Gombak : 13 Mei 2015 : Saya kesal dengan tindakan kasar Ketua Keselamatan Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Razali Mohamad yang bertindak merampas mikrofon
semasa saya sedang berucap di dalam satu forum mengenai GST di UIA
semalam.
Saya telah dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP atau Students
Representative Council, SRC) UIA untuk menyertai satu forum mengenai
GST. Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa pihak UIA telah meluluskan
penganjuran forum ini kerana ia melibatkan wakil dari Umno (Lokman Adam)
dan wakil dari Jabatan Kastam dan Eksais.
Saya juga dimaklumkan oleh MPP bahawa Rektor UIA, Dato’ Seri Dr
Zaleha Kamaruddin telah meletakkan garis panduan bahawa MPP boleh
menjemput ahli politik berdiskusi dalam majlis ilmu di UIA dengan syarat
ahli politik itu mempunyai kelayakan dalam bidang yang dibincangkan.
Saya hanya mendapat tahu semalam bahawa pada saat akhir, Rektor UIA
telah mengarahkan supaya program itu dibatalkan. Menjelang jam 8 malam,
telah timbul kekeliruan apabila saya dimaklumkan bahawa pihak UIA
bersetuju agar program itu diteruskan apatah lagi kerana wakil Umno,
Lokman Adam pun mahu hadir juga.
Saya telah dimaklumkan dari awal bahawa pihak Keselamatan UIA telah
mengadakan sekatan jalanraya untuk menyemak setiap kereta yang masuk
UIA. Saya mengambil keputusan untuk menaiki motosikal dan berjaya
memasuki UIA tanpa ditahan oleh pihak Keselamatan.
Sekitar jam 930 malam apabila saya tiba di satu ruang terbuka di mana
siswa UIA telah berkumpul, saya mendapati Lokman Adam telah pun
berucap. Saya juga mendapati kehadiran pihak polis Cawangan Khas yang
ramai termasuklah beberapa anggota Cawangan Khas yang datang
memperkenalkan diri mereka kepada saya.
Pihak MPP UIA memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan program.
Setelah 15 minit Lokman Adam berucap, seorang pegawai Keselamatan UIA
tampil mengumumkan bahawa pihak pengurusan teratas UIA telah membuat
keputusan bahawa program boleh diteruskan tetapi hanya Lokman Adam yang
dibenarkan berucap.
Ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan siswa yang hadir. Lokman
Adam kemudiannya menyatakan dia akan berhenti bercakap dan mahu program
dihentikan. Pada ketika itu saya menyatakan kepada pimpinan MPP dan
siswa yang hadir bahawa tidaklah adil jika saya langsung tidak
dibenarkan berucap sedangkan Lokman Adam telah pun berucap selama 15
minit.
Pada ketika itulah pimpinan MPP berunding dengan pegawai Keselamatan
UIA yang ada di situ dan menyatakan bahawa majlis akan berakhir setelah
saya berucap selama 15 minit. Saya dijemput berucap dan pada minit
kelapan (seperti di dalam video yang dilampirkan bersama), seorang yang
tidak dikenali datang menghampiri saya dari sebelah kanan.
Dalam
beberapa saat itu tanpa memaklumkan apa-apa kepada saya, orang itu
merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di
hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana
tegang. Saya menyatakan secara terbuka kepada orang itu bahawa
tindakannya adalah biadap dan tidak menghormati majlis ilmu. Cara
biadapnya itu bukanlah contoh terbaik di hadapan siswa.
Saya dimaklumkan kemudian bahawa orang itu adalah Superintendent
Razali Mohamad, Ketua Keselamatan UIA. Saya juga dimaklumkan bahawa dia
adalah seorang anggota polis dari Bukit Aman yang dipinjamkan kepada UIA
sebagai Ketua Keselamatan.
Keadaan menjadi tegang apabila beberapa orang dewasa yang tidak
beruniform menghampiri saya dan cuba untuk memaksa saya beredar dari
kawasan itu. Saya dilindungi oleh puluhan siswa UIA yang memisahkan saya
dari orang-orang yang tidak dikenali ini. Beberapa dari mereka membuat
bising dan mengkritik kononnya tindakan saya tidak mencerminkan seorang
Ahli Parlimen. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa orang-orang yang
tidak dikenali ini adalah anggota-anggota polis Cawangan Khas. Selepas
20 minit, saya akhirnya di bawa beredar dari kawasan itu dan siswa
bersurai dengan aman.
Ini bukanlah kali pertama pengurusan UIA di bawah Rektor Dato’ Seri
Dr Zaleha Kamaruddin membatalkan program ilmiah di saat akhir apabila ia
melibatkan tokoh Pakatan Rakyat. Sebelum ini pun UIA mengundang
kontroversi apabila membatalkan program-program UIA termasuklah yang
melibatkan menteri, wakil kedutaan asing dan Exco Kerajaan Selangor.
Kecenderungan Rektor UIA ini memberi gambaran seolah-olah UIA tidak
meraikan ilmu yang dijana dari perbezaan pendapat. Malah keputusan
Rektor UIA yang membenarkan hanya wakil Umno untuk berucap semalam
mendedahkan bagaimana beliau telah mempolitikkan kedudukannya bagi
kepentingan Umno.
Saya juga bimbang dengan kehadiran anggota polis Cawangan Khas dalam
program ilmiah yang dianjurkan oleh siswa. Malah, saya menerima aduan
bahawa kehadiran polis Cawangan Khas di dalam kampus UIA ini adalah satu
perkara biasa.
Tindakan-tindakan ini bertentangan dengan hasrat Kerajaan Barisan
Nasional sendiri untuk menaiktaraf mutu institusi pengajian tinggi.
Untuk menjadi universiti yang berwibawa, UIA perlu menghormati kebebasan
ilmu dan kebebasan berfikir. Jika Rektor UIA tidak mampu memahami
perkara asas ini, sewajarnya beliau meletakkan jawatan sebagai Rektor
UIA dan mengambil jawatan baru di dalam Umno sesuai dengan kecenderongan
beliau selama ini.
Rafizi Ramli
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
No comments:
Post a Comment