Sunday, June 3, 2012

Himpunan Hijau Capai Sasaran 100,000 Menuju Putrajaya

ALOR SETAR: Program Himpunan Hijau ke Putrajaya yang berlangsung di Stadium Darul Aman Alor Setar Kedah malam tadi berjaya menghimpunkan hampir 100,000 ahli PAS, penyokong dan rakyat yang datang dari seluruh negara.

Pengarah program, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan program kali ini berjaya mencapai matlamat penganjuran untuk memberi amanat pilihan raya kepada seramai mungkin ahli PAS.

“Alhamdulillah program yang berlangsung sejak pagi tadi berjalan lancar yang bermula dengan Amanat Khas Presiden di Kompleks PAS dengan kehadiran hampir 3,000.

“Dan malam ini kehadiran keseluruhan saya kira hampir 100,000 orang di dalam stadium dan tak sempat masuk ke stadium,” katanya selepas program berakhir kira-kira 11.45 malam tadi.


Selepas majlis Amanat Khas Presiden di sebelah pagi, program disambung dengan Xpresi Anak Muda oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kira-kira jam 4 petang.

Program bermula dengan konvoi 200 buah motosikal dari Masjid Perwaja, Gurun ke Alor Setar dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan dengan diiringi barisan exco.

Sejurus konvoi tiba di Stadium Darul Aman, program diteruskan dengan bacaan Ma’thurat dan solat Asar berjemaah.

Selepas itu acara pentas bermula dengan pidato oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-His.

Ia kemudian disusuli dengan pelancaran maskot dan animasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Hadi dan Huda.

Pentas kemudian menampilkan Pengerusi Ameerah Fareedah Samad menyampaikan pidato sebelum Sketsa Kopi Amal membuat persembahan.


Program kemudian diteruskan dengan pidato oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.



Puluhan ribu hadirin kemudian dihidangkan dengan kuliah oleh penceramah tersohor Ustaz Azhar Idrus selama 40 minit.


Acara kemuncak program Xpresi Anak Muda petang tadi adalah pidato oleh Nasruddin sendiri selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.


Dalam program itu juga menyaksikan buku Siapa Menganut Ajaran Sesat terbitan Dewan Pemuda PAS dilancarkan bagi menjawab tomahan Umno.


Selain itu, hadirin turut dihidangkan dengan persembahan sketsa khas oleh selebriti Bob Lokman yang sekaligus melancarkan Kopi Amal.


Program tersebut berakhir sebelum solat Maghrib.


Pada malamnya program Himpunan Hijau ke Putrajaya bermula dengan solat Maghrib berjemaah disusuli solat hajat dan munajat perdana yang diterajui Tuan Guru Haji Saleh Musa Sik sehingga masuk waktu Isyak.


Solat isyak kemudian diimamkan sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Sejurus selepas itu bermula acara di pentas ceramah yang dipengerusikan Datuk Mahfuz Omar.


Turut mengisi pentas malam tadi, ucapan aluan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, ucapan oleh tokoh wakil masyarakat seperti penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, Bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, Dato Fauzi Shaari dan bekas selebriti tv al-Hijrah Mohd Zaid Abdullah.

Paling menarik, kelainan gimik perasmian malam tadi dengan membawa masuk bekas tujuh pemain bola sepak kebangsaan yang telah bersama PAS ke tengah-tengah padang dan menendang 13 biji bola berwarna hijau kepada penonton dengan diiringi lagu Hijau Kuning.



Sasterawan negara Datuk A Samad Said pula turut mendeklamasikan puisi khas bertajuk Generasi yang Gagah.

Majlis kemudian menyaksikan bacaan ikrar baiah oleh semua ahli PAS yang hadir diketuai Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.


Kemuncak malam tadi menyaksikan pengumuman bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Mohd Yusof menyertai PAS.


Beliau menyerahkan borang PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi di atas pentas sebelum dijemput memberi ucapan.


Turut berucap malam tadi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, presiden PAS dan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membacakan doa penutup.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI