Wednesday, May 13, 2015

1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion ‘perkara sulit’





1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014. Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya. Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank. Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos. "Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran. Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang. Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran. Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi. Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan. Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan.

 

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI