SHAH
ALAM: Negeri Selangor terpilih sebagai negeri pertama di luar Kelantan bagi
penganjuran Bulan Dakwah Kelantan yang diadakan di Wisma Kumpulan Media
Karangkraf di sini bermula Jumaat hingga Ahad.
Inisiatif
itu dijalankan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Selangor bagi
mengeratkan hubungan antara dua negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR).
Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dalam ucapan majlis perasmian penutup
majlis itu berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada
Kerajaan Kelantan di atas kesudian memilih negeri itu sebagai tuan rumah
program berkenaan.
“Walaupun
penganjuran program ini bertujuan untuk dimanfaatkan rakyat Kelantan yang
tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi rakyat Selangor dan Kuala Lumpur
juga dapat bersama-sama mengambil manfaat daripada program ini,” katanya.
Hadir
sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Exco Pembangunan Islam,
Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan; Datuk Mohd Nassuruddin Daud;
Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor,
Sallehen Mukhyi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk
Hussamuddin Yaacob.
Datuk
Ahmad Yakob dalam ucapannya pula berkata, program tiga hari dilangsungkan itu
mencapai matlamatnya dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Saya
percaya ia telah memberi manfaat kepada semua pengunjung. Program kali ini buat
julung kalinya diadakan di luar Kelantan dengan Selangor menjadi lokasi
pilihan.
Ahmad
berkata, program itu seterusnya akan bersambung di Kelantan selepas ini
sehingga Oktober depan.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal
Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi pula
ketika ditemubual pemberita melahirkan rasa terharu apabila negeri Selangor
telah terpilih sebagai tuan rumah untuk meluaskan dakwah kepada masyarakat.
“Saya ucapkan ribuan terima
kasih kepada pihak penganjur negeri Kelantan yang sudi memilih negeri Selangor
sebagai tuan rumah. Ini merupakan satu penghormatan dan penghargaan kepada
kami. Semoga dengan adanya majlis umpama ini mampu menarik masyarakat islam
tanpa kira umur mendekati majlis ilmu dan mendampingi alim ulama agar mereka
tidak tersasar jauh daripada landasan hidup yang sebenar”, kata Sallehen.
Editor : Khaulah Azwar
No comments:
Post a Comment