Sunday, July 31, 2011

Pembebasan PSM6 Bukti P'raya Makin Dekat

PERMATANG PAUH : Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman mengingatkan kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya mengenakan tuduhan yang tidak berasas terhadap rakyat di negara ini, sekiranya tidak sehaluan dengan kehendak mereka.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR, juga menyatakan tiada apa yang harus dibanggakan dengan pembebasan tersebut, kerana tindakan kerajaan menahan mereka juga adalah menyimpang dari peraturan sedia ada yang memberi hak kebebasan bersuara kepada setiap rakyat dalam negara ini.

"Sepatutnya, sebagai pemerintah, kerajaan mendakwa mereka lebih awal di mahkamah, dan bukannya meletakkan mereka dalam keadaan bersalah dengan pelbagai tuduhan yang melampau.

Malah, beliau berkata, pembebasan mereka adalah kemenangan rakyat yang berjuang selama ini bagi menuntut keadilan dalam negara.

"Apabila rakyat bangun dan menuntut keadilan, pemerintah masih lagi dungu tanpa berbuat apa-apa. Setelah keadaan terdesak dan melihat kepada kerugian yang akan mereka terima nanti, barulah tindakan pembebasan akan dilakukan.

"Ini semua adalah salah satu dari mesej awal, bahawa pilihan raya semakin hampir. Kerajaan akan cuba mengambil hati rakyat dengan bersandiwara bagi mengaburi mata rakyat, seolah-olah mereka memberi perhatian terhadap nasib rakyat," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid dalam Parlimen Permatang Pauh di Kubang Semang, Penanti, petang semalam.

Jumaat lepas, Putrajaya memutuskan membebaskan kesemua enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan sejak 2 Julai di bawah Ordinan Darurat selama 28 hari.

Selain Dr Jeyakumar, lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P. Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M. Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, telah dibebaskan tanpa sebarang syarat.


No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI