Klang: Untuk melahirkan anak cemerlang, berdedikasi sudah tentu ibubapa perlu dibangunkan terlebih dahulu. Mereka seharusnya menjadi ikon yang terbaik kepada anak-anak terutamanya dalam usaha untuk membentuk rumahtangga sakinah sekaligus melahirkan anak-anak yang solih dan soliha.
Untuk mencapai tahap itu, sudah pasti ibubapa/penjaga harus menghidupkan rumahtangga mereka dengan solat berjemaah yang merupakan tiang paling utuh. Memupuk kasih sayang dalam kekeluargaan, bertolak ansur, hidupkan majlis ilmu dirumah-rumah mereka agar anak-anak merasakan kemanisan kasih sayang dalam kekeluargaan.
Bahkan menjadi satu kerinduan kepada diri anak-anak apabila mereka berpisah dengan adik beradik mahupun ibubapa mereka seketika. Jika ini Berjaya diwujudkan dalam rumah tangga saya yakin, akan terbentuknya rumahku syurgaku, kata EXCO Pembangunan Modal Insan YB Dr Hjh Halimah Ali ketika merasmikan Program SPIES Keluarga dan SPIES Kepimpinan wanita JKKK dan masjid baru-baru ini.
Katanya, “tetapi betapa malangnya, apabila kita kerap mendengar ibubapa gagal mencorakkan anak-anak menjadi insan rabbani. Ini berpunca apabila rumah tangga lintang pukang, tiada persefahaman. Bahkan pasangan itu sendiri tidak melengkapkan diri dengan ilmu agama sehingga berlakunya penceraian yang kita sendiri tidak mahu ianya berlaku”.
Ini jelas terbukti apabila rekod penceraian yang berlaku di setiap negeri semakin ketara. Apabila dibuat semakan alasan yang pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terima adalah tidak persefahaman. Paling malang apabila yang baru diijab Kabul paling kurang 2 hari atau seminggu, mereka telah gagal mempertahankan masjid mereka.
Apakah puncanya? Adakah perkahwinan ini hanya untuk melepaskan nafsu semata-mata. Puncanya harus kita cari agar dapat mengatasi berlakunya penceraian yang sekaligus memberi kesan kepada anak-anak. Pendidikan agama dalam diri setiap individu adalah amat penting. Jika ilmu agama tiada dalam diri sudah pasti berbagai perkara dilakukan tanpa memikir baik dan buruknya. Untuk atasi masalah ini berterusan dan semakin meningkat Kerajaan Negeri Selangor juga sedang berusaha untuk memantapkan kursus perkahwinan agar mereka yang bakal diijab Kabul mengerti erti perkahwinan yang sebenarnya seperti yang telah ditetapkan dalam Islam.
Jesteru itu, kita harus memperkukuhkan Pembangunan Modal Insan dengan menyediakan satu modul khas SPIES Keluarga yang membekalkan ilmu pemulaan untuk mengupayakan ibubapa kearah membina keluarga bahagia dan dahan sokongan untuk berpaut anak mereka sepanjang hayat. Ulas Halimah, jika Pembangunan Modal Insan ini Berjaya dilaksanakan dan diterapkan kepada anak-anak sudah pasti mampu memakmurkan bumi tanpa melupakan kehidupan bahagia di akhirat kelak. Peranan ibubapa/penjaga haruslah dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa membelakangkan keperluan anak-anak.
Ibubapa haruslah memberi didikan yang sempurna, memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak agar mereka tidak merasakan diri diabaikan oleh orang tua mereka. Kesibukan ibubap/penjaga dalam kerjaya jangan menjadikan ianya satu alasan sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak dan meletakkan tanggungjawab, pendidikan sepenuhnya dibahu guru mahupun orang gaji. Sikap sedemikian tidak seharusnya ada dalam diri ibubapa/penjaga jika mereka ingin melahirkan rumahtangga sakinah dan meginginkan anak-anak yang solih dan soliha. Ibubapa yang Berjaya dan prihatin, mereka mesti memahami apakah yang diperlukan dalam diri anak-anak mereka bagi melahirkan seorang insan yang Berjaya dunia akhirat.
Editor : Khaulah Azwar
No comments:
Post a Comment