Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man 
SHAH ALAM - Pas akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan komponennya sekiranya calon daripada parti itu dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, ujar Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Perbincangan itu penting kerana Pas telah memilih untuk memberi komitmen bersama dalam Pakatan Rakyat.

“Jadi apa-apa pun kita akan berbincang dahulu sebelum membuat kata putus,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Terdahulu, Pas dilapor mencadangkan tiga nama ahlinya kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diteliti sebagai pengganti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Angin bertiup kencang mengatakan, senarai nama yang dicalonkan Pas adalah anggota Exco Selangor dari parti itu iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen Mukhyi.

Kemudian muncul pula laporan yang menyebut hanya seorang ahli Pas iaitu Iskandar yang dicalonkan parti itu manakala dua lagi nama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali.


Keputusan Pas mencalonkan lebih daripada dua nama mengundang kekecewaan rakan sekutunya dalam PR.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun tidak pernah mendedahkan senarai sebenar nama yang dihantar oleh Pas untuk pertimbangan istana, namun secara terang-terangan mempertikaikan kemampuan Wan Azizah untuk menggalas jawatan penting itu.

Berdasarkan kad jemputan yang telah diedarkan dan disahkan kebenarannya oleh pegawai istana, majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor akan diadakan pada Selasa di Istana Alam Shah, Klang.