SHAH ALAM 22 OKT: Sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) semakin
meningkat sekaligus mencerminkan kepercayaan masyarakat negeri ini untuk
terus bersama PR.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sejak
beliau memulakan rombongan
Jelajah Merdeka Rakyat di beberapa kawasan di
Selangor menyaksikan di Desa Air Hitam, Puchong dan Pantai Morib,
Kuala Langat, kehadiran rakyat di setiap ceramah amat menggalakkan dan mendapat sokongan ramai.
Biarpun hujan lebat pada pagi dan petang, ianya tidak mematahkan
semangat penduduk di setiap kawasan yang dikunjungi untuk hadir
beramai-ramai bagi mendengar amanat dan mesej yang dibawa oleh pemimpin
PR.
Abdul Khalid di dalam ucapannya di Ijok berkata, rakyat di Selangor
kini dapat merasai perbezaan melalui perubahan yang dilakukan semasa
Pilihanraya Umum 2008 yang lalu.
“Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat melalui pentadbiran yang
telus dengan penganjuran pelbagai program dan bantuan seperti pemberian
air percuma, skim bagi warga emas dan wanita dan tuisyen percuma bagi
pelajar-pelajar di negeri ini.
“Cara kita mengurus negeri ini, Laporan Ketua Audit menunjukkan
Selangor merupakan antara negeri-negeri yang terbaik pentadbirannya dan
jika dilakukan perbandingan dengan kerajaan Umno-BN sebelum ini, kita
ternyata lebih baik,” katanya di hadapan penduduk Ijok.
Selain Puchong, Kuala Langat dan Ijok, rombongan semalam turut
mengunjungi Pandamaran di Klang dan Kampung Assam Jawa di Kapar sebelum
mengakhiri perjalanan di parkir Stadium Shah Alam.
Sementara itu, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapannya di Shah Alam, Anwar memuji pentadbiran Abdul
Khalid sambil menyifatkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang
terbaik.
“Saya akui beliau merupakan seorang yang sangat cermat dan berkira dalam menguruskan wang di negeri ini.
“Tetapi sikap inilah yang diperlukan seorang pemimpin bagi menjamin
wang negeri ini dikembalikan kepada rakyat untuk menikmatinya,” katanya
di hadapa kira-kira 6,000 hadirin.
Katanya, integriti tinggi yang dimiliki Abdul Khalid menyebabkan
negeri ini mampu mempunyai rizab simpanan sehingga RM 2.2 bilion
walaupun membelanjakan wang yang banyak bagi program bantuan rakyat
seperti skim air percuma, Jom Shopping, TUNAS dan Sri Kembar.
“Dahulunya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Selangor akan bankrup jika berhasrat memberikan air percuma.
“Tetapi dengan pentadbiran yang telus dibuktikan oleh Abdul Khalid,
simpanan negeri meningkat daripada RM1 bilion kepada RM 2.2 bilion
walaupun memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat,” kata Anwar.
Editor : Khaulah Azwar
No comments:
Post a Comment