Monday, May 31, 2010

Tukar kerajaan sebelum negara bankrap

PENGKALAN CHEPA, 31 Mei: "Nak selamat ekonomi, kita kena tukar kerajaan pada pilihan raya ke 13 nanti, janganlah sampai bankrap dulu baru nak tukar kerajaan," kata mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar).

Beliau berkata, Malaysia mengalami defisit sejak 10 tahun lalu namun situasi itu terselindung di sebalik suara hipokrit pihak yang lebih mementingkan kuasa politik.

"Mungkin jarang rakyat yang terdiri daripada orang kampung serupa kita ini tidak menyedari realiti itu sebab di dalam akhbar tidak dinyatakan kedudukan perkara sebenar.

"Kalau di dalam radio, TV pula diheboh dan digambarkan dengan visual berbentuk mewah-mewah kononnya untuk menunjukkan bahawa negara mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, rakyat tidak perlu ragu dan bimbang dengan pentadbiran kerajaan yang ada, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya," katanya pada ceramah perdana yang diadakan di Padang Tembak, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, perjuangan Umno BN kini jauh tersasar dari prinsip asal walaupun beberapa kali dinyatakan perlu ada transformasi.

"Berubah bukan nak jaga orang Melayu seperti kelantangannya mempertahankan Melayu, tapi nak jaga orang tertentu sebab itu mereka kaya-raya, menteri-menteri kaya, kalau tengok harta Najib memang besar.

"Namun sedarkah kita sejauh mana pula kesedaran mereka terhadap berapa ramai golongan miskin terbela di tangan mereka," katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku sekarang adalah rakyat terpaksa bergelumang dengan kancah kemiskinan di dalam negara sendiri yang dikatakan maju angkara kerakusan pemimpin yang berbelanja melebihi dari nilai pendapatan.

"Jika situasi ini terus berlarutan jawabnya semakin banyaklah lagi harga barang akan naik, lebih banyak krisis barangan akan berlaku dan kita akan terus dicengkam inflasi kerana pendapatan tidak berubah," katanya.

Oleh itu, katanya rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan corak bagi menyelamatkan ekonomi negara pada masa hadapan dengan menukar kerajaan.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI