaklumkan permohonan ini.

Saya telah menjelaskan kepadanya mana-mana aktiviti yang melibatkan tanah perkuburan maka ia adalah dibawah pengurusan JAIS. Kena ikut prosedur permohonan. Pihak Nazir tidak mempunyai kuasa membenarkan aktiviti ini.

"Mereka kena faham mana-mana tanah perkuburan "reserve" adalah dibawah kuasa JAIS sepenuhnya".

Saya juga telah memaklumkan kepada nazir masjid tersebut, agar berurusan dengan Pejabat JAIS HQ, Cik Farah Aini Binti Hussain, Pegawai Pembangunan, tetapi tiada tindakan sehingga aktiviti telah dijalankan oleh pengusaha pasir dan telah menimbulkan kekecohan di Kg. Sg. Pusu.

Petang semalam, pegawai JAIS daripada HQ iaitu Farah Aini telah menghubungi saya menyatakan Nazir Masjid, Tn Mohd Radzi berhubung dengannya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Tetapi pihaknya tidak dimaklumkan hal tersebut lebih awal dan menyukarkan proses tersebut.

Oleh itu, saya syorkan agar pihak Nazir akan menyelesaikan isu ini dengan secepatnya untuk berurusan terus dengan Pengurus Besar Pejabat JAIS HQ, Tn Marzuki Hussain agar mendapatkan kelulusan sepenuhnya dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

Perkara ini boleh diatasi dengan sebaiknya dengan mengikut prosedur kerja yang betul dan tidak membelakangi sesiapa, katanya.


Editor : khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI