Lebih 500 orang penyokong menyertai nyalaan lilin di luar
balai polis Jinjang malam ini sebagai tanda sokongan mereka kepada Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditahan di lokap balai itu.
Mereka membawa plakad yang bertulis "Bebaskan Nurul Izzah",
"Solidariti Bersama Nurul Izzah" dan "Kita Lawan".
Turut kedengaran ialah laungan kuat "bebas Nurul",
"hidup Nurul" dan "Puteri Reformasi". Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba pada jam 9.30 malam dan meluahkan perasaan
sedihnya kepada para penyokong yang hadir "Memang sedih anak diperlakukan
sebegitu. Apa salah dia, dia cuma menyuarakan suara hati rakyat.
"Kezaliman tidak akan berkekalan, kita akan kuat dan
bersemangat untuk membela rakyat. "Mungkin malam ini anak saya... tapi
percayalah semangat yang ada pada kita akan lawan kezaliman sehabisnya,"
kata Azizah dalam ucapannya.
Wan Azizah seterusnya membimbing para penyokong melaungkan
"lawan tetap lawan, lawan sampai malam". Adik Nurul Izzah dan anak
perempuan keempat Anwar, Nurul ilham turut hadir.
"Biar mereka menahan satu Nurul tapi mereka kena tahu,
ada empat Nurul akan terus melawan," laung Nurul Ilham, disambut tepukan
para penyokong. Nurul Ilham berkata, penahanan kakaknya membuatnya sedar bahawa
setiap perjuangan mesti ada pengorbanan. Himpunan turut dihiburkan dengan
lagu-lagu gubahan penyanyi muda seperti lagu "suara rakyat",
"asal bukan Umno" dan lagu sindiran terhadap Datuk Seri Najib Abdul
Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Pemuda DAP,Teo Kok Seong yang dibebaskan semalam dan
turut hadir dalam himpunan malam ini berkata beliau dapat merasai sendiri
perasaan apabila dimasuk dalam lokap. "Kita mahu Nurul dibebaskan
segera," katanya. MP PAS Shah Alam, Khalid Samad semasa berucap berkata
sebagai ahli Parlimen sepatutnya ada "imuniti" atau kekebalan.
No comments:
Post a Comment