SHAH ALAM 10 JULAI : Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali menempelak Sulaiman Abdul
Razak berhubung tuduhan pemilikan akaun RM 3 Bilion oleh Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Azmin ( ADUN Bukit
Antarabangsa-PKR) berkata tuduhan Sulaiman (Permatang-BN) itu merupakan
tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab oleh Umno-BN.
Beliau menegaskan fitnah terbabit ditaja oleh Mantan Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Anwar berada dalam penjara Sungai Buloh
di antara 1999 ke 2004.
Jelasnya, dalam kertas siasatan yang dibuat oleh bekas Pengarah
Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris, kes tersebut
tiada bukti.
“Siasatan itu dijalankan dengan menyeluruh dan teliti termasuk akaun
di luar negara dan dalam negara, tiada asas untuk mendakwa beliau
(Anwar).
“Siapa Permatang untuk tampil dalam dewan, nak jadi juara konon,
sudah sampai masa untuk kita dedah siapa Adun Permatang ini,” katanya.
Bagaimanapun, Sulaiman tidak berada dalam dewan ketika penjelasan dari Azmin.
“Inilah kekuatan yang ada pada Umno-BN, apabila lontar tuduhan tetapi
‘lari’ untuk mendengar fakta, tidak berani untuk berdepan dengan
fakta,” katanya.
Sebelum ini, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad
Khalid mendakwa Anwar memiliki 20 akaun induk membabitkan aset, saham
dan wang bernilai RM3 bilion pada 1999.
No comments:
Post a Comment