Tuesday, September 6, 2011

ADUN Menyeru rakyat bersatu hati dan hormati agama lain


Meru : Dalam Agama Islam, ummatnya di larang keras mewujudkan ketegangan dan perselisihan faham diantara Islam dan penganut agama lain. Dibawah pemerintahan Islam penganut agama lain di benarkan menjalankan aktiviti agama mereka secara aman, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Rani Osman ketika merasmikan program Karnival Kebajikan dan Kesenian di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

‘Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu Karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil “.

Beliau mengulas, agama Islam mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan. Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap merupakan anak cucu kepada Nabi Adam.

Justeru, langsung tidak timbul soal bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia.

Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada bangsa yang lain.

Dr Rani yang merupakan Peseruhanjaya PAS Negeri Selangor menegaskan Realiti perjuangan Islam Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS. Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal.

Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah. Allah itu yang disembah di dalam sembahyang, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.

Saya mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT. Kita juga menyeru agar semua bangsa dan agama bersatu hati dan mengejar kejayaan, tidak kiralah samada rakyat atau pelajar seharusnya berusaha bersungguh-sunggh demi menjaga masa depan yang baik dan lebih terjamin.

PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya. Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya.

Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi. Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.

Menurut Dr Rani, Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Lihatlah perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam, kesemuanya merupakan perkara-perkara yang memudaratkan. Menghindari bermakna mengamankan hidup kita. Ini kerana mencuri, merompak, berzina, menipu, rasuah, menyeleweng, khianat yang kesemuanya diharamkan oleh Islam turut ditolak oleh kesemua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Demikian juga perkara-perkara yang diwajibkan atau digalakkan oleh Islam seperti mentaati pemimpin, mematuhi ajaran nabi, bercakap benar, menepati janji, tidak menipu, menghormati orang tua, menghormati semua agama, menghubungkan persaudaraan adalah kesemuanya merupakan nilai-nilai yang baik dan diterima secara universal. Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk kita menolak ajaran Islam. Jika semua kita menerima pakai ajaran Islam dan boleh menepikan seruan kedaulatan bangsa tertentu sehingga mengguris bangsa lain.

“ saya yakin ia akan mengurangkan ketajaman perselisihan antara kaum yang sedang diasah oleh pihak-pihak tertentu dalam negara kita. Inilah dasar Islam yang cukup adil dan mulia. Maka sesuai dengan maksud al-Quran yang telah dirujuk pada awal di atas, ia jelas menunjukkan bagaimana perintah Allah SWT sendiri supaya melakukan kebaikan kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam. Atas perintah Allah inilah bagi pihak kerajaan yang berkuasa adalah menjadi tanggungjawab memberi keadilan dan layanan yang baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial mereka.

Inilah harapan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) dan saya percaya masyarakat Malaysia juga ingin mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu.

Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua.

Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu. Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini.

Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam, ingatlah, sesungguhnya Allah SWT hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya sebagaimana firmanNya (surah Muhammad :38):

yang bermaksud : dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Akhir Program Karnival tersebut, Dr Rani dan Encik Deepakaran telah di jemput dalam majlis penyampaian hadiah bagi acara sukan dan kebudayaan.

Editor : khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI