SHAH ALAM: Sebagai aset penting kepada negeri Selangor, kerajaan negeri menetapkan sasaran supaya golongan belia mencapai jumlah pendapatan RM 3,000 sebulan sebagai skala minimum untuk setiap keluarga di negeri ini keluar daripada paras kemiskinan.
Jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, golongan belia di Malaysia pada masa kini berada di zaman yang penuh dengan peluang dalam usaha meningkatkan produktiviti masing-masing berbanding dengan golongan belia di negara luar.
“Saya berharap pemilihan belia dengan kerja adalah berasaskan kepada keupayaan dan produktiviti mereka”.
“Saya mengharapkan setiap belia akhirnya akan mendapat ganjaran dan pendapatan yang melebihi. RM 3,000 sebagai satu target negeri Selangor untuk menentukan setiap keluarga di negeri ini tidak berada di bawah paras kemiskinan,” katanya.
Perkara ini diumumkan Abdul Khalid ketika ucapan perasmian Sambutan Hari Raya Bersama Belia Negeri Selangor bertempat di I-City Walk, Shah Alam.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut, barisan kepimpinan kerajaan negeri, adun dan ahli parlimen serta warga kerja pelbagai jabatan negeri Selangor.
Hampir 20,000 orang belia hadir untuk merasai bersama kemeriahan Sambutan Hari Raya bersama Belia Negeri Selangor.
Menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Belia, kerajaan negeri melancarkan enam bidang utama bagi mewujudkan keseimbangan dalam usaha memenuhi keperluan dalam kalangan belia.
Enam bidang tersebut adalah kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan kesukanan.
Abdul Khalid menambah, belia merupakan nadi utama kepada mana-mana negara dalam usaha membawa perubahan dan kebangkitan revolusi seperti yang berlaku kebelakangan ini.
Golongan belia juga turut diminta supaya memberikan pandangan dan teguran terhadap pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan sistem pemerintah yang sedia ada dapat diperbaiki demi kesejahteraan rakyat Selangor.
Dalam pada itu, golongan belia yang sudah berumur 21 tahun ke atas diingatkan supaya mendaftar sebagai pengundi dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara dalam memastikan sistem demokrasi negara dapat dilaksanakan.
Penganjuran ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Sukan Selangor dengan tujuan meraikan belia tempatan khasnya belia seluruh Negeri Selangor.
Sambutan Aidilfitri ini juga turut dimeriahkan dengan penyapaian sumbangan kepada 73 atlet negeri Selangor yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam arena sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komenwel, Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu.
Hadiah berbentuk moke-up cek diserahkan sendiri oleh Tan Sri Abdul Khalid yang bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Negeri Selangor.
Secara keseluruhan, atlet Sukan Komenwel mendapat insentif berjumlah RM 64,600, diikuti atlet Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan jumlah RM 97,000 dan pemenang piala AFF Suzuki 2010 dengan jumlah RM 30,000.
Editor : Khaulah Azwar
No comments:
Post a Comment