Thursday, July 14, 2011

“Kita tidak diperkudakan sesiapa”- Khalid Samad


Gombak : Sudah seminggu masa berlalu namun ramai rakyat Malaysia masih hangat membicarakan isu himpunan Bersih 2.0 yang telah mendapat sambutan luar biasa sehingga semua negeri termasuk di luar Negara juga mengambil perhatian tentang himpunan ini serta memberi sokongan sepenuhnya dengan mengadakan himpunan Bersih 2.0 di luar negara.

Bagi rakyat Malaysia tarikh 9 Julai merupakan tarikh keramat yang akan diingat sampai bila-bila untuk menuntut Kerajaan mengadakan pilihnraya yang bersih dan tulus, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Y.B Khalid Samad ketika ditemui oleh wartawan di Masjid Ar-Rahimah kelmarin bagi mengulas isu-isu yang dimainkan oleh UMNO-BN dengan cuba menghasut minda rakyat dengan mengaitkan Bersih dan Datuk Ambiga yang dikatakan sebagai Anti Islam.

Kata Khalid, “BERSIH adalah program yang dianjurkan oleh gabungan 62 NGO sah dan berdaftar. Datuk Ambiga telah dipilih untuk bertindak sebagai Pengerusi program BERSIH. Oleh kerana semua NGO yang bergabung di bawah BERSIH adalah sah dan berdaftar, maka BERSIH tidak boleh sewenang-wenangnya dilabelkan sebagai sesuatu yang haram, lebih-lebih lagi sebuah pertubuhan haram”.

Saat-saat sebelum himpunan Bersih 2.0 diadakan UMNO-BN sering mengeluarkan fakta melalui media PRO UMNO untuk cuba menghasut dan meracuni fikiran rakyat. Pada saya dalam soal ianya dipimpin oleh Datuk Ambiga, itu tidak menjadi satu masalah.

Kepimpinan Datuk Ambiga adalah terhad kepada agenda yang dibawa oleh BERSIH, iaitu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Agenda ini adalah sesuatu yang baik serta layak dan patut disokong oleh semua pihak. Hakikat BERSIH menerajui usaha ini dan Datuk Ambiga adalah pengerusinya tidak mengurangkan kenyataan bahawa tuntutan BERSIH 2.0 adalah sesuatu yang wajib disokong.

Sebagai contoh, sekiranya ada usaha mengejar seorang pencuri untuk menangkapnya, tidakkah usaha ini perlu dibantu? Sekiranya orang yang mengejarnya adalah seorang Hindu atau yang bukan Islam, adakah usaha ini tidak perlu dibantu oleh kita sebagai orang Islam? Sudah pasti perlu dibantu, lebih-lebih lagi apabila pencuri tersebut mencuri dari rumah kita semua, Hindu, Budha, Islam dan sebagainya, setiap hari dan setiap bulan selama berpuluh tahun. Maka inilah keadaannya.

BN mencuri kuasa melalui pilihan raya kotor dan dengan kuasa itu, mencuri dari rakyat, kita semua termasuk, untuk diberikan kekayaan Negara kepada kroni dan suku sakat mereka. Mereka adalah pencuri yang paling terkutuk, mencuri di siang hari, depan mata semua dan meminta rakyat merestui amalan mereka atas alasan kononnya ianya adalah untuk kebaikan kita bersama”. Sudahlah mencuri, menipu dan mengadu-domba pula, sehingga sanggup dilagakan satu bangsa dengan satu bangsa yang lain, demi mempertahankan amalan mencuri mereka.

Mereka memaksa polis membela mereka pula, sehingga rakyat yang tidak bersalah dipukul dan dipenjara. Ini bukan pencuri biasa. Ini bagaikan Mafia! Lagi wajib ditentang, ujar Khalid sambil menunjukkan kepalanya yang telah menerima enam jahitan di kepalanya akibat kelongsong besi gas pemedih mata. Beliau juga menceritakan kepada semua jemaah masjid Ar-Rahimah disitu bagaimana Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu turut menjadi mangsa apabila dirempuh Land Rover polis secara sengaja menyebabkan Mat Sabu perlu memasukkan cakera besi ke lututnya.

Kini Mat Sabu terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. “Saya anggap tindakan polis ini merupakan satu tindakan yang tidak professional. Semoga polis dbebaskn dari cngkaman BN, dan menjadi badan yang profesional dengan menjaga rakyat dan menjaga keamanan negara bukan menjaga UMNO-BN”.

Khalid yang juga merupakan YDP PAS Shah Alam merangkap AJK Lajnah Politik PAS Pusat meminta agar rakyat Malaysia faham tanggungjawab dan kerjaya seorang Peguam seperti Datuk Ambiga.

Katanya, “Datuk Ambiga sebagai peguam, sepertimana para peguam yang lain, pernah dan akan terus membela berbagai jenis orang yang dituduh melakukan berbagai jenis kesalahan. Adakalanya dia kena membela orang yang dituduh mencuri, adakalanya yang dituduh membunuh dan adakalanya juga orang yang menuntut untuk keluar dari Islam (murtad) disebabkan tidak lagi beriman kepada Islam”.

“Itu adalah sebahagian tuntutan kerjayanya sebagai seorang peguam. Dalam soal ini, beliau bergerak mengikut lunas-lunas undang-undang yang sediada. Beliau tidak keluar dari ruang undang-undang Negara tetapi mengikut sistem perundangan yang telah dikuatkuasakan selama ini. Sekiranya dalam sistem itu ada ruang untuk seseorang menjadi murtad melalui sistem mahkamah sivil, maka salahnya adalah sistem perundangan yang membenarkannya.

Perlu juga diambil kira, Datuk Ambiga sendiri bukan orang Islam. Kefahamannya berhubung konsep kebebasan beragama adalah mengikut kefahaman dirinya sendiri, bukan mengikut kefahaman Islam. Sekiranya dia bertindak mengikut kefahamannya sendiri melalui ruang undang-undang yang sediada, kita tidak boleh menyalahkan dirinya.

Kita kena tanya, mengapa ruang undang-undang sebegitu masih wujud. Mengapa tidak kes ‘murtad’ dibawa ke mahkamah Syariyyah ?” Selain daripada itu, Khalid juga meminta agar rakyat Malaysia faham, umat Islam perlu juga berusaha untuk memahamkan semua berhubung persoalan hukum murtad mengikut Islam dan meyakinkan mereka akan keadilan hukum itu. Dengan itu membuktikan keadilan Islam itu sendiri. Para ulama’ juga perlu dibenarkan berhujjah mengenai hukuman terhadap orang murtad samada ianya hukum had atau ta’zir tanpa apa-apa tekanan politik dari mana-mana pihak.

Berdasarkan apa yang dikemukakan di atas, amat jelas bahawa BERSIH menentang amalan pilihan raya kotor yang diamalkan BN selama ini. Sesiapa yang menentang amalan ini dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil adalah golongan yang telah bebas dari penipuan UMNO/BN. Sesiapa yang berdiri bersama UMNO/BN mempertahankan yang kotor, mereka diperkudakan UMNO/BN.

“Kita tidak diperkudakan sesiapa kalau kita berdiri atas kebenaran dan keadilan, walaupun yang berdiri bersama atau dihadapan kita adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana kita berdiri di pihak yang benar. Kita hanya diperkudakan apabila kita berdiri mempertahankan yang kotor, rosak dan bobrok, walaupun yang berdiri di depan atau bersama kita adalah orang Melayu yang beragama Islam sambil laungan takbir oleh jemaah masjid disitu”.

"Disini kita ingin menekankan kepada semua rakyat bahawa PAS semenjak dahulu lagi telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil. Dari dulu lagi PAS telah menentang penyalahgunaan kuasa oleh UMNO-BN untuk membantu kemenangan BN dalam pilihan raya, seperti menggunakan Jabatan Penerangan, Radio dan Televisyen Malaysia, daftar pemilih yang tercemar dan lain lain. Oleh itu PAS, dan juga parti-parti politik PR yang lain, tidak ‘mengikut’ BERSIH, tetapi bersama BERSIH kerana mereka menuntut apa yang telah lama dipersetujui sebagai sesuatu yang ingin diperjuangkan bersama," kata Khalid.



Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI