Monday, October 1, 2012
R1Ma dan KADS1M tak selesai masalah
ULASAN: Pemberian tayar kepada pemandu teksi. Menurut laman web Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, “program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) lahir daripada cetusan buah fikiran Najib Razak, Perdana Menteri atas keperihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi pemandu teksi. Perdana Menteri faham akan keluhan pemandu teksi yang menghadapi kos penyelenggaraan yang kian meningkat”.
Melalui program ini, pemandu teksi akan menerima dua keping baucar TR1Ma bernilai RM260 setiap satu. Maka, jumlahnya menjadi RM520 untuk membeli empat biji tayar.
Penulis kurang periksa sama ada ini program tahunan atau hanya sekali seumur hidup, one-off. Tak mengapa, kita selesai dahulu di sini.
Bagi kes 2 pula melibatkan kad diskaun siswa yang dilancarkan baru-baru ini bagi pelajar IPT sepenuh masa seluruh negara yang mengikuti pengajian jangka panjang (sijil, diploma, ijazah dan ke atas).
Menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kad ini bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar IPT awam dan swasta seluruh negara. Melalui kad ini, pelajar IPT akan mendapat diskaun barangan terpilih daripada buku hinggalah aksesori kenderaan dan juga kecantikan. Tidak sebagaimana TR1Ma, tidak jelas sama ada program ini adalah cetusan idea Perdana Menteri.
Lalu, apakah masalahnya?
Apa hubungan antara empat biji tayar teksi itu dengan kad diskaun siswa? Bukankah program ini maha baik lagi bijaksana dan menyerlahkan keprihatinan pemerintah 1Malaysia bagi membantu dan meringankan beban rakyat? Bagi, yang bertanyakan soalan ini, sila baca kembali ayat pertama tulisan ini sebelum kembali melanjutkan bacaan.
Kedua-dua program ini pada zahirnya baik, kerana memberikan seorang pemandu teksi tayar, dan memberikan diskaun dari buku tulis hingga sabun buku kepada pelajar IPT. Namun, kedua-duanya gagal untuk menyentuh isu sebenar – dan timbul curiga, takut-takut, ini memang disengajakan!
Bagi kes pemandu teksi, yang mereka tuntut selama ini adalah permit teksi, kerana selama ini permit teksi ‘dianugerahkan’ kepada sebilangan individu yang kemudiannya menyewakan permit ini kepada pemandu.
Maka, setiap hari, pemandu teksi harus membayar sewa purata RM50 sehari, 6hari seminggu kepada syarikat pemilik permit. Ertinya, bagi setiap teksi, syarikat akan mendapat RM4800 sebulan, dan setelah ditolak dengan pinjaman bank untuk membeli teksi, mungkin ‘bodoh-bodoh’, untung bersihnya sekitar RM4000 bagi setiap biji teksi dan bayangkan berapa ratus permit yang setiap syarikat ada!
Tambahan pula, kebanyakan syarikat, tidak bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan teksi, dan ini harus ditanggung oleh pemandu sendiri. Memang diakui, setiap pemandu layak untuk memohon permit individu, namun tidak mudah untuk mendapatkannya dan soalan yang lebih penting, mengapa permit teksi tidak diberikan terus kepada pemandu dan mengapa pula harus dilonggokkan kepada individu tertentu yang mungkin seumur hidupnya tidak pernah memandu teksi?
Lalu, setelah sekian lama membuat untung jutaan ringgit, setiap pemandu teksi atas ‘keprihatinan Perdana Menteri’, disedekahkan dengan empat biji tayar yang berharga RM520 (dan jika kos tayar melebihi nilai tersebut, baki bayaran ditanggung oleh pemandu). Inikah maknanya ‘Janji ditepati’?.
Demikian juga halnya dengan kad diskaun siswa ini yang turut mengalihkan siswa daripada tuntutan sebenar. Sejak sekian lamanya, (maha)siswa menuntut agar dipulangkan kembali autonomi universiti dan penstrukturan kembali pembiayaan pengajian tinggi yang membebankan (maha)siswa.
Lalu, pasti akan ada suara siswa belia dengan songkok tinggi dan rajin pula membimbit beg menteri akan menempelak, “jadi, janganlah ambik baucar buku, jangan ambik kad diskaun, turunlah ke jalan raya, demo hari-hari”. Nah, demikianlah, yang penulis maksudkan, pada akhirnya kita dilarikan dari isu sebenar dan perlahan-lahan dibahalulkan.
Tambah celakanya, program-program sebegini bukan sahaja mengalihkan ramai warga daripada isu yang lebih pokok, dan menciptakan ilusi baru, malah membentuk kebergantungan (dependency) dan mana-mana pemerintah yang baik, tidak akan membentuk kebergantungan warga kepadanya kerana itu bukan tugas negara.
Tugas negara adalah menyediakan seluas-luas ruang dan peluang kepada setiap anggota warganya untuk meningkatkan potensi diri masing-masing.
Oleh yang demikian, jika kita tidak berhati-hati dan kurang cermat, pasti kita akan mudah diperdaya ,dan dibahalulkan sehingga kita percaya kini masa untuk balas budi.
Editor : Khaulah Azwar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment