Kerajaan Negeri sememangnya maklum dengan kedudukan kewangan Kolej
Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang lemah serta keperluan
untuk mengemaskini urustadbir kolej tersebut sepertimana yang dinyatakan
di dalam Laporan Audit Negara 2012. Sehubungan itu beberapa langkah
telah dikenal pasti untuk membantu KUIS agar keluar dari masalah
kewangan yang ditanggung sejak 2010 yang lalu.
Syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor
(KPS) telah diminta untuk mengkaji situasi KUIS dan berbincang dengan
pihak pengurusan serta pihak-pihak berkenaan mengenai bentuk bantuan
yang boleh diberikan termasuk menyalurkan dana kepada Kolej Univesiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menanggung kerugian sebanyak
RM11.30 juta pada 2011.
KPS sedang dalam perbincangan dengan pemilik tunggal KUIS iaitu
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan hasil perbincangan mendapati KUIS
memerlukan sekurang-kurangnya RM238 juta bagi memulihkan kewangan KUIS.
Dana ini termasuk bayaran berjumlah RM152 juta untuk sekali bayaran
(one off payment) kepada syarikat pemegang konsesi; Redha Resources Sdn.
Bhd. (RSSB) manakala dana selebihnya pula akan digunakan untuk menaik
taraf kemudahan pendidikan di KUIS seperti perpustakaan, dewan kuliah,
asrama dan penyelenggaraan bangunan.
RSSB telah diberikan konsesi selama 33 tahun pada 2005 oleh kerajaan
Barisan Nasional di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir
Toyo. Sekiranya one off payment ini tidak dibuat, KUIS terpaksa
membayar lebih RM19 juta setahun kepada RSSB selama 33 tahun yang
mencecah RM600 juta. Setakat ini, KUIS telah membayar sebanyak RM50 juta
kepada RSSB.
Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara, kerugian ini
disebabkan proses penyusunan semula KUIS melalui pembangunan secara
Build Operate and Transfer (BOT) apabila terpaksa mula membayar sewa
asrama dan bangunan kepada RSSB mulai 2009. Pada tahun 2011, tanggungan
terhadap konsesi tersebut merupakan 14% dari keseluruhan kos operasi
KUIS.
Ironinya, KUIS dikehendaki membayar kos sewaan asrama berdasarkan
penginapan 100 peratus dan 300 hari kalendar akademik meskipun kadar
penginapan pelajar tidak pernah mencapai kadar 100 peratus dan kalendar
akademik adalah kurang dari 280 hari.
RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul Razak,
seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang. Beliau memiliki
saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51% pegangan di dalam RRSB,
sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula memiliki 800,000 saham
bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh Bina Puri
Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya
operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.
RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah Barisan
Nasional ketika itu. Malah Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian
perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara MAIS, RRSB dan
bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama
pelajar KUIS ini. MAIS turut bertindak sebagai Penjamin dengan memberi
jaminan kepada bank-bank jika KUIS gagal membuat bayaran kepada pemegang
konsesi; RSSB.
Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings
Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dengan kos RM125.8 juta
ini, RSSB diberi konsesi sehingga tahun 2039 dengan menerima bayaran
keseluruhan mencecah RM600 juta.
KUIS adalah contoh bagaimana pimpinan UMNO-BN mengambil kesempatan
sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan; akibatnya ditanggung
oleh pelajar dan ibubapa kerana terpaksa membayar yuran pengajian dan
kos asrama yang tinggi manakala pentadbiran KUIS terpaksa mengabaikan
kepentingan lain demi mengawal kedudukan kewangan dari terus menjunam.
Disebabkan ‘kesilapan’ pemimpin terdahulu memilih pembangunan secara
BOT dan menandatangani perjanjian konsesi yang berat sebelah, kerajaan
Selangor Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato’
Seri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa mencari jalan menyelamatkan sebuah
institusi pendidikan kebanggaan rakyat Selangor.
Kerajaan sedang berusaha untuk mengambilalih semua kos prasarana dan
infrastruktur Kolej dan Universiti milik negeri Selangor agar
pentadbiran Universiti dan Kolej tidak dibebankan dengan kos tersebut
tetapi hanya mengurus kos operasi harian. Dengan cara ini dijangkakan
institusi tersebut akan dapat lebih menumpu kepada mutu pendidikan dan
pembelajaran.
FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment