Wednesday, July 24, 2013

Exco Tanam 500 anak Pokok Berembang Mahu Rakyat Bekerjasama Mempertingkatkan Kesedaran Melindungi Dan Memulihara Ekosistem


Sungai Pakeh Sungai Panjang:  Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi telah merasmikan program ke arah meningkatkan kualiti alam persekitaran.

Dalam ucapannya beliau berkata,  Agenda 21 Selangor merupakan pelan tindakan pelaksanaan pembangunan mampan Selangor yang telah dilancarkan secara rasminya pada 15 Februari 2001. Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha melaksanakan program pembangunan mampan bagi mewujudkan persekitaran hidup yang lebih berkualiti.

Menurut beliau, Ini juga merupakan  komitmen daripada Kerajaan Negeri untuk menginstitusikan konsep dan prinsip pembangunan mampan dalam pentadbiran dan pembangunan Negeri Selangor khususnya.

“Saya difahamkan bahawa program pemuliharaan alam semulajadi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD) Selangor bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB)  ini diadakan bagi mempertingkatkan kesedaran mengenai  kepentingan melindungi dan memulihara ekosistem untuk menjamin kesejahteraan sosio ekonomi dan persekitaran fizikal setempat. Ini amat bertepatan dengan peranan JPBD sebagai penyelaras pelaksanaan Agenda 21 Selangor”, katanya.

Selain itu ia juga dapat menyumbang ke arah  memulihara khazanah alam untuk kepentingan generasi semasa dan generasi akan datang, memulihkan habitat semulajadi untuk pemuliharaan kepelbagaian biologi serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar serta kesannya ke atas kesejahteraan hidup dan kestabilan ekologi setempat. Ini sekaligus mampu  meningkatkan tahap kehijauan alam semulajadi yang menyumbang kepada persekitaran yang sihat, selamat dan indah sejajar dengan Program Penghijauan Negara dan Kempen Tanam Pokok Negeri Selangor.


Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada JPBD Negeri Selangor kerana telah memilih kawasan Konservasi Kelip-Kelip, Sungai Pakeh, Sungai Panjang Sabak Bernam untuk program di bawah LA 21 pada kali ini.

Sallehen merangkap ADUN Sabak menambah lagi, matlamat utama program ini dilaksanakan adalah bagi mempertingkatkan kesedaran mengenai  kepentingan melindungi dan memulihara habitat kelip-kelip yang dilihat berpotensi untuk dijadikan sumber pelancongan bagi Daerah Sabak Bernam. Usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan penduduk untuk menjadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan perlu dilaksanakan secara berterusan, katanya.

“Usaha ini perlu dilakukan bersama bukan sahaja terletak di atas tanggungjawab MDSB. Jika dilihat dari sudut lokasi kawasan ini, ianya bersempadan dengan Daerah Hilir Perak di Negeri Perak. Penyelarasan pembangunan diantara MDSB dan MDHP perlu ada bagi memastikan pembangunan di persekitaran kawasan ini mengambilkira sensitiviti setempat.  Ini dapat meningkatkan suasana persekitaran eko pelancongan setempat, malah ia berupaya untuk menjadi satu aktiviti untuk menjana ekonomi penduduk di kawasan ini.


Saya berharap MDHP juga akan menyahut usaha ini diseberang sana supaya habitat yang indah ini dapat dikekalkan untuk kebaikan bersama dari segi eko pelancongan di kedua-dua negeri ini, ujarnya”.

Sebanyak 500 anak pokok berembang  telah ditanam dalam Majlis Perasmian oleh beliau bagi meningkatkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pengekalan habitat kelip-kelip tersebut.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI