Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
Merujuk kepada Peraturan
Mesyuarat 18 (1) dan (2), dengan ini saya mohon mencadangkan supaya
Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara
tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.
Saya, Nurul Izzah Anwar ( Lembah Pantai ) mohon mencadangkan:
“ Dalam dewan yang mulia ini, kita
berkumpul dengan satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas
agama, bangsa mahupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting
yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga
antarabangsa di dunia ini iaitu nasib 800,000 etnik penduduk Rohingya di
Arakan, Myanmar yang antaranya terkorban dan terus diancam pembunuhan
beramai-ramai.”
Tan Sri Yang di-Pertua,
Hati kita semua diruntum sedih dan pilu,
mengenangkan apa yang berlaku di Palestin, Mesir, Syria dan kini
membarah ke Rohingya. Rakyat Malaysia yang sedar dan prihatin bersatu
hati diwakili Ahli-Ahli Dewan Rakyat menolak sebarang kezaliman,
penganiayaan dan ketidakadilan yang dialami etnik Rohingya.
Sejajar dengan semangat menegakkan
keadilan sejagat dan juga sebagai Negara pencadang kemasukan Myanmar ke
dalam Asean, Malaysia sepatutnya tidak berdiam diri Dalam kezaliman yang
terus berlaku. Atas dasar kemanusiaan, hubungan serta kestabilan
serantau, kita mesti secara aktif mendesak Myanmar melindungi
kumpulan-kumpulan minoritinya daripada sebarang penindasan, apatah lagi
pembunuhan.
Jumlah keseluruhan kematian sejak
rusuhan Jun lalu mencecah 180 orang, ratusan yang cedera dan 28,000
orang yang terpaksa menjadi pelarian. Terkini, tindakan kerajaan
Bangladesh melarang perayaan Qurban disambut di kem-kem pelarian
Rohingya disekitar Negara tersebut. Larangan dikuatkuasakan sehingga
pengedaran daging korban yang sepatutnya diagih kepada pelarian yang
berada di kem tidak dapat disempurnakan dengan lancar oleh pelbagai NGO
yang melakukan misi korban dari pelbagai Negara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Dengan ini saya menyeru agar Dewan yang Mulia inimengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Mengutuk sekeras-kerasnya
pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya di Myanmar akibat
tindakan zalim dan tidak berperikemanusian ini yang berterusan tanpa
kecaman daripada kerajaan Myanmar.
(2) Malaysia perlu menyatakan komitmen
dengannegara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN
dan negara-negara sependapatbagi mendukung prinsip undang-undang
antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang
kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) dalam menangani isu di Rohingya.
(3) Kita menuntut supaya OIC sebagai
badan antarabangsa menggunakan pengaruhnya mendesak supaya Bangladesh
tidak menambahkan lagi penderitaan yang dialami oleh pelarian Rohingya
termasuk mendapatkan pengesahan status mereka sebagai warganegara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Hari ini kita mengambil pendekatan yang
sama dalam satu pakatan dan satu barisan. Dasar diplomatik yang kita
telah meterai sekian lama perlu kita gunakan bagi membendung sebarang
usaha yang menzalimi rakyatnya sendiri.
Jelaslah, apa yang menimpa etnik
Rohingya kini adalah tindakan yang melangkaui kepercayaan agama,
melanggar hak asasi, keadilan dan prinsip kemanusiaan. Oleh demikian,
atas dasar kemanusian ini saya berharap agar Kerajaan Malaysia terus
komited dan mendokong usul yang saya bawa ini demi nyawa etnik Rohingya,
antara kumpulan minoriti yang memerlukan dokongan kita.
Tuan Yang di Pertua,
Atas perkara yang tertentu ini yang
melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon
mencadangkan usul ini dibincangkan.
“Demi Malaysia yang Lebih Baik”
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
No comments:
Post a Comment