Sunday, November 18, 2012

PM, SPA Di Gesa Pejabat Awam Bebas politik

SHAH ALAM  : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) digesa mengambil tindakan segera bagi memastikan penjawat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bebas daripada campurtangan politik.

Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen Selayang, William Leong berikutan tindakan terbaru JPA mengeluarkan notis pemindahan 24 jam kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala yang ditukarkan ke INTAN.

“Tindakan ini bukan saja tidak professional tetapi juga secara langsung menyekat penjawat awam daripada melakukan kerja mereka dengan bebas, telus dan amanah.

“Ia akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada pentadbiran Kerajaan Negeri, kredibiliti Kerajaan Pusat malah lebih teruk lagi adalah kesan kepada rakyat,” tegas beliau dalam satu kenyataan medianya.

Baru-baru ini, Zainal mendedahkan kelulusan bagi Projek Dolomite Park Avenue bersebelahan dengan Kuil Batu Caves diberikan pada 30 November 2007 ketika pemerintahan Umno-BN.

Beliau juga melepaskan minit Mesyuarat Penuh MPS yang mendedahkan tiga Ahli Majlis MIC, Rajakupal Sinnathamby, Jayakumaran Govindasamy dan Rajandran Muniandy dan A. Kohilan Pillay (kini Senator dan Timbalan Menteri Luar) merupakan antara ahli majlis yang meluluskan projek tersebut.

Sebelum ini, pihak JPA juga didapati membuat lantikan dan pertukaran tanpa berbincang dahulu dengan Kerajaan Negeri.

Awal Oktober lalu, JPA mengumumkan pemindahan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad 
Roslan Sakiman tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

Selain itu, pada 2011 perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri juga dibuat JPA tanpa persetujuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Justeru, saya menyeru agar Perdana Menteri dan SPA mengambil tindakan segera membetulkan keadaan ini.

“Jika mereka gagal, ini akan mengesahkan bahawa Program Transformasi Kerajaan sememangnya satu slogan kosong dan lebih teruk lagi ianya juga satu penghinaan kepada laungan janji Perdana Menteri sendiri,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI