Monday, July 1, 2013

Kakitangan DUN Bakal Terima Bonus

SHAH ALAM 1 JULAI :  Kakitangan Pusat khidmat DUN bakal terima bonus kerana mencapai target dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, pemberian itu bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.
Pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan nanti.
“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan.
“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan Negeri.
“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.
Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.
Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.

Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI