Monday, September 19, 2011

Najib Enggan mengaku Kesilapan-Pak Samad


KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mempersenda pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai "tidak mengakui kesilapan kerajaannya".

A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan perubahan demokrasi.

"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.

"Perdana Menteri pun dua tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat untuk menekan (rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan Annex, Central Market, dekat sini, semalam.

Pak Samad yang merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi tindakan Najib.

"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.

"Itu saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin, majoritinya golongan muda.

Seni senjata anak muda

Menyifatkan seni khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah, Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur, tetapi tentunya ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa dengan kedudukan mereka.

"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda, puisi menjadi senjata.Saya amat berbangga

"Saya sangat yakin hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap, maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya harap suara muda ini membenihkan suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang tua, salahkan diri anda sendiri.

"Saya mengharapkan anak muda tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI