KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengambil keputusan mempercepatkan penganjuran himpunan khas bagi membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung Mykad klon dan kad pengenalan palsu kepada 24 Oktober ini, Isnin, di bangunan Parlimen, bermula jam 10.00 pagi.
Sebelum ini himpunan tersebut dijadualkan pada 25 Oktober, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan yang turut dilaporkan Harakahdaily pada 8 Oktober lalu, tetapi terpaksa dipercepatkan sehari sebelum itu bagi mengelakkan kesulitan ekoran perayaan Deepavali.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, perubahan tarikh itu dilakukan dengan persetujuan Nasrudin sendiri hasil perbincangan yang diadakan baru-baru ini.
Menurut beliau, himpunan tersebut akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, barisan kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Keadilan dan DAP dari Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan oleh Nasrudin pada 8 Oktober lalu.
Katanya, perhimpunan tersebut diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussin berkaitan isu kad pengenalan palsu, MyKad klon dan tindakan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing oleh JPN bagi tujuan-tujuan tertentu.
"Memorandum itu akan diserahkan sekitar jam 11.00 pagi, manakala perhimpunan besar-besaran pula akan diadakan sebelum penyerahan memorandum dilakukan pada jam 10.00 pagi di bangunan Parlimen," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya berharap agar penduduk di kawasan Kuala Lumpur dan dari negeri-negeri lain di seluruh negara hadir pada perhimpunan itu bagi mendapatkan pendedahan lanjut berhubung isu tersebut yang jelas mengancam keselamatan negara.
Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup serius dalam menangani isu berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing, MyKad klon, kad pengenalan palsu dan isu berkaitan kod 71.
Katanya, namun dalam menjawab persoalan-persoalan berbangkit berhubung isu itu pula, para pemimpin Umno BN kelihatan banyak memberikan kenyataan yang menyalahkan kenyataan-kenyataan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
"Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menghantar beberapa memorandum kepada pihak kerajaan berhubung perkara itu, tetapi jawapan yang diterima tetap tidak menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.
Katanya, dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia terpaksa bertindak tegas untuk mengatasi masalah itu bagi ketelusan proses dan perjalanan pilihanraya di negara ini.
"Himpunan yang akan kami adakan itu adalah sebahagian dari tindakan tegas yang akan kami lakukan ekoran masalah itu yang perlu diberikan perhatian serius oleh JPN dan Kerajaan BN," tegasnya.
Menerusi himpunan tersebut, kata beliau, pihaknya akan mendedahkan segala dokumen yang berkaitan dengan isu tersebut dengan jelas kepada para peserta dan pihak media untuk didedahkan kepada umum.
Katanya, tindakan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebenarnya sudah lama dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan-tujuan tertentu di negara ini.
"Antaranya termasuklah yang berlaku pada 11 dan 12 Oktober lalu di Istana Dugang Country di Sepang, Selangor yang melibatkan 240 orang warga asing," katanya.
Sejak tahun 2008 hingga tahun ini, jelas beliau, sebanyak 27,293 MyKad telah diberikan oleh JPN kepada warganegara asing dan perkara itu dijelaskan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz pada persidangan Parlimen baru-baru ini ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
No comments:
Post a Comment