KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam
Malaysia (Mapim) memohon agar Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung
agama Islam di negara ini bertindak untuk menegaskan bahawa orang bukan
Islam tidak berhak untuk memberi komentar yang menyentuh soal hukum
Islam di negara ini.
Justeru, Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar)
menegaskan parti politik seperti MCA sepatutnya diingatkan bahawa
mereka jangan menyentuh sensitiviti umat Islam mengenai hukum Islam yang
mereka berhak untuk tuntut dilaksanakan.
Katanya, ucapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam
persidangan MCA semalam yang sekali lagi memuncakkan serangannya kepada
hukum hudud sangat melampau dan tidak harus dikompromi lagi.
“Hanya beberapa hari sahaja sebelum ini hanya dengan bersandar kepada
sebuah tulisan dalam blog yang tidak dikenali, beliau menuduh bahawa
jika hudud dilaksanakan lebih sejuta orang akan kehilangan kerja di
Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemimpin wanita MCA juga menyatakan pendirian yang
sama bahawa mereka mencurigai bahawa Umno dikhuatiri akan menyatakan
sokongan kepada hudud jika Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan
Pusat.
“Kali ini Chua Soi Lek menuding bahawa perlaksanaan hudud di
Negara-Negara Islam dikaitkan dengan amalan korupsi dan negara-negara
yang berada dalam keadaan tidak selamat.
“Konotasi beliau sangat jelas. Hudud tidak mengatasi masalah rasuah
dan jenayah. Inilah pendirian yang mahu beliau tegaskan kepada orang
Islam khususnya disamping kepada pengundi bukan Islam,” ujarnya.
Ini bermakna kata beliau, Chua mahu mengajar orang Islam bahawa hukum
hudud Islam tidak boleh dilaksanakan kerana terbukti negara-negara yang
beliau dakwa melaksanakan hukum hudud adalah antara yang ‘paling
korup’.
“Apa hak beliau untuk menuding bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan hanya dengan alasan negara lain yang dikatakan melaksanakannya dijangkiti dengan masalah korupsi.
“Ini adalah kesimpulan yang sangat simplistik dan berniat jahat untuk
memburukkan hukum Islam di kaca mata bukan Islam,” katanya lagi.
Dengan pendirian itu, tegasnya seluruh umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.
Dengan pendirian itu, tegasnya seluruh umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.
Menurutnya, jelas penghinaan itu mencabar bukan sahaja wibawa
institusi Islam di negara ini malah juga mencabar kedudukan dan status
Islam di negara ini.
“Mempersoalkan dan memberi komen secara menghina dan
memburuk-burukkan hukum Islam sepatutnya dilihat sebagai satu hasutan
yang akan menimbulkan ketegangan agama.
“Kami melihat kenyataan seperti ini adalah berpunca daripada
kegagalan kesepakatan dalam BN yang tidak pernah dijelaskan mengenai
Islam dan hukum-hukumnya dengan baik,” ujarnya lagi.
Malah, katanya kenyataan dari kepimpinan orang Melayu Islam sendiri
dalam BN yang menggambarkan bahawa hukum Islam tidak boleh dan tidak
akan dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment